Selamat tinggal Putra Jaya. Selamat tinggal Saujana Aster. Selamat tinggal Aqib.
Pukul 9 pagi bergeraklah kami balik ke Melaka. Sampai pada pukul 11.30 pagi. Terus berihat.
Selepas Zohor bercadang untuk makan tengah hari di Jusco. Tapi malang sekali enjin kereta tidak mahu hidup. Bateri? Tidak mungkin, sebab bateri baru. Jadi terpaksa menapak menuruni bukit pergi tempat jualan makanan paling dekat iaitu di Hospital Pantai. Makan mihun sup.
Balik ke rumah dalam cuaca yang panas terik menaikki bukit. Lencun, berpeluh. Sudah lama tidak melakukan seperti ini terutama dalam cuaca panas terik.
Seorang dari dua pekerja Indonesia yang sedang membersih kawasan tanaman pokok-pokok bunga di sepanjang jalan menuju ke rumah kami, menegur, "capek?" Kami hanya mampu mengangguk kepala kerana keletihan sampai tidak dapat bersuara.
Pekerja itu tiap-tiap hari melakukan kerja yang sama dari pukul 8 sampai 5, turun naik ditengah-tengah cuaca yang panas. Tidak pun nampak keletihan, selamba saja apabila berjalan mendaki bukit. Itulah bezanya diantara orang yang sihat dan muda dengan orang tua yang selalu mengabaikan penjagaan kesihatan.
Maka dengan pantas isteri berkata, "esok kita kena mulakan senaman. Lepas Subuh, tak boleh tangguh-tangguh".
Dalam hati, saya tersenyum saja. Sebab mengapa tunggu besok? Kenapa tidak dimulakan petang ini? Tapi setakat bertanya dalam hati saja. Sebab saya pun belum lagi ada kekuatan untuk memulakan senaman pada petang ini. Saya juga mahu lakukan pada esok hari selepas subuh.
Senaman pagi selepas Subuh adalah satu dari sebab kami balik ke Melaka meninggalkan Putra Jaya, Saujana Aster. Dan mengucapkan selamat tinggal kepada cucu kami Ahmad Naqib yang kami sayangi.
Harap-harap kami akan lakukan pada esok hari. Kalau tidak sia-sia saja balik ke Melaka.
Betul ke? Tunggu besok.
Tunggu lagi.
Tapi jangan sampai menunggu parlimen dibubarkan , baru mahu buat senaman. Sebab dah tunggu lama parlimen masih lagi tak bubar. Baik pasang semangat dan buat senaman esok. Takut ke?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan