Theflowersellingboy

Selasa, 12 Mac 2013

Harapan Saya dan Harapan Kita

"Rakyat tidak bodoh. Jika PR pun sama atau lebih teruk dari BN, tindakan yang sama boleh kita lakukan, nyah PR dari tampuk kuasa kerana kita menderita selama 5 tahun".

"Jika kita menolak BN pada pilihanraya ke 13 nanti, kita telah mengeluarkan diri kita dari derita yang telah kita lalui lebih dari 55 tahun ". -the  flower selling boy.


Hari ini juga saya akan menyentuh soal politik. Mood yang teransang bagi menyambut pilihanraya yang ke 13 tidak lama lagi. Harap pembaca blog ini tidak berasa jemu dan bosan.

Mengapa perlu bosan? Bukankah politik itu sebahagian dari kehidupan kita yang bermasyarakat dan bernegara. Kita ada politik persendirian dan politik kepartian. 
 
Politik persendirian merupakan pegangan dan kepercayaan kita dalam sesuatu hal yang mungkin tidak sama, mungkin sama dengan orang lain, dan mungkin juga kita boleh sesuaikan dengan pandangan/pegangan orang lain. Tapi kita tidak mungkin mampu menubuh dan meneraju sebuah kerajaan.

Politik kepartian adalah berpolitik untuk menubuh dan meneraju sebuah kerajaan. Pegangan dan pandangan seseorang itu adalah tertakluk kepada pegangan atau pandangan ahli yang ramai dalam parti itu yang telah dipersetujui. Maknanya seteguh mana pandangan seseorang itu, ianya mesti akur dan tunduk kepada pandangan dari sebahagian besar ahli yang lain. Ertinya, yang penting ialah organisasi dan bukan individu kerana individu tidak mungkin boleh membentuk dan menerajui sebuah kerajaan.

Tapi bukan saya hendak memanjangkan perbahasan mengenai politik persendirian dan politik kepartian ini. Sudah lari dari ransangan mood pilihanraya. Saya hendak berbicara tentang harapan saya, dan kalau ada yang mempunyai jalan pemikiran dan pendapat yang sama dengan saya, harapan kita, bagi sebuah kerajaan yang akan menerajui Malaysia selepas pilihanraya ke 13 nanti.

Malaysia, dan sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu selama lebih 55 tahun telah diterajui oleh Parti Perikatan UMNO, MCA dan MIC, ( yang kemudiannya diperbesarkan dengan penerimaan parti-parti lain dalam gabungan yang dipanggil sebagai Barisan Nasional -BN). Tidak pernah, dalam  12 kali pilihanraya diadakan, parti selain dari Perikatan/ BN menerajui Kerajaan Persekutuan. Dalam tempoh lebih 55 tahun, BN telah diberi mandat untuk mencorakkan rakyat dan negara Malaysia sehingga ke tahap dan kedudukan seperti apa yang kita boleh lihat sekarang ini.

Sudah tentu ada perubahan dari mundur kepada maju, dari susah kepada senang, dari miskin kepada kaya, dari kurang terkenal menjadi terkenal, dan sebagainya. Maknanya satu perubahan yang positif, yang maju. Satu perubahan yang memberi menfaat kepada rakyat dan negara secara amnya.

Dan itu adalah yang sepatutnya. Ertinya jika parti lain diberi mandat yang sama,  perubahan seperti diatas juga sepatutnya berlaku.

Cuma soalnya ialah tentang tahap dan tingkat perubahan serta faedah-faedah/kebaikan yang dinikmati rakyat dalam tempoh mandat yang telah diberikan berbanding dengan penggunan/penggembelingan  khazanah dan segala aset negara. Dalam kata singkat, kos dibandingkan dengan faedah atau 'cost against benefit'.

BN dalam tempoh lebih 55 tahun telah membawa kita rakyat Malaysia, dan negara Malaysia pada kedudukan dan tahap seperti yang kita rasa dan lihat pada hari ini.  Saya katakan diatas tadi bahawa telah ada perubahan ke tahap yang lebih baik.

Kenyataan diatas itu terlalu umum, subjektif tanpa piawai ukuran. 

Namun, tidak juga mencukupi jika kita menonjolkan peningkatan pendapatan per kapita, pendapatan isi rumah, peratus bilangan miskin tegar yang berkurangan atau apa-apa statistik yang menyokong tahap pembangunan kita.

Tanpa melihat kos berbanding dengan faedah ianya tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kerajaan dibawah sesuatu parti itu lebih baik.

Sebab itu perubahan ke tahap dan peringkat yang lebih baik itu mesti dilihat dari segi input (segala aset negara) yang digunakan bagi menghasilkan faedah/kebaikan kepada rakyat dan negara. 

Maka  dari situlah kita akan dapat melihat kecekapan, kekesanan, ketelusan, integriti, dan kebertanggungjawaban dalam mengguna dan mengurus aset-aset negara itu bagi menjana berbagai penghasilan untuk diagihkan demi kesejahteraan rakyat

Jika rakyat dan negara hendak didahulukan, cara itu saja masih lagi tidak memadai.

Maka sistem penyampaian, sistem agihan, dan segala hal yang berkaitan dengan kesejahteraan semua rakyat hendaklah berfungsi dengan baik. Jika sebaliknya - iaitu banyak berlaku penyelewengan, rasuah, monopoli, salah guna kuasa, pilih bulu, tiris dan bocor , pembaziran dan hilang lesap mengalir keluar sebagai wang haram, maka kemajuan dan pembangunan yang dibawa itu yang boleh dibuktikan secara statistik tidak ada apa-apa makna kepada rakyat dan negara dari perspektik kesejahteraan semua rakyat dan negara.

Saya tidak berhasrat berbincang secara ilmiah. Sebab saya tiada maklumat dan statistik yang lengkap bagi hal yang berkaitan. Malah bukan dalam paparan yang pendek ini saya mampu membicarakan hal ini dengan cara yang baik. Saya bicara secara umum, makro dan tidak mampu membuat perincian.

Dengan demikian selama tempoh penerajuan BN, yang melebihi 55 tahun,  saya mempunyai keyakinan bahawa sepatutnya BN melakukan lebih dari apa yang telah dilakukan demi rakyat dan negara. Dalam kata lain jika parti lain yang memerintah dalam tempoh jangka masa itu, parti itu mesti buat lebih dari yang BN lakukan. Ertinya, parti lain itu boleh mengatasi BN. Atau parti yang lain itu sama saja dengan BN. Atau parti yang lain itu lebih teruk dari BN.

Tapi soalnya ialah bahawa BN telah diberi peluang selama lebih 55 tahun. Dan hasilnya, dari cerapan pemikiran, dan apa yang saya lihat, rasa dan alami sebenarnya BN telah gagal mencapai pada kedudukan dan tahap yang setara dengan penggunaan khazanah negara. Jauh sekali faedah mengatasi kos. Sebalinya kos mengatasi faedah. Dan ditambah lagi dengan tata kelola kerajaan yang jelas merugikan rakyat dan negara.

Cakap dan tunjukkan saja tentang indeks perlakuan rasuah.
Pengaliran keluar wang haram.
Peningkatan hutang negara yang mencecah had yang dibenarkan undang-undang.
Tahap dan bilangan orang yang dikategorikan sebagai susah yang memerlukan bantuan BR1M dan lain-lain bayaran tunai.
Kedudukan perniagaan berasaskan monopoli.
Kejadian berbagai jenis jenayah
Keruntuhan moral dan maruah diri dalam semua peringkat rakyat termasuk pemimpin dan yang dipimpin.
Kecemaran perlaksanaan konsep pengasingan  kuasa.
Penderhakaan dan belot kepada negara
Keretakan perpaduan antara kaum yang menggugat pembinaan negara bangsa.        
Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang haru biru
dan banyak lagi yang tidak mampu disenaraikan.
    
Kita akan merasa kecewa.

Sudah tentu penafian akan segera dikedepankan.  Ini adalah satu perkara biasa dilakukan oleh mana-mana parti yang memerintah jika hasrat dihati hanya semata-mata untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa. Rakyat dan negara bukan dihatinya.

Dan ada juga yang berhujah bahawa jika parti lain yang diberi mandat keadaannya mungkin serupa, dan mungkin lebih teruk lagi. Hujah itu tidak boleh diketepikan begitu saja

Cuma saya dapat berkata bahawa parti yang lain itu tidak pernah diberi peluang untuk membuktikan bahawa parti itu lebih teruk dari BN. Atau setara dengan BN. Atau lebih baik dari BN. Sedangkan BN telah diberi peluang dalam tempoh lebih 55 tahun tetapi prestasinya mengecewakan berdasarkan ukuran yang diperkatakan diatas.

Sengaja saya tidak memberi angka dan contoh kerana ianya amat mengecewakan. Mana-mana pihak yang meragui kenyataan diatas rujuklah kepada  dokumen dari berbagai sumber termasuk sumber rasmi kerajaan.

Kesimpulannya BN telah gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. 

Oleh yang demikian pada pilihanraya yang ke 13 akan datang ini, rakyat hendaklah berubah dengan memberi kepercayaan kepada parti selain dari BN, lebih spesifik lagi PR untuk menerajui negara. Undilah PR.

Saya telah mendengar dan membaca manifesto PR. 

Secara keseluruhan ianya amat menarik. Janji-janji yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat-dasar pelajaran percuma, penghapusan PTPTN, pengurangan harga minyak, utiliti, dasar gaji minima RM1,100.00, penghapusan tol secara berperingkat, penghapusan AES, menghapuskan dasar pemberian konsessi dan tender bersifat monopoli dan pada minoriti yang ada capaian dekat dengan pemerintah, mengkaji semula perjanjian konsessi yang berat sebelah yang menekan rakyat seperti IPP, dan banyak lagi.

Dan yang menariknya ialah PR menjanjikan tata kelola kerajaan yang baik. 

Ingat, itu adalah janji sebuah parti politik yang ingin mendapat kuasa. Belum tentu semuanya atau sebahagiannya dilaksanakan.

Tapi memanjangkan kuasa kepada sebuah parti politik (BN) yang telah diberi mandat selama lebih 55 tahun dengan rekod yang mengecewakan adalah terlalu besar risikonya kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berbanding dengan sebuah parti (PR) yang belum berkuasa di peringkat persekutuan tapi telah mempunyai pengalaman di peringkat negeri dengan rekod yang baik, yang menunjukkan kesungguhan untuk mendapat kuasa. 

Dan yang penting, dengan fikiran terbuka telitilah dokumen rasmi kerajaan seperti Laporan Ketua Audit Negara tentang laporan pengurusan setiap negeri di Malaysia termasuk negeri-negeri di bawah terajuan PR.  Disana ada petunjuk yang boleh memandu kita untuk membuat pilihan diantara BN atau PR.

Saya tambah lagi satu petunjuk dalam bentuk soalan: Tidakkah sesuatu yang menghairankan atau tidak kah kita menjadi seorang yang bodoh dan sombong  apabila dalam tempoh empat/lima tahun menghampiri pilihanraya kita berbaris untuk mendapatkan sekali saja wang RM500.00 dalam tempoh berkenaan (rekod BN), dan dalam masa yang sama kita menjadi degil tidak mahu menerima dasar pelajaran percuma, penghapusan PTPTN dan mereka yang berhutang, penurunan harga minyak, penghapusan tol berperingkat, penghapusan saman AES dan banyak lagi tawaran yang mengurangkan kos sara hidup (janji PR).

Sekali lagi saya ingatkan itu adalah janji PR. Sekali lagi juga saya ingatkan  bahawa dalam tempoh lebih 55 tahun BN menerajui negara, perkhidmatannya mengecewakan. Dan kepada mereka yang mengatakan PR juga akan buat perkara yang sama malah lebih teruk lagi, buktikan hujah itu dengan memberi peluang kepada PR untuk mentadbir negara.

Rakyat tidak bodoh. Jika PR pun serupa atau lebih teruk dari BN, tindakan yang sama kita boleh lakukan, nyah PR dari tampuk kuasa kerana kita menderita selama 5 tahun.

Jika kita menolak BN pada pilihanraya ke 13 nanti, kita telah mengeluarkan diri kita dari derita yang telah kita lalui selama lebih dari 55 tahun.
   
Bukankah kita raja mereka, dan bukan mereka raja kita. Undi ditangan kita.

Saya akan sambung esok. Mengulas sedikit tentang manifesto PR dan mencadangkan sesuatu agar diberi pertimbangan.
 

   
   
 

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan