Theflowersellingboy

Rabu, 13 Mac 2013

Harapan Tambahan Kepada PR

Manifesto PR , "PAKATAN HARAPAN RAKYAT", dengan komitmen janji-janjinya, saya percaya jika dilaksanakan negara tidak akan bangkerap. Saya tidak pernah meragui kemampuan khazanah negara dalam membiayai apa-apa yang telah dijanjikan oleh PR. Sumber negara mampu menampong janji-janji tersebut.  

Syaratnya negara mestilah diurus tadbir dengan baik. 

Dan PR telah berjanji untuk melakukan tata kelola yang baik berteraskan prinsip moral dan nilai sejagat yang memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Itu yang telah dijanjikan dalam manifesto PR sebagai pesaing BN bagi mendapat mandat rakyat untuk menerajui negara selepas pilihanraya umum ke 13 nanti. 

Sudah tentu BN memberikan pandangan yang tidak menyokong, perkara fitrah yang dilakukan diantara pesaing. Orang berniaga pun akan mengatakan khidmatnya dan  produknya adalah lebih baik dari khidmat dan produk peniaga yang lain. Inikan pula bersaing untuk mendapatkan kuasa bagi meneraju negara. Reaksi BN terhadap manifesto PR sangat mudah difahami. 

Hanya yang saya tidak faham ialah bahawa BN tidak (belum agaknya) pula mengeluarkan manifesto pilihanrayanya untuk dibentangkan kepada rakyat untuk memberi peluang kepada rakyat meneliti dan menilai serta membuat perbandingan dengan tawaran PR dalam manifestonya. Paling menghairankan BN dengan pantas memperlekehkan manifesto PR dengan satu ungkapan yang disebar luas iaitu 'negara akan bengkerap' jika PR melaksanakan janji-janji yang ditawarkan dalam manifesto itu. 

Persaingan diantara peniaga dalam bentuk iklan pun tidak pernah mengutuk produk dan perkhidmatan pesaing. Apa yang dibuat ialah menunjukkan kehebatan produk dan perkhidmatannya. Begitulah cara peniaga memasarkan produk/perkhidmatan bagi meraih keyakinan para pengguna. Satu persaingan yang sihat.

BN bagaimana? Setakat ini belum ada manifesto pilihanraya. Tidak berani berhujah secara bersemuka dengan PR bagi mempertahankan dakwaan negara akan bengkerap jika tawaran PR dilaksanakan. Tidak juga berani berhujah secara bersemuka dalam apa-apa tajuk yang berkaitan dengan pengurusan negara.

Apa yang BN lakukan dalam persaingan dengan PR? Kacau ganggu majlis PR. Menghalang, mencedera dan berbagai kelakuan berbentuk kekerasan, ugutan dan menimbulkan perasaan ketakutan. Memutar belit kenyataan dan mengaibkan, mentohmah peribadi lawan.

Satu kaedah persaingan yang tidak sihat dan tidak demokratik.

Bekas TPM, Tun Musa juga mengatakan jika PR menang negara tidak akan jadi bengkerap.

Dengan kenyataan mantan TPM itu yang juga ahli UMNO serta kaedah kekerasan, ugutan dan menakut-nakutkan serta tidak demokratik yang dilakukan oleh  UMNO/BN, ianya memberi  kemenangan moral kepada PR sebelum rakyat ke peti undi.

PR dijangka berjaya menguasai Putra Jaya, dengan izin Allah.

Tapi saya hendak ingatkan kepada PR: Jangan buat laku macam UMNO/BN. PR faham maksud saya itu kerana perjuangan PR juga menggunakan alasan kelakuan BN yang sedemikian.

Satu hal yang saya rasa PR perlu beri perhatian apabila menang nanti ialah perubahan struktur pengurusan. Jangan terlampau banyak kementerian dan agensi. 

Yang terpenting juga ialah menguruskan modal insan. BN banyak bercakap dalam hal ini tetapi tidak melakukannya dengan baik dan bersungguh. Juga salah meletakkan keutamaan dalam menyalurkan sumber wang.

Modal insan hendaklah dilihat dari bermulanya janin, masih dalam perut ibu. Maknanya kesihatan bakal modal insan itu hendaklah dititik beratkan semasa dalam perut ibu lagi. Berikan segala kemudahan yang terbaik bagi menentukan insan yang bakal dilahirkan itu sihat dan sempurna. Maknanya kemudahan yang disediakan di kementerian kesihatan-peralatan, ubat-ubatan dan tenaga kerja adalah yang terbaik dan mencukupi serta mudah dicapai dan diperolehi oleh semua rakyat yang memerlukan. Jangan dikenakan bayaran. Apatah lagi bayaran diluar kemampuan rakyat.

Satu lagi perkara yang tidak diberi perhatian dan dianggap remeh oleh BN ialah tentang penjagaan anak-anak kecil terutama anak-anak yang terpaksa dihantar ke rumah penjagaan anak disebabkan kedua ibubapa bekerja. Memang ada nursery dalam beberapa agensi kerajaan. Tetapi tidak ada satu polisi yang mensyaratkan supaya majikan bertanggungjawab untuk mengadakan rumah penjagaan anak-anak kecil ini. 

Akibatnya, apa yang terjadi? Memberi tekanan kepada ibubapa yang bekerja kerana bayaran yang dikenakan oleh tempat penjagaan itu terlalu mahal diluar kemampuan. Kesannya produktiviti ibubapa terganggu. Ibubapa terpaksa menghantar ke tempat penjagaan yang tidak selamat dan tidak terjamin dari segi kebersihan. Atau menggunakan khidmat pembantu rumah asing yang selalunya menimbulkan berbagai masalah dan risiko.

PR mesti mengadakan satu dasar tentang tempat penjagaan anak-anak kecil ini. Dan mesti menyalurkan sumber kewangan sama ada sepenuhnya atau sebahagian secara berkongsi sama dengan majikan. Berikan pengecualian cukai dalam peratus tertentu kepada majikan yang bersama-sama menangung pembiayaan rumah/tempat penjagaan anak itu.

Hal yang sama juga perlu dilihat kepada Tadika. Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab untuk membiayainya.

Dalam kata lain tanggungan jawab kementerian pendidikan adalah bermula apabila anak itu dilahirkan sehingga memasuki universiti. Mendafar anak-anak itu, menyedia dan menguruskan tempat penjagaan anak kecil dan tadika sehingga bersambung ke sekolah rendah, menengah dan universiti.  Peruntukan perlu disediakan oleh kerajaan.
      
Saya mengucapkan tahniah kepada PR kerana berjanji melaksanakan Dasar Pelajaran percuma dan menghapuskan hutang PTPTN.

Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang membuat pinjaman dari MARA, kerajaan negeri dan tabung-tabung pembiyaan yang lain seperti Petronas? Mereka adalah pelajar yang sama dari segi kelayakan masuk universiti, malah lebih baik dari pelajar yang mendapat pinjaman dari tabung PTPTN. Misalnya pelajar kedoktoran yang mendapat pinjaman MARA atau pinjaman dari kerajaan negeri. Atau pelajar kejuruteraan yang mendapat pinjaman  dari Petronas misalnya yang belajar di UTP. Apakah mereka tidak termasuk sebagai pelajar yang boleh dihapuskan hutang pinjamannya itu? 

Saya berharap pelajar-pelajar seperti itu juga mesti mendapat faedah yang sama.

Seterusnya, PR juga mesti mengkaji akan program Permata yang dilaksanakan oleh BN. Bagi saya program pertama ini tidak adil dan terlalu eksklusif untuk anak-anak orang senang dan kaya. Mungkin benar mereka mempunyai kemampuan otak yang melebihi dari anak biasa terutama anak kampong. Tetapi apa yang hendak dihairankan kerana mereka mendapat segala kemudahan yang baik-makanan dan persekitaran yang baik.

Hapuskan program itu, berilah tumpuan yang lebih kepada anak-anak kampong yang segala kekurangan dalam mendapatkan pendidikan. Salurkan peruntukan untuk mereka.

Adalah diharapkan perkara-perkara yang disebutkan diatas diambil perhatian oleh PR dan dilaksanakan.  

Kesemua yang diharapkan itu adalah untuk kesejahteraan rakyat.      
  


  
  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan