Theflowersellingboy

Isnin, 25 Mac 2013

Ciri dan Syarat-syarat Untuk Jadi PM Malaysia.

"Politik adalah satu persekongkolan. Ada unsur baik dan ada unsur jahat. Berkawan dalam keraguan. Saling berprasangka dan berwaspada".



PM Malaysia, jawatan Eksekutif  tertinggi negara. Dalam perkataan lain orang yang paling berkuasa di Malaysia.

Sudah tentu jawatan itu menjadi idaman ramai orang, termasuk saya. Tapi adakah saya mempunyai ciri-ciri untuk menjadi seorang PM? Adakah saya memenuhi syarat untuk menjadi PM? Dua soalan ini juga perlu dipanjangkan kepada mereka yang mengidam jawatan PM itu.

Saya mahu menjawab untuk diri saya terlebih dulu. Sebab saya tahu jawapannya. Tepat

Manusia mana yang tak mahu berkuasa kalau pun tidak gila kuasa. Mungkin ada iaitu orang yang mempunyai perangai luar dari biasa. Tapi jangan silap tafsir dengan mengatakan orang seperti itu adalah orang baik-baik. Mungkin orang seperti itu dari jenis pengecut. Cuba mengelak dari mengambil tanggungjawab.

Tapi bukan saya. Saya mahu mengambil tanggungjawab. Saya adalah seorang yang mahukan kuasa. Tapi tidak mampu untuk mendapatkannya. Sebab saya tidak ada ciri-ciri untuk menjadi PM walaupun rasa mengidam untuk jadi PM terlalu tinggi melonjak.

Untuk mendapat kuasa negara ia perlu dilakukan dengan mengadakan persekongkolan. Tidak boleh bersendirian. Saya pula mahu lakukan secara persendirian.

Persekongkolan adalah asas utama penubuhan sesuatu parti politik. Tidak ada pakatan dalam parti politik kerana konotasi pakatan adalah untuk sentiasa kekal bersama, berpakat-pakat untuk ujud bersama. Ianya tidak boleh berlaku dalam politik. Hari ini kawan, esok lusa belum tentu masih lagi berkawan. Dan kalau kawan menjadi musuh, perseteruannya terlalu dahsyat sekali. Semua yang berlubang habis dikoreknya. Bukan itu saja, merekacipta pula berbagai-bagai lobang semata-mata untuk menanamkambus musuh baru yang dulu kawan lamanya. Tidak salah kalau ada orang mengatakan 'orang politik ini adalah syaitan yang dikenali'.

Sebaliknya juga boleh berlaku apabila ianya bertukar dari musuh kepada kawan. Segala keji-kejian yang telah diluahkan dahulu, siap dengan sokongan bukti,  berkotak-kotak banyaknya, hilang ruyup entah kemana. Kawan baru ini, yang baru dikenali, yang dulu seteru ketatnya,  dipuji melangit seolah-olah perangai macam malaikat. Malaikat yang baru dikenali. 

Tiada lagi lobang. Semuanya telah terkambus padat yang menjadi tempat yang subur untuk pokok hidup merendang dan berbuah untuk dianya tumpang berteduh.

Maka dalam politik ada syaitan yang dikenali dan 'malaikat' yang baru dikenali. Apa saja yang dipilih sama ada syaitan yang dikenali atau 'malaikat' yang baru dikenali, natijahnya tetap satu iaitu untuk berkuasa.
 
Politik adalah satu persekongkolan. Ada unsur baik dan ada unsur jahat. Berkawan dalam keraguan. Saling berperasangka dan berwaspada. Maknanya politik tidak hanya mengutamakan yang hak atau pun yang batil. Keutamaan orang politik atau parti politik ialah untuk mendapat kuasa. Memperjuangkan yang hak adalah satu pendekatan bagi mendapat kuasa. Melakukan yang batil adalah juga satu cara untuk mendapat kuasa. 

Ertinya untuk jadi orang politik kedua-dua ciri ini mesti ada dan boleh berjalan sama. Ianya bukan satu konflik, ianya saling perlu memerlukan, saling tampung menampung dan lengkap melengkapi. Umpama arus negatif bertemu arus positif-tidak menolak.

Contoh. Semua orang politik/parti politik bermati-matian menentang perlakuan rasuah. Mereka memperjuangkan keadilan sosial. Menentang habis-habisan perlakuan jenayah. Saya percaya tiada seorang pun akan berani menafikan kenyataan ini.

Tapi mereka tidak boleh hidup tanpa melakukan rasuah. Mereka bersaing untuk mendapat kuasa, untuk berada diatas. Untuk mendapat kuasa mereka mesti mempengaruhi ramai orang untuk menyokongnya. Bagaimana caranya? Hanya dengan air liur?

Sudah tentu itu bukan caranya. Mereka mesti mendahului dan melebihi dari lawan/pesaing. Mesti dahulu mengemukakan tawaran. Syaratnya tawaran itu mesti yang melebihi atau yang dijangka tidak dapat disaingi pihak lawan. Dan mereka akan menggunakan berbagai cara, asalkan orang yang diberi tawaran itu dapat dimenangi hati dan fikiran untuk memberi sokongan tanpa ragu-ragu. 

Penggunaan cara bersumpah bersaksikan kitab suci menurut masing-masing kepercayaan bukan perkara yang luar biasa bagi mendapatkan kepastian sokongan. Terdengar juga cerita bahawa dalam jamban pun sanggup bersumpah bersaksikan kitab kepercayaan masing-masing.

Begitulah hebatnya tarikan untuk berkuasa sehinggakan rasuah yang dikutuk secara terang-terang dijadikan alat untuk mendapat kuasa.  

Maka dengan itu rasuah bukan satu yang jijik walaupun secara nyata dan lantang mereka menentangnya. Rasuah adalah satu keperluan dan satu kemestian untuk mendapat kuasa.

Begitu juga dalam melaksanakan keadilan sosial. Mereka akan melaksanakan dengan sesungguhnya sehingga tidak lagi menghiraukan kesan kepada struktur yang ada dan kedudukan sesetengah pihak yang sedang menikmati kelebihan dari pihak yang lebih besar. Misalnya dalam mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat terbanyak. Struktur ekonomi yang mengutamakan golongan yang dekat dengan sumber kuasa yang bilangannya kecil mahu dirombak agar kekayaan negara tidak diboloti oleh sebilangan kecil rakyat. Itupun dilakukan oleh politik.

Dan berbilion ringgit sanggup dikeluarkan bagi membantu orang-orang yang susah dan memerlukan

Jadi ciri yang mesti ada ialah sifat sanggup bersekongkol. Tiada ciri ini lupakan saja angan-angan untuk jadi PM Malaysia.

Namun kena memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Antaranya perlu menang dalam pilihanraya Parlimen dan mendapat kepercayan sebahagian besar ahli-ahli parlimen.

Jadi sebagai rakyat Malaysia, dalam sistem demokrasi yang diamalkan kita tiada pilihan. Sama ada kita suka atau tidak kita juga terlibat dalam memilih orang-orang yang bersifat bersekongkol. Orang yang melakukan yang hak dan yang batil. Dan dilakukannya bukan saja secara tidak sedar malah secara terancang dan penuh kesedaran. Yang mampu kita buat ialah untuk menimbang pihak mana yang kurang atau lebih kecil melakukan kemudaratan. Pilihlah orang itu atau parti itu untuk menjadi PM Malaysia dan menerajui negara. Sesungguhnya tiada malaikat dalam politik.  

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan