Pada mulanya mahu menjaga semasa emaknya dalam pantang.
Kemudian sehingga emaknya habis cuti tiga bulan.
Lepas itu tunggu sampai usia enam bulan. Tambah lagi sehingga mampu berjalan.
Setelah mampu berjalan jatuh-jatuh pada usia 11 bulan, terus jaga lagi sehingga dapat berjalan lebih stabil, tidak mudah jatuh.
Setelah kaki lebih kuat dan boleh berlari pada usia 1 tahun 6 bulan, hantar ke Taska untuk membiasakan diri dengan kawan baru, tunggu lagi untuk melihat perkembangan.
Sekarang sudah berusia 1 tahun 9 bulan, saya dan isteri masih lagi di sini menjaga cucu. Sebabnya? Datuk dan neneknya rasa sedih pula hendak berpisah dengan cucu. Tapi sampai bila? Entahlah.
Macam mana rumah yang ditinggalkan?
Ada kawan-kawan bertanya siapa yang tinggal di rumah yang kami tinggalkan itu? Saya jawab cicaklah.
Rutin kami berdua dari Hari Isnin hingga Jumaat, melainkan hari cuti umum adalah menghantar dan mengambil cucu di Taska di Cyber Jaya.
Di sebelah pagi, lebih kurang pulul 7.15 pagi, selepas mama dan ayah Naib berlepas untuk ke pejabat masing-masing iaitu di Precint 3, Putra Jaya dan Kuala Lumpur, kami berdua bersiap-siap untuk menghantar Naqib ke taska.
Yang paling sibuk sekali ialah isteri. Semua keperluan Naqib iaitu nappy sebanyak 3 helai, baju dan seluar 3 pasang, 1 helai towel mandi, 5 kotak kecil susu, 1 bekas kecil berisi air masak, dan biskut dalam 1 bekas plastik kecil, dimasukkan ke dalam beg yang sederhana saiznya.
Kemudian Naqib dipujuk untuk mandi. Senang saja cara memujuknya iaitu dengan membenarkannya mengambil mainan yang dia suka iaitu kereta mainan yang kecil untuk dibawa bersama ke dalam bilik air. Kereta mainan itu dimasukkan kedalam baldi yang bersisi air , Naqib bukan main seronok masukkan kereta itu dalam air.
Lepas siap berkrim dan berbedak pada seluruh anggota badan, Naqib di pakaikan nappy, seluar dan baju. Kadang-kadang Naqib bersetuju untuk sarapan. Tapi selalunya dia tidak setuju.
Sebelum sempat untuk bergerak, Naqib mula menyangkung dan berkata, "yak". Ertinya dia sedang berak. Maka tertangguhlah langkah kami untuk menghantarnya ke taska. Hal seperti ini sudah menjadi biasa kepada kami. Naqib pula? Biasalah.
Akhirnya kami mula bergerak pada pukul 9 lebih. Sesekali mahu masuk pukul 10 pagi.
Dalam beberapa hari yang lepas ini, Naqib nampaknya kurang bersedih apabila sampai di taska. Cuma kami mesti bergerak pantas meninggalkannya selepas menyerahkan kepada cikgu taska. Kalau tunggu, muka Naqib mencemik mahu nangis. Kesian Naqib.
Setelah itu kami bersarapan di sebuah kafetaria di tingkat bawah bangunan taska sebelum balik ke rumah.
Di rumah , isteri memberi tumpuan kepada hal-hal dapur. Mencuci dan mengemas apa yang perlu dan memasak. Memasukkan baju ke dalam mesin pencuci dan membuat sidaian. Saya pula, mengemas di ruang tv dimana terdapat permainan Naqib yang bersepah-sepah, 'vacuum' ruang tv dan bilik-bilik. Setelah selesai, berehat dan melayari intenet. Jika ada idea, mula blogging.
Selepas Asar, bertolak ke cyber jaya untuk menjemput Naqib. Waktu ini lah yang paling gembira bagi Naqib. Nampak saja kami tiba, dengan pantas berlarilah si Naqib ini mendapatkan neneknya sambil melambaikan tangan kepada 'teacher'nya, 'bye'.
Dalam perjalanan balik kami singgah ke precint 3 untuk menjemput
mama Naqib iaitu lebih kurang 5.40 petang.
Tapi sekiranya mama Naqib ada 'locum', dari jam 5 petang hingga 10 malam, kami akan menjemput Naqib pada pukul 4 petang, sebelum menunuaikan Asar.
Saya tidak tonton tv sama ada siang atau malam melainkan kalau ada siaran langsung sukan, dan kadang-kadang rancangan masak-memasak. Rancangan-rancangan yang lain saya tidak minat terutama berita.
Jadi disebelah malam saya lebih banyak membaca dan melayari internet dan berblogging. Isteri dan yang lain-lain adalah penonton tetap tv di sebelah malam, untuk merihatkan badan setelah penat menguruskan rutin harian.
Cuma mereka rasa kurang seronok jika ada siaran langsung sukan. Maka melepaslah mereka untuk menonton tv kerana terpaksa berkorban untuk suami, bapa dan bapa mertua dan tokpa.
Apa-apa pun, kami sentiasa ingat bahawa esoknya kami mempunyai tugas penting untuk menghantar Naqib ke taska.
Begitulah rutin harian kami suami isteri menjaga cucu yang disayangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan