Al-Fatiha dan salam kewiraan untuk anggota keselamatan kita yang gugur dalam peristiwa pencerobohan Lahad dan Semporna. Semoga mereka yang gugur akan dimasukkan dikalangan orang yang di redhai Allah. Kepada ahli keluarga, ucapan takziah dari blog kecil ini.
Banyak yang telah diperkatakan tentang pencerobohan dari kesultanan Sulu ini. Macam-macam pandangan. Ada yang mirip kepada kecenderungan politik, ada yang cuba menuding jari menyalahkan seseorang, ada yang mengkritik cara kerajaan dalam menghadapi pencerobohan yang dikatakan terlalu lemah dan tidak serious. Tidak kurang juga yang merasakan kehairanan bagaimana penceroboh dengan alat senjata boleh bolos masuk sedangkan kita mempunyai sekurang-kurangnya 4 agensi yang mengawal keselamatan beserta dengan peralatan dan sistem pengesanan yang canggih.
Itulah yang biasanya berlaku apabila tercetusnya sesuatu peristiwa. Macam-macam cakap keluar.
Pihak kerajaan juga menyatakan bahawa keadaan adalah terkawal dan meminta semua pihak tidak menyebar khabar angin (cerita tidak benar). Tapi soalnya apakah cerita yang sebenarnya? Selagi kerajaan tidak melaporkan kepada rakyat misalnya melalui persidangan parlimen, sudah tentu berbagai cerita atau khabar angin akan tersebar. Oleh itu jangan diberi ruang cerita khabar angin itu merebak. Ianya sentiasa ditunggu-tunggu dan sentiasa boleh dipercayai kerana cerita dari sumber yang dikatakan benar juga ada masanya bercanggah dan mengelirukan.
Misalnya ada laporan mengatakan , penceroboh menggunakan mortar semasa buat serangan. Ada berita mengatakan penceroboh tidak mempunyai senjata berat dan hanya bersenjata senapang dan parang.
Satu lagi yang menjadi persoalan ialah tentang laporan menyatakan bahawa musuh menembak anggota keselamatan setelah mengibarkan bendera putih (menyerah). Pemimpin kerajaan mengatakan perbuatan seperti itu sebagai satu tindakan orang pengecut. Pengecut atau berani, anggota keselamatan kita telah gugur.
Soalnya adakah anggota keselamatan, setelah melihat bendera putih, dengan segera keluar dan mendedahkan diri mereka tanpa meminta terlebih dulu pihak musuh yang menyerah itu, meletakkan senjata dan keluar dari tempat persembunyian dengan mengangkat kedua belah tangan diatas kepala? Saya percaya anggota keselamatan kita adalah mereka yang telah terlatih dalam prosedur menjaga keselamatan diri. Sudah tentu mereka berwaspada walaupun bendera putih telah dikibarkan oleh musuh.
Yang pastinya angggota kita telah terkorban, meninggalkan anak isteri. Dapatlah dinaikkan pangkat setelah terkorban.
Jadi rakyat terutamanya waris anggota yang terkorban berhak untuk tahu cerita sebenarnya . Maka Kerajaan mestilah mengadakan persidangan parlimen khas bagi membincangkan tentang pencerobohan ini , termasuk langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Selagi tidak dibincang, dibahas dan diterangkan di Parlimen, selagi itu berbagai cerita akan keluar. Dan adalah tidak mencukupi hanya kerajaan mengeluarkan nasihat atau amaran supaya jangan dengar khabar angin. Angin akan lebih kencang bertiup membawa berbagai cerita jika kerajaan tidak cepat mendahului angin.
Segera bertindak , jangan lembab terhegeh-hegeh. Nanti ramai pula yang gugur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan