Semalam bersama dengan kawan-kawan yang lain, saya mengiringi jenazah sahabat saya En. Md Nor ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Tanah perkuburan itu tidaklah jauh dari rumah arwah. Ianya tanah rendah berhampiran kawasan sawah padi yang tidak diusahakan lagi. Oleh itu kubur yang digali berair. Terpaksalah air ditimba keluar.
Seperti sebahagian besar kawasan tanah perkuburan di Malaysia, keadaan yang sama juga kelihatan di tanah perkuburan ini, tidak terurus, semak-samun ditumbuhi dengan tumbuhan liar dan barisan kubur-kubur yang tidak teratur.
Seperti sebahagian besar kawasan tanah perkuburan di Malaysia, keadaan yang sama juga kelihatan di tanah perkuburan ini, tidak terurus, semak-samun ditumbuhi dengan tumbuhan liar dan barisan kubur-kubur yang tidak teratur.
Sesungguhnya, tempat tinggal terakhir kita orang Islam sebelum dibangkitkan semula, tidak terurus sekali, semacam terbiar saja. Maklum sajalah yang tinggal disitu adalah orang-orang yang telah mati.
Begitulah caranya kita melayan orang-orang yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita, bersemadi di satu kawasan yang tidak terurus dan terbiar.
Dan tanpa kita sedari kita juga telah merekacipta cerita-cerita dongeng yang boleh menimbulkan kegerunan dan menyeramkan mengatasi perasaan kasih sayang sehingga membuatkan kita sentiasa menjauhkan diri untuk melalui atau mendekati kawasan itu, terutama disebelah malam. Takut, ada orang mati yang akan bangkit. Dan yang malang sekali, kita menggambarkan yang bangkit itu adalah hantu.
Dan tanpa kita sedari kita juga telah merekacipta cerita-cerita dongeng yang boleh menimbulkan kegerunan dan menyeramkan mengatasi perasaan kasih sayang sehingga membuatkan kita sentiasa menjauhkan diri untuk melalui atau mendekati kawasan itu, terutama disebelah malam. Takut, ada orang mati yang akan bangkit. Dan yang malang sekali, kita menggambarkan yang bangkit itu adalah hantu.
Itulah cerita dongeng yang telah diresapkan dalam fikiran sebahagian besar dari kita, sehingga kita percaya dan tetap percaya dari dulu, kini dan mungkin selama-lamanya. Apakan tidaknya, cuba lihat drama dan tayangan-tayangan dimana-mana layar dan skrin, apabila menunjukkan kubur, terserlah wajah-wajah hantu, latar muzik yang menzahirkan suasana yang seram dan keadaan yang gelap gulita.
Dan kita lupa, kita juga akan kesitu, akan mendapat layanan seperti itu.
Sesungguhnya kita orang Melayu telah dididik untuk jadi takut. Orang yang sudah matipun kita kena takut. Kita takut kerana orang yang mati itu bangkit menjadi hantu.
Kalau begitu sikap dan kepercayaan kita, kita juga bakal menjadi hantu. Sudah tentu kita tidak mahu dikatakan begitu.
Sesekali pada hari raya berkunjunglah sanak saudara datang membersih kuburan dan mendoakan kebaikan untuk simati. Sesuatu yang amat baik sekali. Cuma berlaku pada hari raya saja. Selepas itu kubur jadi sunyi tanpa pengunjung kerana tempat itu didongengkan ada hantu.
Kita bangga sebagai seorang Islam. Kita bangga mengatakan negara kita negara Islam. Tapi otak kepala kita, fikiran dan perasaan kita dan perbuatan kita tidak menggambarkan sedemikian. Ambil saja contoh tentang sikap dan kepercayaan tentang tanah perkuburan seperti yang dinyatakan diatas. Adakah Islam mengajar begitu? Bukankah Islam sukakan yang cantik, terurus, bersih dan tertib? Mengapa ciri-ciri itu tidak boleh kita cari di kawasan tanah perkuburan kita? Sebaliknya tempat penghormatan persemadian terakhir sebelum dibangkitkan itu kita cemarkan dengan cerita dongeng yang seram dan menakutkan serta tidak terurus, terbiar dengan barisan kubur-kuburnya tidak tersusun.
Pergilah ke Singapura, sebuah negara yang ketika ini minoritinya Melayu/Islam. Sebuah negara bukan Islam. Tanah perkuburan Islamnya sesungguhnya cantik seperti sebuah taman bunga dimusim bunga! Sejuk dan tenang mata memandang. Sayang sekali saya tidak merakamkannya dalam bentuk video atau foto.
Di tanah perkuburan itu juga para hadiran didengarkan dengan bacaan talkin dan doa. Antara yang diperingatkan ialah pesanan dari pembaca talkin kepada arwah bahawa 'janganlah takut apabila malaikat datang bertanya tentang agama , siapa yang disembah, kitab pegangan, rasul' dan beberapa lagi pertanyaan.
Saya mendengar dan saya percaya yang lain pun mendengar dengan penuh keinsafan. Insaf bahawa banyak kecuaian dan kelalaian yang telah saya lakukan. Banyak dosa yang melingkari roh dan jasad saya. Sesungguhnya di tanah perkuburan ini, lebih syahdu dan lebih meresap keinsafan bagi yang masih bernyawa kerana ianya dekat sekali dengan mati.
Talkin ini mengingatkan saya bahawa saya mesti melakukan perintah Allah semasa saya masih hidup. Bahawa saya tidak mungkin boleh menjawab segala persoalan yang ditanyakan oleh malaikat itu selain dari apa yang sebenarnya yang saya telah lakukan semasa didunia. Bolehkah saya berbohong mengatakan saya telah melakukan semua kebaikan seperti yang diperintahkan semasa saya masih hidup, sedangkan itu tidak benar? Bolehkah saya berbohong kepada malaikat itu?
Sessungguhnya talkin itu adalah pesanan kepada yang masih hidup.
Begitulah secebis coretan disebuah tanah perkuburan di Malaysia untuk renungan bersama.
Saya mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa bapa saya yang telah meninggal dunia, dosa emak saya yang masih hidup, anak-anak saya, datuk nenek, ibu, bapa dan nenek mertua, saudara mara, besan-besan saya dan keluarga, arwah Md. Nor dan kesemua umat Islam. Dan ampunkan juga dosa saya, isteri saya dan anak-anak saya yang masih hidup dan menantu-menantu saya. Pertingkatkan iman kami dari semasa ke semasa dan bimbinglah kami ke jalan yang benar yang Kau redhai ya Allah dan matikan kami sebagai seorang Muslim yang baik dan beriman. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan