Sekarang maklumat mengenai sesuatu kerjaya mudah diperolehi. Tidak seperti masa saya dulu. Soal kerjaya atau memilih kerjaya tidak pernah difikirkan oleh ibubapa apa tah lagi anak-anak. Mereka hanyut mengikut arus. Apa yang datang itulah kerjaya. Mereka lebih terpengaruh kepada pendedahan persekitaran. Satu persekitaran yang sempit dan terhad. Ibubapa dan jiran sekampong adalah persekitaran yang banyak mempengaruhi mereka.
Dan yang paling sempit dan terhad ialah mereka yang tinggal di kampong dikawasan pedalaman yang tidak banyak mempunyai hubungan dengan orang/pihak luar. Rujukan mereka adalah pada ibubapa , keluarga dan jiran sekampong. Ertinya jika menjadi ketua kampong , penghulu, tok imam, guru, polis, askar, kerani, budak pejabat dan pekerja pejabat yang lain sebagai yang terbaik dari segi status sosial dan ekonomi maka mereka ini banyak mempengaruhi 'cita-cita' anak-anak kampong dalam memilih kerjaya.
Tidak kurang juga peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan semasa menayangkan filem-filem di kampong misalnya pada zaman darurat yang menaikkan semangat anak-anak muda untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan bagi menentang kominis.
Itu saja pendedahan yang ada. Jangan cakap fasal dunia perniagaan atau dunia korporat. Kalau pun ada cerita usahawan hanyalah dalam bentuk menerima bantuan baja dari RISDA untuk projek tanam semula.
Begitulah halnya anak-anak mengejar cita-cita dan kerjaya mereka. Bahkan disekolah apabila murid-murid diminta membuat karangan mengenai cita-cita masa depan mereka, cita-cita yang di sebut tidak lari dari apa yang mereka lihat dipersekitaran- menjadi guru,askar dan polis misalnya. Ibubapa tidak pula bertanya apakah cita-cita anak-anak mereka, tidak seperti ibubapa sekarang yang banyak memberi bimbingan dan inspirasi kepada anak masing-masing dalam mengejar cita-cita.
Saya dulu bercita-cita untuk menjadi polis. Sebab bapa saya bekerja dalam pasukan keselamatan. Kemudian apabila Jabatan Penerangan datang ke kampong menayang filem propagandanya beserta dengan kempen untuk merekrut tentera laut, cita-cita saya bertukar dari menjadi seorang polis kepada tentera laut pula. Masih lagi dalam pasukan keselamatan. Maknanya persekitaran telah membentuk saya untuk memilih polis dan tentera laut sebagai kerjaya.
Perlu dimaklumkan ketika itu pendedahan saya telah sedikit meluas iatu ketika itu saya bersekolah di bandar di tingkatan tiga, sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan LCE atau SRP.
Akhirnya apabila lebih terdedah lagi, cita-cita saya telah menjadi berbagai. Mahu jadi akauntanlah, mahu jadi pensyarahlah, mahu jadi macam-macam. Semuanya tanpa bimbingan sama ada dari pihak sekolah atau mana-mana pihak sekali pun. Akhirnya saya ikut arus saja. Ertinya ikut kawan-kawan. Tiada matlamat sendiri.
Cara saya ini amat merugikan dari segi potensi diri. Kebanyakan kawan-kawan suka pada perkara yang mudah-mudah. 'Buat apa susah-susah ambil jurusan sains', antara kata-kata yang selalu dihebuhkan.
Tapi sekarang, sungguh banyak bezanya. Banyak maklumat yang boleh membimbing anak-anak untuk mengejar cita-cita dan kerjaya yang dipilih. Ibubapa juga mempunyai kesedaran yang tinggi dan selalu menjadi inspirasi kepada anak-anak. Ibubapa akan bertanya misalnya, 'dah besar nak jadi apa?' Ada anak-anak yang mengatakan hendak jadi ahli sains, jurutera, doktor, geologis dan macam-macam lagi. Satu ketika dulu kerjaya sebagai doktor menjadi pilihan kerjaya yang popular.
Ada juga ibubapa tidak berapa minat dalam hal menentukan atau menanyakan soal kerjaya anak-anak mereka. Katanya yang penting anaknya menjadi anak yang soleh atau soleha.
Saya rasa, ini satu sikap yang mentafsirkan bahawa kerjaya sebagaimana yang disebutkan diatas misalnya menjadi seorang jurutera atau doktor, anak-anak itu tidak mampu untuk menjadi anak yang soleh atau soleha. Ini adalah sikap yang salah. Apa saja kerjaya misalnya menjadi tukang kebun, buruh kasar, perdana menteri atau sebagainya, ibubapa adalah bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak itu kearah menjadi anak yang soleh/soleha. Dan anak-anak itu mesti menuju ke arah itu, tidak kisahlah dianya seorang doktor atau jurutera.
Belajar dalam bidang selain dari jurusan agama tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjadi anak yang soleh/soleha. Dan belajar dalam jurusan agama juga tidak secara otomatik menjadikan anak-anak itu anak yang soleh/soleha. Maknanya bidang pembelajaran tiada sangkut paut dalam menentukan anak-anak itu menjadi anak yang soleh/soleha.
Jadi soalnya sekarang ialah bidang mana yang amat diperlukan. Perlu bagi kejayaan diri. Maknanya mempunyai permintaan pasaran yang baik dan upah/bayaran yang baik yang boleh meningkatkan kemampuan kita untuk melakukan kerja-kerja kebaikan termasuk membantu orang tua kita yang susah atau orang lain yang memerlukan bantuan.
Kita mampu membayar zakat yang lebih besar jika kita mempunyai kerjaya yang baik berbanding yang mempunyai pendapatan yang rendah. Kalau kita seorang arkitek misalnya, sudah tentu semasa menyediakan lukisan tata atur pelan bangunan, kita akan mengambil kira arah kiblat, misalnya. Syaratnya ialah kita juga mesti mempelajari ilmu Islam walaupun kita bukan dalam jurusan agama. Maknanya untuk mendalami Islam ianya bukan monopoli pelajar dalam bidang agama saja. Semua orang wajar melakukannya.
Jadi tidak salah jika kita membimbing atau memberi ransangan kepada anak-anak untuk menjurus ke satu-satu bidang sama ada bidang agama mahupun bidang yang lain. Yang penting bidang yang kita ransangkan itu mempunyai potensi yang lebih untuk mendapat pendapatan yang terbaik dan mempunyai permintaan yang tinggi.
Menjadi seorang arkitek, jurutera, peguam, akauntan, doktor dan yang lain-lainnya adalah juga sama dengan menjadi seorang ustaz dari segi berbakti kepada diri, masyarakat, negara dan agama. Semua akan dihadiahkan pahala oleh Allah SWT jika melakukan suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Mereka juga boleh menjadi anak yang soleh/saleha. Sebaliknya mereka juga dihukum berdosa kalau melanggar perintah Allah SWT. Dan mereka juga tidak akan menjadi anak yang soleh/saleha jika berbuat sedemikian.
Maka adalah satu pandangan yang silap jika kita mengatakan pilihan kerjaya itu tidak penting. Yang penting hanya menjadi anak yang soleh/soleha.
Macam mana kita boleh melakukan banyak kebaikan dan seterusnya menjadi anak yang soleh/soleha jika kita jadi orang miskin atau tidak mempunyai banyak kemampuan kerana pendapatan kecil untuk menolong ibubapa dan orang-orang yang memerlukan?
Soalnya mana lebih baik menjadi seorang arkitek yang mengamalkan perintah Allah berbanding dengan menjadi seorang buruh yang juga mengamalkan suruhan Allah? Atau menjadi seorang kaya yang mengamalkan suruhan Allah dengan menjadi seorang miskin yang mengamalkan suruhan Allah?
Jadi untuk menjadi anak yang soleh/soleha ianya bukan menjadi monopoli sesuatu bidang pengajian dan kerjaya. Semua boleh menjadi anak yang soleh dan soleha. Syaratnya turutilah perintah Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan