Dalam paparan semalam, Sabtu 16.03.13 saya telah mengemukakan 4 soalan kepada kedua-kedua pesaing politik yang ketika ini sedang rancak mengkedepankan diri cuba memenangi hati nurani dan pemikiran rakyat untuk memyokong , sekali gus mengundi serta memberi kemenangan kepada salah seorang dari mereka dan parti pimpinan mereka dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini. Anwar dan Najib sedang melakukanmya diatas pentas rakyat.
Soalan-soalan saya itu disampaikan dalam bentuk puisi agar lebih lunak lagi untuk didengar. Dan sudah tentu jika diciptakan melodinya/iramanya ianya boleh dinyanyi dan disiulkan berkumandang melayang diudara untuk tatapan halwa telinga memasuki pilihanraya tidak lama lagi. Cuma saya tidak ada bakat untuk melakukannya.
Saya cuba berlaku adil dan saksama dalam mengemukakan soalan-soalan itu. Soalan-soalan mestilah sama melainkan soalan yang pertama kerana kedudukan keduanya berbeza tetapi subjeknya/perkaranya sama juga. Kemudian saya memberikan jawapan berdasarkan tafsiran saya keatas pemerhatian, pengalaman dan bukti-bukti yang ada.
Mungkin ada pihak yang mendakwa bahawa saya condong ke satu belah pihak, kepada Anwar dan PR dalam memberikan jawapan itu. Mungkin ada kebenarannya. Tetapi saya perlu jelaskan bahawa kecondongan saya itu adalah satu kecondongan yang telah terbina begitu lama, yang terkumpul semenjak Mahathir mula menerajui negara. Banyak yang tidak kena dari mula dia memimpin negara sehingga ke hari ini, setelah meletakkan jawatan , tapi masih lagi mencampuri urusan seorang ketua negara (PM) dalam mentadbir negara.
Sebenarnya saya mengharapkan ada perubahan ketika Paklah menjadi PM. Harapan kecewa. Saya mengharapkan juga perubahan semasa Najib mengambil alih, dengan perasaan yang kurang percaya kerana Najib naik atas campur tangan Mahathir. Saya lagi kecewa.
Bertambah lagi kecewa kerana Najib mempunyai terlalu banyak hal yang meragukan dari segi keutuhan keperibadiannya untuk mampu mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat. Dan paling paling kecewa sekali apabila tiada seorang ahli/pemimpin UMNO mahu pun BN yang mahu melihat masalah itu sebagai masalah yang besar dan perlu diselesaikan segera, iaitu Najib perlu digantikan segera.
Saya percaya masih ada lagi pemimpin dan ahli UMNO yang berwibawa yang sepatutnya ke depan dan mengambil alih tampuk kuasa dalam parti itu. Tapi nampaknya budaya UMNO budaya Hang Tuah, taat setia membuta tuli, membiarkan kedurjanaan bermaharajalela kerana kuasa sultan yang durjana, nanti nyah kamu semua. Taat sajalah.
Jadi jangan marah jika saya condong ke tempat lain, mencari pokok yang rimbun untuk tumpang berteduh.
Berbalik kepada 4 soalan tadi. Soalan pertama saya ialah berkaitan dengan Putra Jaya, pusat kuasa. Soalan untuk Anwar berbeza berbanding dengan Najib walaupun berkaitan dengan Putra Jaya. Anwar masih diluar dan terlalu ingin memasuki Putra Jaya. Najib pula sudah ada didalam dan sewajarnya mengambil berat untuk berada di Putra Jaya, untuk terus berkuasa.
Tanya sama Anwar bila ke Putra Jaya. Anwar jawab, InshaAllah akan tiba masanya.
Sesiapa yang mendengar ceramah Anwar sama ada secara bersemuka atau melalui video secara langsung atau rakaman, akan sentiasa mendengar perkataan InsyaAllah yang sentiasa diucapkan olehnya, dalam menyatakan kesungguhan dan keyakinannya untuk menguasai Putra Jaya.
Tanya sama Najib apa hal Putra Jaya. Nanti jawab Najib apa nak kisah.
Apa nak kisah? Bagaimanakah sikap sedemikian saya tafsirkan sebagai yang berada dalam pemikiran Najib?
Najib seorang pemimpin yang sentiasa mahu menonjol diri kedepan untuk mengekalkan popularitinya dikalangan rakyat. Apa yang beliau lakukan adalah wajar dan telah pun memberi kesan yang positif pada peringkat awalnya. Beliau ke sana ke sini bersuara lantang meyakinkan rakyat akan agenda Transformasinya yang sehingga kini katanya masih menunggu keberhasilan sepenuhnya sebelum membubarkan parlimen bagi pilihanraya ke 13. Menurut laporan media sokongan, bahawa Najib mendapat sambutan dalam setiap kehadirannya, beribu dan beratus ribu rakyat yang hadir.
Saya tidak mahu menyentuh isi ucapannya khususnya dalam memperlekehkan agenda yang ditawarkan oleh PR termasuk serangan peribadi. Ianya akan menjadi terlalu panjang dan tidak membantu untuk meyakinkan saya untuk mempercayainya.
Najib terus bersuara lantang sehingga ke saat ini. Sinario semasa yang mengaitkan dirinya nampaknya seolah-olah tidak diambil kisah. Itulah kekuatan seorang pemimpin?
Sayang sekali, Najib adalah seorang general tanpa soldadu dimedan perang.
Memang ada kebenaran ramai yang hadir semasa kehadirannya disesuatu majlis. Memang benar persiapan majlisnya dapat diuruskan dengan lebih baik dan sempurna berbanding dengan PR. Maknanya kenyataan Najib seorang general tanpa soldadu itu hanya satu tohmahan dari orang yang iri hati akan kepopularannya? Tidak benar?
Siapa yang hadir? Kenapa mereka hadir? Kalau tidak hadir apa hukuman yang bakal diterima khususnya kepada ketua kumpulan? Jentera mana yang menyediakan segala persiapan majlis? Adakah yang hadir itu dari kumpulan 'nomad', diangkut dan digerakkan dari satu tempat ke tempat yang lain? Ada bayaran yang diterima?
Carilah atau berikanlah jawapan bagi soalan-soalan itu. Jangan tunggu jawapan saya, nanti dikatakan berat sebelah.
Najib sungguh aktif. Yang lain nampaknya longlai layu tidak bermaya, jika bersendirian. Jika ada Najib, bukan main hebat, siap dengan sepanduk, ' I Love PM'.
Sekutu terdekat UMNO iaitu MCA dan MIC sesekali muncul juga, macam iklan biskut- sekejap ada sekejap tiada. Kata orang jangan tidak. Ambil bahasa. Sekutu-sekutu yang lain yang bau-bau bacang seperti Gerakan, PPP dan yang dari Sabah dan Sarawak, entah ke mana hilang ruyupnya.
Jadi dalam hati nurani Najib merasakan bahawa nampaknya dia keseorangan melalak sana dan sini walaupun dengan mata kepalanya dia nampak ada orang dihadapan, dibelakang, dikiri dan dikanannya seolah-olah menyokongnya. Maka dia kena tunjuk wajah ketawa dan suka.
Tapi hati nurani tetap duka.
Maka dengan itu juga bila di tanya 'apa hal Putra Jaya' , tidak hairanlah dia menjawab, 'apa nak kisah' dan diteruskan dengan ketawa kecewa 'ha ha ha'.
Soalan-soalan lain rasanya tidak perlu diulas dan diberi tafsiran kerana ianya jelas menyatakan bahawa BN menghadapi masalah dalam pilihanraya yang ke 13 ini. Namun molek juga diturunkan soalan dan jawapan bagi membolehkan pembaca menilai jawapan yang diberikan itu sama ada bersetuju atau menyanggahnya. Cuma saya tidaklah seperti Anwar yang berani berdebat. Saya macam Najib kot?
Tanya sama Anwar apa janji kamu. Nanti jawab Anwar, Semua Rakyat tahu, Aku beri ilmu.
Sandarannya- Dasar Pelajaran Percuma.
Tanya sama Najib apa janji kamu. Nanti jawab Najib aku keliru.
Sandarannya- Najib sedar bahawa pelajaran adalah penting kepada semua rakyat. Semua rakyat mesti mendapat capaian yang terbaik. Dan Dasar Pelajaran Percuma adalah satu cara membolehkan semua rakyat mendapat pelajaran. Tapi apa akan terjadi kepada banyak institusi swasta yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. UMNO ada kepentingan? Dia jadi keliru.
Tanya sama Anwar bila masuk istana. Nanti jawab Anwar selepas pilihanraya.
Anwar dan kepimpinan PR mempunyai keyakinan yang semakin meningkat untuk memenangi pilihanraya.
Tanya sama Najib bila masuk istana. Nanti jawab Najib rakyat tidak rela.
Maknanya majoriti rakyat yang mengundi tidak mengundi BN atas sebab tidak boleh lagi bergantung harapan pada BN.
Tanya sama Anwar apa harapan kamu. Nanti jawab Anwar, Rakyat yang bersatu.
Anwar dan PR memperjuangkan kebajikan untuk semua rakyat dan wilayah. Semua rakyat diberikan layanan yang sama. Maka sudah tentu rakyat akan bersatu.
Tanya sama Najib apa harapan kamu. Nanti jawab Najib, aku tak tahu.
Najib juga memperjuangkan perpaduan rakyat dengan konsep satu 1Malaysia. Sayang sekali rakan-rakan Najib sama ada dalam UMNO dan NGO telah mencemarkan hasrat mulia Najib ini. Najib menjadi keliru lalu mengatakan dia tidak tahu apa yang diharapkannya dari konsep 1Malaysia itu.
Mengakhiri paparan ini cuba renungkan mangsa-mangsa Mahathir seperti dibawah ini;
Tengku Ab. Rahman PM- Malaysia pertama.
Tengku Razaleigh Hamzah- kalah dalam rebutan presiden UMNO secara yang meragukan sehingga UMNO asal diharamkan.
Tun Hussein Onn-PM 3.
Tun Musa-TPM
Tun Ghaffar Baba-TPM
Paklah- PM 6.
Anwar Ibrahim-TPM
Semua telah gugur menjadi mangsa Mahathir, kecundang dalam politik. Mangsa politik yang masih melawan ialah Anwar Ibrahim.
Doa saya ialah supaya tiada lagi yang menjadi mangsa dan Anwar Ibrahim akan melepasi ujian dari menjadi mangsa Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan