Semasa saya masih bekerja dulu, ketika Anwar Ibrahim menghadapi kes liwat 1, seorang pemandu kereta sebuah organisasi dengan jelas, berani dan teruja memberitahu saya bahawa Anwar memang melakukan liwat dengan Azizan Abu Bakar.
Saya dengan pantas bertanya,"Mana awak tahu".
"Kawan saya punya kawan beri tahu", jawabnya bangga.
"Dia tengok sendiri ke?" Saya tanya.
"Tidak. Dia dapat tahu kawan dia punya kawan kenal Anwar". Jawabnya selamba.
"Dia sendiri tak tahu?" Soal saya.
"Tapi, ini memang betul",dia masih mempertahankan keyakinannya bahawa memang Anwar melakukan liwat.
Maka apabila mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Anwar, pemandu itu bukan main suka kerana apa yang dia percaya terbukti benar. Saya masih tidak percaya.
Saya masih tidak percaya bukan kerana saya tahu Anwar tidak melakukannya. Saya tidak percaya kerana hakim bicara Augustine Paul (mendiang) berat sebelah. Saya tidak percaya kerana Dr.Mahathir takut untuk hadir di mahkamah menjadi saksi. Saya tidak percaya kerana kenyataan saksi (Azizan) yang bercanggah. Saya tidak percaya kerana tahun pertuduhan perlakuan liwat itu berubah-ubah. Saya tidak percaya kerana Anwar dituduh dengan berbagai kesalahan jenayah, tapi hanya pertuduhan liwat dan salah guna kuasa saja yang didakwa. Maknanya pertuduhan yang terlalu banyak adalah semata-mata untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai bahawa Anwar ini adalah sejahat-jahat manusia. Dan dengan itu tidak layak jadi PERDANA MENTERI.
Ertinya inti pati yang tersirat dalam tuduhan itu ialah bahawa Anwar tidak layak menjadi PERDANA MENTERI. Bukankah itu ada bau hangit, hancing, hapak, hanyir dan hasad dengki politik?
Berhujahlah orang yang mendakwa Anwar sebagai peliwat iaitu 'kita tidak boleh mempunyai seorang Perdana Menteri yang rendah moralnya (peliwat).
Maka ini juga sebab yang kuat yang membuatkan saya begitu yakin bahawa pertuduhan ke atas Anwar bukan fasal moral. Saya dan ramai yang lain sedia tahu bahawa yang membuat tuduhan juga tidak juga mempunyai moral yang baik malah menentang hukum Allah. Tapi masih lagi memimpin negara dan dipercayai. Begitu juga yang lain-lain tahap moral yang ditunjukkan diketahui terlalu hina dan rendah. Mengapa tidak didakwa?
Akhirnya Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Persekutuan (mahkamah paling tinggi). Begitu pun masih lagi mereka menyatakan bahawa dia yakin Anwar melakukan liwat. Dan ramai penyokong-penyokong tegar mereka menganggukkan kepala. Dahsyat sungguh orang-orang itu!
Pada hari ini pula bapa si Saiful dalam kes liwat 2, (macam cerita bersiri pula) menyatakan bahawa tuduhan liwat 2 adalah konspirasi pihak tertentu untuk menjatuhkan Anwar.
Saya tidak tahu sama ada benar kenyataan bapa si Saiful itu atau sebaliknya. Ada yang kata benar. Ada yang kata bapa si Saiful dibeli.
Tapi pendirian saya adalah berasaskan kepada keputusan perbicaraan di mahkamah walaupun pada masa perjalanan perbicaraan saya nampak ada ulangan seperti dalam perbicaraan liwat 1 dulu. Tapi akhirnya mahkamah mengatakan tiada bukti Anwar melakukannya dan keterangan saksi (Saiful) tidak boleh dipercayai.
Pendirian saya semakin kental apabila timbalan pendakwa raya yang menjalankan pendakwaan (yang telah bersara) menyatakan kesediaan untuk membela Anwar dalam rayuan yang dibuat oleh si Saiful. Lihat orang yang mendakwa bertukar menjadi pembela. Apa maknanya itu?
Selain dari itu berbagai-bagai pendedahan yang dibuat oleh berbagai pihak termasuk bekas KPN Musa Hasan, Penyiasat Persendirian Bala dan penjual permaidani Deepak, memperteguhkan kepercayaan saya bahawa ada yang tidak kena dalam sistem yang berkaitan dengan penyiasatan, pendakwaan dan penghakiman. Maksudnya ianya tidak telus dan dipengaruhi oleh mereka yang mempunyai kuasa eksekutif tertinggi. Yang hitam boleh diputihkan, begitu juga sebaliknya.
Ingat video Lingam, si correct, correct, correct itu. 'Nampak macam saya, tapi bukan saya'.
Jadi macam mana saya nak percaya tuduhan keatas Anwar itu!
Apa saja yang tidak baik, yang jahat, yang rendah moral, yang jijik, pengkhianat negara, bangsa dan agama, dan berbagai lagi, Anwar Ibrahimlah orangnya. Sungguh senang mereka mencari orang yang sebegitu jahat itu. Dan mereka akan berkata, "Kalau tak percaya suruh Anwar bersumpah menjunjung al-Quran. Mesti tak berani punya".
Mereka gunakan kaedah bersumpah al-quran untuk meyakinkan dakwaan yang dibuat. Seolah-olah mereka itu hafiz dan faham isi kandung al-quran, dan taat perintah Allah. Ramai yang percaya dan terpedaya. Kalau yang kurang pendidikan seperti pemandu diatas tadi, tidaklah menghairankan. Tapi yang percaya ini bukan calang-calang orang dari segi pendidikan dan ilmu agama. Dan ada yang menjadi jurucakap mengheboh-hebohkannya.
Nasib kaulah Anwar Ibrahim, saya hanya mampu mendoakan agar kau dijauhi dari fitnah manusia. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan