Pagi-pagi lagi Pak Naqib berada dibelakang rumahnya mengintai-intai beberapa batang pokok buah-buahan dari berbagai jenis yang ditanamnya. Ada pokok rambutan, pokok belimbing, pokok jambu, pokok cermai dan pokok pisang.
Jiran sebelahnya, Pak Sudin pun menanam pokok buah yang sama juga. Mungkin mereka mempunyai minat yang sama.
Semua pokok-pokok itu telah pernah berbuah melainkan pokok jambu. Pokok jambu itu sudah berusia lebih lima tahun. Mengikut si Ah Lek, penjual benih pokok jambu itu, sepatutnya pada umur tiga tahun pokok jambu itu akan mula berbuah. Katanya paling lewat pada usia 4 tahun.
Pak Naqib menggeleng-gelengkan kepala. Dia sangat kempunan untuk makan buah jambu tanamannya itu. Tapi ..
Mata Pak Naqib tiba-tiba terpukau apabila melihat sebiji buah jambu dicelah-celah daun yang telah menjadi tempat kediaman sang kerengga. Ada dua sarang kerengga yang amat besar menemani buah jambu yang sebutir itu.
Namun begitu Pak Naqib mengukir senyum. Selera kempunannya meransang dia untuk memetik buah jambu yang sebiji itu.
Namun begitu Pak Naqib mengukir senyum. Selera kempunannya meransang dia untuk memetik buah jambu yang sebiji itu.
Dia amat gerun untuk memanjat pokok jambu itu untuk memetik buah yang diidamkannya itu dik sarang kerengga kerengga itu. Walaupun dia belum pernah kena gigit kerengga tapi dari cerita yang dia pernah dengar, gigitan sang kerengga itu sakit sekali. Silap-silap mata kena kencing dik kerengga itu. Dia tidak mahu ambil risiko.
Jadi macam mana cara yang lebih selamat? Dia teringat cara lama yang digunakan oleh bapanya dulu iaitu pakai galah. Gunakan galah dan jolok buah itu sampai gugur. Kalau jolok tak juga gugur, rembat saja tangkai jambu itu, gugurlah dia. Tapi mesti lakukan dengan cermat agar tidak terkena sarang kerengga.
Pak Naqib masih lagi tidak mahu ambil risiko dengan menggunakan galah kerana khuatir akan terkena juga sarang kerengga itu. Lagipun dia seorang yang sangat-sangat berhati-hati. Dia suka memilih jalan yang selamat. Kalau bermain saham atau membuat pelaburan Pak Naqib ni bolehlah dikumpulkan sebagai orang yang 'risk averse', tak suka ambil risiko.
Tapi 'dia bukan takut', katanya, jika ada yang menempelak sikap 'ambil selamatnya' itu. Dia lebih suka mengamalkan konsep 'berhati-hati di jalanraya kerana kamera AES ada merata-rata'.
Dalam situasi yang ada, iaitu selera yang begitu teransang untuk merasa buah jambu sulungnya itu buat kali yang pertama, dan dalam menghadapi kerengga yang akan menyerang dan menggigit serta kemungkinan mengencing matanya, maka Pak Naqib mengambil keputusan untuk mempraktikkan konsep yang dia percaya, ' berhati-hati di jalanraya kerana kamera AES ada merata-rata'. Elakkan dari kena saman AES yang tiada sifat belas kasihan itu, yang tiada maaf bagimu itu.
Biarkan saja buah jambu yang sebutir itu tergantung dicelah-celah sarang kerengga itu. Dia percaya lama-kelamaan buah jambu itu akan masak ranum, dan secara fitrahnya akan gugur sendiri. Pak Naqib tidak perlu bersusah payah mencari galah menjolok buah itu. Tak perlu mengganggu sang kerengga yang ganas itu.
Namun begitu Pak Naqib tertanya-tanya didalam hati nuraninya bahawa tidak kah buah jambu yang ranum itu nanti akan menjadi penyek kalau pun tidak berkecai apabila gugur nanti? Dia berjalan longlai masuk kedalam rumah sambil menggaru-garu kepalanya dibahagian atas yang telah licin, meninggalkan bahagian kiri kanan rambut yang memutih .
Kalau penyek atau berkecai, hilanglah selera dia untuk memamah buah jambu sulung yang sebutir itu. Kempunanlah Pak Naqib.
Sebelum masuk ke rumahnya , Pak Naqib sempat menoleh ke arah rumah Pak Sudin. 'Nasib kau lah Din'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan