Theflowersellingboy

Rabu, 5 Disember 2012

Rakyat Malaysia Belum Lagi Matang Berpolitik

Pada hari ini saya terbaca peristiwa kacau ganggu yang dilakukan oleh setengah pihak keatas program ceramah politik PR di Gombak. Saya juga melihat gambar-gambar mangsa serangan balingan objek yang telah dilakukan oleh pihak berkenaan. 
 
Saya sedih dan amat kecewa sekali akan perbuatan yang telah dilakukan itu. Entah mengapa saya sedih kali ini sedangkan peristiwa baling-baling objek dan kacau ganggu seperti itu sudah menjadi budaya setengah pihak semenjak lama dulu. Ertinya perbuatan seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa. Sebelum ini pun kacau gannggu bentuk yang serupa pun telah berlaku, misalnya di Melaka dan Johor.
 
Oleh itu saya zahirkan rasa sedih dan kecewa atas peristiwa yang tidak bertemaddun ini. Sesungguhnya kita rakyat Malaysia masih lagi belum matang berpolitik. Masih mengamalkan politik kekerasan, peras ugut dan politik momokan hantu. 
 
Begini perasaan dan kata hati saya:
 
"Sudah 55 tahun kita merdeka. Sudah 12 kali kita berpilihan raya memilih kerajaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Sudah banyak kali kita melalui pilihan raya-pilihanraya kecil.
 
Tapi lihat apa yang telah berlaku dari pilihanraya pertama sehingga mahu menjelang pilihanraya ke 13. Kita masih belum berubah. Kita banyak gunakan ransangan emosi dan bukan kekuatan daya fikir rasional. Kita berhujah penuh emosi dipentas sendiri. Maki-maki, hamun disana sini. Pekik melolong , melaung-laung menceritakan berbagai dongeng menghentam peribadi.
 
Dan mendapat pula sorakan dan tepukan hebat yang menggila.
 
Dan kita pun terlalu bangga mendengar siaran berita yang berulang kali menyiarkan perkara yang sama. Surat khabar pun sama saja perangainya.
 
Yang kita lakukan dari dulu sampai sekarang ialah politik kacau ganggu majlis orang. Kita baling telur busuk dan  telur tembelang ketika pihak lawan sedang berbicara. Baling berbagai objek, yang tajam dan yang tumpul, yang besar dan yang kecil asalkan boleh melayang mengenai pihak lawan. Cedera luka hanya jadi pertimbangan yang menyukakan. Apatah lagi jika ada yang mati, sesungguhnya ianya  amat menggembirakan hati.
 
Hujah kita adalah hujah hingar bingar dengan memekik melolong.  

Sayang sekali kita melakukan atas nama sesuatu perjuangan yang amat murni. Atas nama bangsa kita yang berpekerti baik, yang lemah lembut dan halus budi bahasanya. Atas kepercayaan ajaran agama kita bahawa lakukan yang makruf dan jauhkan yang mungkar. Atas rasa kesetiaan dan jiwa patriotik kita kepada negara. 
 
Ya, kita amat bangga melaungkan kata-kata "Demi Bangsa, Agama dan Negara" sebagai slogan yang memimpin kita dari 'Dulu, Kini dan Selama-lamanya'.
  
Cuba lihat tangan kita yang melempar batu atau apa saja objek yang kita suka kearah lawan. Lihat tangan kita yang memegang objek tajam dan tumpul menusuk dimana  saja bahagian anggota badan lawan. Lihat dan lihat sepuas-puas mata memandang akan tangan kita itu.
 
Adakah tangan kita itu membawa salam bangsa yang berperkerti baik dan mulia? Adakah tangan kita itu  membawa pesanan untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan yang durjana? Adakah tangan kita itu mengajak sama mempertahankan negara sebagai tanda setia, walau kita berbeza pandangan?
 
Sebenarnya kita telah mengotorkan tangan kita walaupun setitis darah lawan tidak menitis di telapak tangan kita. Sesungguhnya kita telah melacurkan perjuangan suci kita.  
 
Apakah menjadi masalah kita untuk buat pilihan? Apakah masalah kita untuk orang lain buat pilihan? Bukankah kita diberi otak untuk membuat pertimbangan? Mengapa perlu kita gunakan kekerasan? 

Dan mengapakah kita tidak pantas berbahas, berdebat bersemuka diatas satu pentas, pada waktu dan ketika yang sama jika benar-benar kita yakin dan percaya cara kita, kaedah kita dan perjuangan kita adalah yang terbaik demi bangsa, agama dan negara.

Mengapa kita suka berkokok tanpa waktu sedangkan ayam tahu bila ketikanya. Dengarlah kokokan ayam di waktu Subuh. Dengar juga diwaktu Asar. Belajarlah dari ayam itu untuk berkokok.
 
Sesungguhnya perangai kita itu bukan perangai seorang pahlawan walupun kita pandai kuntau dan silat. Jauh dari perangai seorang wira. Tidak setaraf perangai anak jantan.
 
Kita sebenarnya takut dengan bayang-bayang. Walaupun kita dilahirkan sebagai anak jantan tapi jiwa kita penuh dengan semangat pondan. Sebab itu kita hanya kenal satu jalan saja : Jalan Cari Gaduh. Tapi kita cuma gaduh dengan bayang-bayang atas ketakutan akan kekuatan pihak lawan.
 
Hentikan kerja-kerja syaitan ini. Walaupun kita adalah syaitan yang telah dikenalpasti".  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan