Theflowersellingboy

Selasa, 19 Mac 2013

Air Mata Berlinang Tiada Tertahan Lagi


Naqib di rumahkami diMelaka bersama tokpa dan nenek ketika berusia enam bulan
Semasa menulis, saya rasa sebak, hiba. Saya amat sedih sekali. Saya sayangkannya. Kami amat menyayanginya. Tapi minggu depan kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Tujuh hari lagi, rasanya begitu cepat menemui kami, menusuk-nusuk jantung saya, jantung isteri saya, berkecai.

Gerangan manakah yang mampu menahan kesedihan? Ya, memang ada yang mampu, tapi bukan saya. Tidakjuga isteri saya.

Semenjak dilahirkan, kami tinggal bersama. Hari demi hari kami cuba memahami diantara satu sama lain. Kami belajar untuk tahu menyesuaikan perasaan masing-masing, berkorban dan bertolak ansur. Ya, dalam banyak keadaan, saya tidak malu untuk mengakui bahawa saya sentiasa mengangkat kedua belah tangan ke atas, mengaku kalah. Dia sungguh hebat. Saya sedia berkhidmat untuknya bila-bila masa saja. Saya suka melakukannya, seronok lagi menyeronokkan.

Banyak yang dia pelajari. Setiap hari yang berlalu dia dengan cepat menyeraptambah prasarana bagi menjalani kehidupan di dunia, terutama dalam mengeluarkan sebutan dan memahami kata-kata, dan bahasa badan. Dia memahami dua bahasa.

Minggu depan, tiada ketukan di pintu bilik. Tiada lagi ucapan 'syalam alaikum' (sejahtera keatas kamu) dengan sebutan pelat yang sungguh menarik. Bila saya perlahan-lahan membuka pintu, tiada lagi kelihatan seseorang tegak berdiri memberikan senyuman, dan dengan pantas menghulurkan tangannya untuk digenggam erat, berjalan sama menuju ke ruang tv.

Minggu depan? Tiada seperti itu lagi.Sedih. Hiba.

Saya mengira hari. Minggu depan saya akan berada di Melaka, di rumah saya bersama isteri. Tidak lagi di sini, Saujana Aster.Ketika ini kami sedang menyelesaikan kerja-kerja kami menjelang minggu depan.

Kami akan merasa kesunyian, merindui cucu kami Naqib. kawan sepermainan saya.

Kami bermain bermacam-macam permainan. Antaranya main 'toys', lompat-lompat, sorok dan cari, dan 'on your mark get set go'. Permaianan yang dia suka sekali ialah 'on your mark get set go'. Tapi dia ada peraturan bermainnya sendiri. Tiada siapa yang boleh membantah termasuk pengadil. Naqib mempunyai kuasa mutlak.

Cara bermain adalah begini. Nenek Naqib (isteri saya) secara otomatik dipilih sebagai pemula, mama dan ayah adalah penuntun/merangkap pengadil, dan saya pula sebagai sasaran di garisan penamat. Dia sebagai pelari, hanya dia seorang. Itu caranya yang perlu diikut, tetap. Tiada tawar menawar untuk satu-satu tugas. Semua dia yang menentukannya.

Disamping menjadi sasaran di garis penamat, saya diarah agar tidak memakai baju, berbogel. Tanpa berbaju, saya dengan setia duduk di garisan penamat.

Trek untuk larian bermula dari pintu masuk rumah sehingga ke ruang tv, jaraknya kurang lebih 20 kaki.

Apabila saja dia sudah bersedia di tempat permulaan, dia akan meminta nenek untuk memulakannya dengan menyebut 'on your mark get set go'. Perlu diingat, hanya nenek saja yang boleh menyebutnya, yang lain kena diam. Jika sebaliknya, dia anggap terbatal. Jika berlaku juga (orang selain nenek yang menyebut), dia tidak akan lari kerana kami tidak patuh kepada peraturannya. Nenek sekali lagiterpaksa melakukannya. Sudah tentu atas perintahnya. Dan tersenyumlah dia kerana semua orang tunduk, ikut perintahnya.

Dia berlari ke garisan penamat dengan matanya tertumpu kepada saya. Sebaik saja sampai dan menemui sasaran, dia menepuk belakang saya dengan  tangan kecilnya lagi lembut itu. Saya kena berlakun dengan menjerit 'aduh sakitnya', dan pura-pura buat-buat jatuh terbaring di atas lantai hasil dari pukulannya itu. Bukan main suka dia. Dan kamipun terlalu suka gembira dan ketawa bersama.

Tapi mama dan ayah sebagai penonton , jangan lupa buat pujian, "Good boy> Akib strong. Akib run so fast". Tanpa berlengah, Naqib akan berlari ke garis mula untuk larian seterusnya. Dan kami akan mengulangi lakunan yang sama.

Sampai bila agaknya pertandingan larian tamat? Selagai dia hendak berlari.

Tapi saya terlalu menyukainya dan merasa terhibur. Saya akan merinduinya apabila berada di Melaka nanti.

Kami berada disini, di Saujana Aster pada 18 Disember 2011. Maknanya sudah lebih setahun kami disini, menjaga cucu kami, Ahmad Naqib semenjak dia berusia 9 bulan. Sekarang Naqib memasuki usia 2 tahun menjelang minggu depan, ulang tahun kedua kelahirannya, dan ulang tahun ke 39 perkahwinan kami.

Naqib dilahirkan pada 23 Mac, 2011, di hospital Pantai Air Keroh, Melaka , kurang lebih setengah kilometer jaraknya dari tumah kami. Semenjak dilahirkan, Naqib dan kedua mama dan ayahnya tinggal bersama kami. kemudian pada 18 Disember di tahun yang sama kami berpindah dari Melaka ke Putra jaya kerana mama Naqib bekerja di hospital Putra Jaya.

Sebelum kami balik ke Melaka pada minggu depan beberapa penyesuaian perlu dibuat untuk memberi pendedahan pada Naqib bagi membiasakan dirinya dengan persekitaran yang baru. Persekitaran tanpa kehadiran kami berdua. Juga bagi kedua mama dan ayah Naqib.

Sekarang ini Naqib lebih lama bersama dengan mama dan ayahnya dari kami berdua.

Jadi dalam beberapa hari yang lepas, mama dan ayah Naqib telah mengambilalih kerja kami. Pada awal pagi tadi, pukul 7, mama Naqib menghantar Naqib ke nursery. Kami harap semuanya berjalan dengan baik, selamat perjalanan dan tidak sesat untuk ke nursery. Itulah yang saya bimbang, yang saya fikirkan.

Mengapa saya perlu bimbang? Dia (mama Naqib) sudah dewasa dan cukup matang untuk mengambil tanggungjawab. Dia seorang doktor. Mengapa perlu bimbang tak tentu fasal?

Bagaimanapun, dia anak saya. Naqib cucu saya.

Saya tidak menerima sebarang panggilan talipon. Tiada berita adalah berita baik. Dia selamat. Naqib juga selamat, saya mengharapkan begitu. "Jangan menangis nak, kuatkan semangat".

"Tokpa dan nenek juga jangan menangis, kuatkan semangat".

Saya melihat sekeliling. Saya tidak nampak sesiapapun. Itu suara saya. Suara hati saya.

Pabila air mata mengalir
seperti air hujan
saya mundar mandir
dan panggil namanya
Naqib.... Akib...tokpa sayang Akib. Nenek sayang Akib.

Air mata berlinang, tiada tertahan lagi.              

(Cerita diatas adalah padanan yang dibuat dari paparan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk I Could Not Hold My Tears Any More di blog My Cousin and Cousin of Mine bertarikh 18 Mac, 2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan