Theflowersellingboy

Selasa, 2 April 2013

Pening Kepala Untuk Memilih Barang-barang Yang Perlu Dibuang.

Penat sungguh semasa memilih bagi menentukan barang/kertas/buku yang perlu dibuang. Ini adalah gara-gara tidak mempunyai sistem pemilikan/penyimpanan barang berdasarkan jangka hayat boleh guna. Dengan demikian barang-barang yang tidak berguna pun masih lagi disimpan atau tersimpan, mengambil ruang rumah. Semakin hari semakin bertambah sehingga menyemakkan fikiran. 

Diantara barang-barang yang banyak tersimpan tetapi tidak digunakan ialah nota-nota semasa belajar dulu. Berfail-fail tersimpan dalam almari dan laci-laci. Telah banyak kali hendak dibuang tetapi semasa proses mengenalpasti yang mana patut dibuang, timbul satu perasaan sayang dan serba salah. Ada banyak kenangan yang mengikat hati terutama kertas-kertas 'assingements' yang mendapat markah yang baik. Lalu nota-nota mengenai subjek itu menjadi tarikan untuk disimpan. Tapi tidak pula digunakan.

Satu lagi ialah nota dan dokumen/kertas kerja bagi sesuatu seminar dan persidangan yang dihadiri. Banyak yang tersimpan tapi tidak pernah dibuat rujukan atau dibaca semula. Hanya disentuh semasa menghadiri seminar. Lepas itu dimasukkan ke dalam almari sehinggalah ke hari ini. Menyemak saja.

Bersama dengan nota/dokumen dan kertas kerja ialah beg-beg seminar. Berlambak tersimpan bersama dengan dokumen itu. 

Sebenarnya, antara niat barang-barang itu disimpan dengan baik ialah apabila bersara nanti, saya bercadang hendak menulis mengenai subjek-subjek berkaitan, dengan menampilkan pengalaman semasa bekerja. 

Itu niat semasa semangat begitu tinggi, semangat semasa bekerja. Segala gelora yang ada dalam perasaan ketika itu disimpan untuk diluahkan semasa bersara. Waktu bekerja ianya tidak mungkin boleh dilakukan. Ada berbagai sekatan. 

Tapi apabila bersara, gelora masih kuat membara, cuma tenaga tidak seperti masa muda-muda. Lepas sehari ke sehari niat ditangguhkan sehinggalah ke hari ini. Satu tulisan pun tidak terhasil. Akibatnya segala bahan-bahan rujukan itu terbiar saja tidak digunakan, malah menyakitkan mata memandang.

Satu lagi ialah bil-bil yang telah dibayar termasuklah bil cukai tanah, cukai taksiran, IWK, bil air , bil letrik, bil astro dan macam-macam lagi. Satu dari sebab bil itu disimpan ialah ianya akan diminta oleh pihak-pihak tertentu bagi membuktikan misalnya bil cukai tanah telah dibayar pada tempoh yang lepas. Sepatutnya pihak berkenaan tidak wajar meminta rekod seperti itu. Jika mahukan pengesahan, dapatkan saja dari pejabat tanah. Tidak perlu kita menyimpan bil yang lama.

Ada satu kes klasik yang menyebabkan saya menyimpan bil yang telah dibayar ini. Ianya bil bayaran saman meletak kereta. Apabila saja saya melihat saman terlekat pada cermin depan kereta disebabkan  tidak meletakkan tiket letak kereta, saya dengan segera ke pejabat berkenaan untuk membayarnya. Tujuan bayar cepat itu ialah untuk dapat diskaun. Kemudian setahun selepas itu saya menerima surat perintah mahkamah dari pihak berkuasa tempatan itu meminta saya datang kerana gagal membayar saman dalam tempoh yang ditetapkan.

Mula-mula marah juga saya kerana pada ingatan saya ianya telah dibayar. Tapi apa buktinya?
 
Maka terkial-kiallah saya menyemak dan mencari dimana saja yang saya ingat yang biasanya saya simpan sesuatu bil yang telah dibayar. Tapi masalahnya, bil kena saman ini tidaklah seperti bila air atau letrik yang kita bayar tiap-tiap bulan. Maka saya ada fail khas setiap bil-bil itu. Kena saman bukannya selalu. Jadi saya tiada fail khas. Saya simpan mengikut 'sempat' saja. Dimana pada masa itu saya nak simpan saya akan simpan.

Allah maha menolong. Akhirnya terjumpa dicelah-celah sebuah diari. Setelah diteliti maka no. rujukannya sama dengan rujukan dalam surat perintah mahkamah. Jadi saya buat keputusan tidak akan hadir dimahkamah itu. Biar mereka saman saya kerana menghina mahkamah. Saya pula akan saman kerana mengaibkan saya sebagai orang yang tidak bayar saman sedangkan saman telah saya bayar. Sehingga sekarang saya tidak tahu apa keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu. Saya sedia menunggu.

Maaf saya sedikit melencong.   

Jadi apa saja yang saya simpan dan masih simpan dan tidak dibuang adalah disebabkan adanya perasaan sayang dan serba salah antara nak buang atau nak simpan. Sudah banyak kali saya bercadang hendak mengurangkan barang-barang itu tetapi apabila dipegang, disemak dan dibaca, timbul perasaan serba salah dan sayang. Ditambah pula ada sedikit semangat untuk menjadikannya sebagai bahan rujukan. Tapi tangguh dulu untuk menulis. Akhirnya tak jadi apa-apa, sehingga barang-barang itu sudah naik taraf menjadi sampah sekarang ini.

Untuk semakan kali ini, saya telah memperkuatkan hati bahawa ianya perlu dibuang. Soal nak jadi bahan rujukan, atau ada kenangan yang perlu disimpan atau apa saja alasan, sudah saya ketepikan. 

Mengapa barang-barang itu semakin bertambah? Sebab saya tidak tentukan tarikh tamat boleh guna barang-barang itu. Misalnya jika nota-nota university dulu saya buang sebaik saja tamat pengajian, ianya tidaklah berlapok sampai sekarang. Jika saya ada tarikh tamat boleh guna berpuluh-puluh beg seminar yang ada, sudah tentu ianya tidak mengambil ruang dirumah saya. 

Satu lagi ialah barang-barang anak-anak yang telah tamat pengajian dan bekerja. Dengan bukunya, peralatan dan kelengkapan belajarnya, semua ditinggalkan di rumah saya. Saya hendak buang, tapi khuatir dia memerlukannya lagi. Tak buang , buat semak saja. 

Selain dari buku dan kelengkapan belajar mereka, barang-barang lain juga ada ditinggalkan misalnya hadiah-hadiah hari perkahwinan dalam berbagai bentuk, misalnya frame gambar dan frame ayat al-Quran. Semuanya mengambil ruang dan boleh jadi pening mata memandang. Tapi masalahnya jika dibawa ke rumah mereka sudah tentu mereka pun pening kepala kerana ruang rumah mereka agak kecil. Jadi nak buat macam mana? Buang saja? Menangis pula anak-anak saya itu.

Jadi selain dari barang anak-anak, barang-barang kepunyaan saya dan isteri telah disepakati untuk dibuang.

Oh nanti dulu, kata isteri. Beg-beg seminar itu ada yang cantik-cantik  dan masih kelihatan baru. Dia bercadang untuk simpan dulu dan berikan kepada adik beradik dan anak saudara jika mereka mahu. Maka disimpan semula beg-beg yang telah sedia untuk saya buang itu. Dia simpan dalam beg plastik supaya tidak berhabuk. Dan pada hari raya nanti, apabila mereka datang beraya ke rumah,  beg-beg itu akan dipamirkan untuk dibuat pilihan, tiada bayaran.
  
Selain dari beg, golf set saya juga akan diberikan kepada sesiapa yang berkenan nanti. 

Nampak gayanya kali ini kami berdua telah berjaya sedikit sebanyak mengatasi perasaan sayang kepada barang lama yang tersimpan. Banyak yang kami setuju untuk dibuang, dilupuskan.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan