Theflowersellingboy

Selasa, 26 Februari 2013

Balik ke Melaka, Naqib Bertambah Suram.

Stamina saya masih lagi belum pulih sepenuhnya. Masih lagi kurang bermaya, malah lebih teruk dari kedudukan semalam, letih lesu.  Inilah akibat dari keracunan makanan. Ceret beret dan muntah. Hari ini masih ceret beret tapi tidak muntah. Perut ada rasa sedikit mual dan tekak rasa pahit tidak berselera.

Saya keracunan makanan. Sumber dari mana? 

Selepas saja meninggalkan Majlis Makan Malam Tahunan ASAS sempena usia SAS yang ke 50, sampai di rumah pukul 11 malam, saya terus duduk di hadapan tv menonton perlawanan bola diantara MU dengan QPR. Perut saya mula bergelora, ada yang tidak kena. Tapi tontonan di teruskan sehingga tamat. 

Dan pada pukul 5 pagi, saya ke bilik air. Keluarlah racun itu menerusi saluran atas dan bawah. 

Saya tidak ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan. Saya yakin ceret beret dan muntah itu akan mengeluarkan racun yang mencemarkan makanan itu. Cuma, saya perlu menghadapi kesakitan ketika muntah yang terlalu kerap. Sebab itu saya mengambil makanan yang lembut seperti bubur. Ceret beret dan muntah juga boleh menyebabkan air dan mineral dalam badan berkurangan. Suara menjadi serak dan perlahan, susah hendak dikeluarkan.

Untuk menggantikan air yang banyak keluar, saya sentiasa mengambil garam ORS (Oral rehydration Salts). 

Dan semalam saya rasa sudah pulih. Saya mula makan nasi menggantikan bubur.

Hari ini lain pula ceritanya. Perut buat hal yng sama. Ceret beret. Itulah yang menyebabkan saya merasa letih lesu pada hari ini. Tambah-tambah lagi malam tadi tidak dapat tidur. Namun blogging tetap blogging juga, sambil berbaring diatas katil.

Dari mula berbaring diatas katil pada pukul 10 malam tadi, membawa ke pagi dan sehingga memulakan paparan ini, saya langsung tidak rasa mengantuk, sangap pun tidak. 

Ini bukan perkara baru bagi saya. Walaupun mata sentiasa tertutup, fikiran melayang meneroka ke segenap ceruk kehidupan. Lepas satu cerita berpindah cerita yang lain. Bersambung tidak putus-putus.

Tapi malam tadi, ceritanya satu saja. Cerita satu yang panjang. 

Bulan depan, saya dan isteri telah sepakat untuk balik semula ke rumah kami di Melaka yang hampir 2 tahun u baditinggalkan kosong. Cicak dan lipas menguasai sedang semua ruang , dalam dan luar rumah. Bau busuk yang menjijikkan.

Anak dan menantu telahpun dimaklumkan akan hajat kami ini. Mereka nampaknya seperti menerima kenyataan bahawa pada suatu hari nanti, kami tidak akan bersama dengan mereka. Mereka perlu berdikari. Itupun yang mereka lafazkan sebelum ini.

Kami juga telah menyatakan hajat ini kepada cucu kami, Naqib, yang akan memasuki usia dua tahun tiga minggu lagi, yang tegak berdiri di bahagian belakang kereta bersama neneknya, dalam perjalanan ke taska i-play di cyber jaya.

Naqib, seperti biasa, wajahnya suram. Dia tahu destinasi yang hendak dibawa. Kiri kanan jalan sudah biasa baginya. Dia hafal pemandangan itu . 'Trafik lait, tanel, belun, bash',  diantara yang menjadi sebutannya sepanjang perjalan menuju taskanya. Tapi itu dilakukan semasa umurnya satu tahun setengah. 

Tidak sekarang. Semakin dia membesar, dia bertambah matang. Dia tahu bahawa pemergiannya ke taska adalah semata-mata untuk memisahkannya buat beberapa waktu dengan orang kesayangannya. Dia dipaksa berpisah dengan mama, ayah , nenek dan tokpa. Dia tidak suka dibuat begitu setiap Isnin sehingga Jumaat. Dia mesti beri isyarat.  Dia mesti bermuka suram. Di lif untuk ke tingkat dua, dia mesti menangis, memeluk neneknya. Dia tidak rela berpindah tangan.

Kami berdua memang faham akan isyarat Naqib itu.Tapi dia perlu membesar bersama-sama dengan kawan sebaya.  Naqib mesti bersama dengan mereka.

Di i-play, ada anak Mexico, anak Perancis, anak Australia  dan anak warga tempatan bukan Melayu. Mereka bermain, bercakap mengikut apa yang sedap keluar dari mulut. Mereka boleh pula ketawa dan berkejaran di ruang bermain. Suka sekali. 

Naqib tidak begitu. Dia sentiasa berada diatas riba teacher. Teacher yang dia sendiri pilih dan suka. Namanya teacher Shida dan teacher Wani. Lain dari dua teacher ini, jangan harap Naqib boleh di pujuk. Dia akan menangis sehinggalah ke petang semasa kami datang menjemputnya pada pukul lima.

Sebelum berpisah dengan teacher, Naqib tidak pernah gagal memeluk teacher itu dan menciumnya. Sayang juga Naqib pada orang selain dari kami keluarganya.
Itulah yang amat merunsingkan hati jika kami balik ke Melaka. Tiada lagi dua orang diantara insan kesayangannya.

"Tokpa duduk sini", perintah Naqib sambil tangan kanannya memimpin saya berjalan keluar dari bilik untuk sama-sama duduk dengannya bermain lompat-lompat. Dalam stamina yang masih lagi belum pulih sepenuhnya, saya dengan penuh kasih sayang melompat bersamanya, seperti yang diarah. Maka tersenyum sukalah si Naqib.  
 
 Air mata saya mengalir. 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan