Theflowersellingboy

Isnin, 18 Mac 2013

MENCARI PERKATAAN BAGI SIFAT DAN PERBUATAN INI

Saya sudah berfikir terlalu lama. Merenung dan termenung. Mencari sebab dan musabab. Namun sehingga kesaat ini saya belum lagi ketemu dengan jawapan. Mengapa jadi begini?

Saya juga tidak dapat menghasilkan kata atau ungkapan yang boleh membawa makna kepada  sifat dan perbuatan sedemikian.

Mengapa jadi begini?  Mengapa orang Melayu dari semua peringkat, latarbelakang sosio-ekonomi dan pendidikan, yang selalu membawa Islam sebagai penyaksian , jadi begini:

1. Mengaibkan orang dengan video lucah
2. Membuat fitnah dan menyebar fitnah
3. Menggunakan perkataan lucah dalam menggelar dan menamakan seseorang
4. Memutar belitkan fakta dan kenyataan 
5. Menzalimi
6. Membuat kenyataan bohong dan palsu
7. Mengkhianati negara
8. Dan banyak lagi sekutu-sekutu yang sejenis. Senarainya terlalu panjang.

Apakah perkataan atau ungkapan yang dapat menggambarkan kesemua jenis sikap dan perbuatan itu.

DURJANA?

Saya rasa masih lagi tidak merangkum. Entahlah.

Saya tidak berani menggunakan perkataan munafik kerana saya belum mendalam dalam hal dan sifat serta perbuatan seorang munafik. Saya lebih gemar mencari perkataan selain dari itu, dalam bahasa Melayu.

Perlu diingat mereka ini masih lagi naik saksi atas nama  Islam. 

Mereka ini akan sanggup berperang, bergaduh, membaling menggunakan berbagai objek-batu, telur, kayu, sanggup membunuh orang, menunjukkan simbol-simbol lucah, mencarut, memaki hamun, menjerit, melaung dan berbagai perbuatan yang boleh merosak, mencedera dan menghilangkan nyawa manusia ( haiwan lagi tidak ada hal) dan selepas itu ajak bersumpah menjunjung al-quran sebagai saksi bahawa mereka adalah dipihak yang benar. 

Serangan mereka tiada had dan batasan. Menggunakan objek keras, lembut, tumpul dan tajam. Mereka juga gunakan tulisan, alat pandang dan dengar lalu  disebarkan secara meluas melalui berbagai capaian.

Dan mereka juga mengutamakan jemaah dan bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat. Menunaikan haji adalah satu idaman dan cita-cita. Salah satu tabung simpanan ialah di Tabung Haji. Umrah sudah jadi satu lumrah, banyak kali berdiri dan duduk serta solat dan berdoa di hadapan  kaabah.  Ayat al-quran sentiasa menjadi teman semasa berbicara, berhujah dan memberi nasihat. 

Sekarang ini menghampiri pilihanraya, mereka berkeliaran. Tapi saya masih lagi merenung dan termenung dengan persoalan mengapa jadi begini dan apakah ungkapan atau perkataan untuk mereka yang bersikap dan berkelakuan seperti ini. 

Ada ubat yang mujarrab?
 

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan