Theflowersellingboy

Jumaat, 1 Mac 2013

DIALOG DALAM MIMPI

Seorang anak kecil perempuan yang berusia 5 tahun sedang merayau-rayau di sebuah lorong berdekatan dengan sebuah pasar besar. Lepas satu tong sampah ke satu tong sampah ditinjaunya untuk mencari sesuatu. Menghala ke hadapan anak itu, ada seorang lelaki tua sedang melihat dengan tekun akan gelagat anak kecil itu yang semakin menghampirinya.

Si lelaki tua itu bertanya kepada anak itu apakah yang sedang dicarinya dalam tong-tong sampah tadi. Maka tanpa merasa takut dan terkejut akan sapaan dan pertanyaan si tua tadi, anak itu dengan bersahaja menjawab bahawa dia sedang mencari seorang ayah yang baik. Jawapan dari anak itu menyebabkan perasaan lelaki itu menjadi tersentak sehingga hati sanubarinya membisik bahawa anak kecil ini telah jadi gila. Mana mungkin ayahnya menyorok dalam tong sampah yang busuk hanyir itu.

Namun situa itu tidak mahu berhujah mengatakan bahawa anak kecil itu mencari ayahnya ditempat yang salah. ' Budak ini gila', telah mempengaruhi fikiran dan cara laku situa ini terhadap anak kecil itu. Dia sengaja mahu melayan anak itu untuk meneruskan kenyataan yang bersifat gilanya itu. Dia memulakan sandiwaranya.

"Kenapa mahu mencari ayah", situa betanya.

"Bukan pakcik, saya nak cari ayah yang baik", anak itu membetulkan silap faham situa. Situa itu mula tersipu malu kerana tidak memahami kenyataan mudah dari anak kecil itu. Tapi dia masih mengatakan anak kecil itu gila. 'Budak gila, macam tu lah'.

Namun dia tidak mahu terus bertanya tanpa berfikir. Dia khuatir ditegur lagi. Maklumlah budak gila tidak mudah untuk dibaca fikiran dan kelakuannya.  

Ada sesuatu datang dalam fikiran situa itu. 'Mengapakah agaknya budak gila ini mahu mencari ayahnya saja'.  'Maksudnya, ayah yang baik', dengan cepat dia membetulkan kesasulannya.  'Kenapa tidak mencari ibu yang baik. Bukankah ibu itu lebih dekat dengan anak dan berhati lembut?'

Mungkin budak gila ini hendak mengenakan si lelaki ayahnya. Ayahnya telah buat hal melarikan diri, membiarkannya keseorangan terumbang ambing , merayau-rayau dilorong yang kotor. Tapi kenapa tidak mencari ibunya. Ibunya juga bertanggongjawab, malah wajar lebih bertanggongjawab keatas seorang anak. 

Dia mahu membetulkan kesilapan anak ini dalam tanggapan fikirannya terhadap seorang ayah, terhadap sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan anak. Bahawa tidak semua ayah yang jahat, dan tidak semua ibu yang baik.

Dia seorang lelaki, seorang ayah, wajar memperbetulkan silap faham ini.
Tapi itu pemikiran seorang yang rasional, bukan pemikiran orang gila seperti budak perempuan kecil ini. Gila mesti dibalas dengan gila, baru ngam. Baru padan, sama-sama gila. 
 
Maka secepat kilat datanglah dalam fikiran situa itu untuk mengenakan si budak kecil itu dengan pertanyaan bertujuan untuk mengusik perasaannya, mempermainkannya dan menyakitkan hatinya. Dia  mahu buat-buat gila. Dia mahu memulakan dialog.

Si Tua (ST): Anak sudah kahwin ke?

Anak Kecil Perempuan (AKP): Belum. Saya baru berusia 5 tahun. Belum lagi baligh. Tapi kalau saya nak kahwin, saya akan cari ayah yang baik.

ST(mendengar bunyi ayat terakhir itu, hatinya berkata sahlah budak ini gila): Mengapa pula hendak memilih ayah yang baik sebagai suami?

AKP: Ayah yang baik adalah suami yang baik.

ST: Tapi bukan kah itu akan merobohkan rumah tangga insan yang lain.

AKP: Macam mana boleh jadi begitu. Saya cuma memilih ayah yang baik kepada anak saya. Saya tidak ganggu suami orang.

ST: Ayah yang baik itu bukankah suami orang?

AKP: Benar. Itulah suami idaman saya, seorang ayah yang baik.

ST(dalam hati mengatakan pelik betul budak gila ini): Kalau ayah yang baik itu suami orang mengapa memilih ayah yang baik itu?

AKP: Ayah yang baik itu adalah ayah kepada anak saya. Dia suami saya.
 
ST(mula faham dan tersipu-sipu):Oooo katalah awak nak cari suami yang baik. Buat confuse saja.

AKP: Bukan begitu pakcik. Sebab suami yang baik belum tentu menjadi seorang ayah. Jadi macam mana dia nak jadi ayah yang baik.

ST(menggaru-garu kepala, pening membaca jalan fikiran budak gila ini. Dengan sedikit suara meninggi, dia meneruskan ): Apa sebenarnya yang kau cari. Merayau kesana kesini. Lepas satu tong sampah ke tong sampah yang lain. Jumpa ke suami pilihan kau tu?    

AKP: Minta maaf pakcik. Dah lama saya mencari ayah yang baik tapi tidak jumpa. Kesian ibu saya di hujung sana, meminta saya tinjau dalam tong sampah kalau-kalau terjumpa suaminya dulu, ayah saya. Kata ibu, dia bersama-sama dengan ayah membawa saya ke sini masa saya dilahirkan dulu. Tapi saya masih lagi tidak berjumpa dengan ayah saya. Ibu kata carilah ayah yang baik sebagai suami saya.

Anak kecil itu terus berjalan ke hadapan meninggalkan si tua yang sudah terpinga-pinga mendengar jawapan itu.

"Gila, gila, aku sudah jadi gila.....

"Siapa yang gila bang?" Terasa badan saya digerak-gerakkan. Saya membuka mata. Dihadapan isteri sedang berdiri. Saya bermimpi rupanya, beristighfarlah saya.

"Lepas Subuh jangan tidur. Padan muka, mimpi orang gila", isteri keluar dari bilik meninggalkan saya keseorangan. 

Kali ini saya tidak terpinga-pinga tapi tersenyum suka mengingatkan kembali dialog dengan anak kecil perempuan yang masih berusia 5 tahun itu, yang mencari ayah yang baik bagi anaknya sebagai menurut pesanan dari ibunya.
 

   
   

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan