Hari ini berpindah ke rumah baru. Bukan rumah sendiri, rumah anak dan menantu.
Pindah lagi. Pindah randah ini bukan satu perkara baru bagi saya. Masa kecil ikut bapa pindah randah beberapa tempat bila ditukarkan ke tempat kerja. Pernah naik lori polis dan naik kereta api. Tapi tidak pula merasa naik kapalterbang atau kapal laut. Perpindahan dalam negeri-negeri di Semenajung saja.
Masa bekerja sama juga. Berpindah randah dari bilik sewa diibukota ke rumah sewa 'setengah batu setengah kayu', sebaik saja berumahtangga. Kemudian pindah rumah sewa yang lain yang agak selesa. Pindah lagi apabila ekonomi rumah tangga sedikit mantap ke rumah teres dua tingkat milik sendiri. Terus berpindah apabila berpeluang membeli rumah banglo di Shah Alam, Seksyen 11.
Perpindahan itu amat penat dan letih sekali. Banyak yang kena urus sendiri termasuk bungkus membungkus barang. Kerja angkat mengangkat dibuat oleh pekerja-pekerja yang dibayar upah.
Kemudian, kena tukar tempat kerja. Pergi ke negeri di bawah bayu. Berpindah randah lah kami. Sebahagian barang seperti katil dan tilam serta perabut ditinggalkan kerana diberitahu rumah kerajaan yang disediakan lengkap semua. Ada dapur masak, ada peti sejuk dan ada perabut seperti katil beserta tilam dan bantal. Barang yang dibawa adalah pinggan mangkuk serta kereta.
Perpindahan seperti ini kurang penat. Semua dilakukan oleh pekerja. Upah dibayar oleh Jabatan.
Kali ini dapat naik kapalterbang. Kali pertama kami merasa pengalaman 'jatuh' di udara (air pocket) setelah terbang lebih satu jam.
Isteri memegang tangan saya begitu erat, pucat lesi, sambil mulut terkumat kamit membaca sesuatu. Berdoa pada Allah supaya selamat.
Saya pun takut juga, tapi buat-buat selamba macam tak ada yang bahaya.
Tiga orang anak berusia diantara 4 bulan ke 5 tahun, kelihatan tidak terganggu dengan 'jatuh udara' itu. Terdengar juga kanak-kanak yang lain ketawa mengilai semasa 'jatuh' itu. Agaknya mereka rasa semacam naik 'roller coaster' di taman tema. 'Enjoy' nampak gayanya.
Kemudian pindah lagi. Kali ini ke luar negeri buat ijazah lanjutan, masters.
Bila balik bekerja semula , pindah dari Kuala Lumpur ke Melaka. Hampir bersara, pindah pula dari rumah kerajaan ke rumah sendiri. Cukup, tak mahu berpindah lagi. Penat. Dan barang-barang banyak yang rosak.
Bulan Disember tahun lepas terlibat lagi dalam pindah randah. Tapi membantu anak berpindah ke rumah sewa. Tapi penat juga.
Hari ini, sementara cucu berada di taman asuhan sehingga pukul lima, saya dan isteri ambil peluang berkemas barang-barang untuk dipindahkan ke rumah baru yang dibeli oleh anak menantu. Kami berpindah dari tingkat 12 ke tingkat 3. Turun naiklah kami berdua mengangkut barang dengan menggunakan troli. Nasib baik lif tidak rosak.
Dalam jangkaan saya punggah memunggah serta mengangkut barang ini akan mengambil masa lebih dari dua hari. Tuan rumah , rumah yang disewa sekarang ini, beri tempoh sehingga hari Ahad ini saja. Maknanya hari Sabtu mesti selesai semua.
Tapi setakat yang telah dilakukan pada hari ini, masih lagi ada barang-barang yang belum dapat dipindahkan terutama barang yang berat-berat seperti tv, katil, peti sejuk, dapur masak dan mesin basuh. Penat betul. Maklum lah dua orang tua yang mengangkat barang. Mudah letih dan penat.
Lepas siap berpindah, kerja-kerja membersih lantai (mop) dan menyapu ruang-ruang yang kotor perlu dilakukan disambil menyusun barang-barang. Yang menjadi masalah ialah untuk menyusun barang-barang. Sebab ruang rumahnya kecil, tapi barangnya banyak. Barang mainan Aqib (cucu) pun mengambil ruang yang banyak.
Kalau semasa berpindah ke Sabah, kami mengalami pengalaman yang menakutkan kerana 'jatuh di ruang udara', tapi pada hari ini kami mengesan satu perkembangan yang kurang sihat dan menakutkan dari segi hubungan sesama manusia.
Soal berjiran.
Nampak gayanya , sebahagian besar penghuni lebih suka mengelak dari sapa menyapa atau tegur menegur. Semasa menunggu di lif ke, dalam lif ke waemah di mana saja bersua termasuk di kolam renang dan tempat mainan kanak-kanak , sebahagian besar lebih memilih tidak mahu menyapa atau tegur menegur.
Kami terutama isteri, suka menyapa siapa saja apabila berjumpa. Sebab tidak ada yang rugi. Kita dapat kawan baru. Dan kadang-kadang kalau pebualan berterusan, macam-macam hal kita bertukar cerita. Misalnya ada berapa orang anak, berasal dari mana, bila menetap disini dan macam-macam lagi.
Jiran berhadapan rumah pun lebih suka mengelak untuk ditegur. Ada semacam perasaan kurang senang, agaknya. Mungkin berpendapat, tegur menegur ini adalah satu sifat yang tergolong dalam kategori suka 'jaga tepi kain orang'. Tapi buat apa saya suka jaga tepi kain orang, hal sendiri pun ada yang tidak terurus.
Sebahagian besar penghuni adalah orang muda-muda. Maksud saya masih bekerja dan mempunyai anak-anak diperingkat sekolah rendah dan menengah.
Semasa memindah barang tadi, bersua dengan jiran sebelah, seorang wanita muda yang telah berumahtangga. Saya tidak pasti sama ada apabila melihat kami beliau terus masuk kedalam rumah atau sememangnya beliau mahu masuk dalam rumah. Tapi beliau terpaksa keluar semula kerana kain jemurannya menghalang laluan kami.
"Kami takut nanti kain you kotor kena barang-barang ni. Barang-barang ni berabuk", kata isteri memulakan sapaan yang berlapik semasa melihat wanita muda itu cuba mengalihkan jemurannya.
Dia tidak berkata-kata apa-apa. Tidak pula bertanya hal perpindahan kami misalnya dari tingkat berapa. Atau bila nak duduk di rumah. Tidak pula ambil bahasa minta maaf kerana jemurannya menghalang laluan.
Selepas mengalihkan jemurannya ke satu sudut, dia terus masuk ke dalam rumah. Tidak pula datang menjenguk ke rumah kami bertanya khabar atau berkenalan secara ringkas.
Dia marah agaknya. Harap-harap dia tidak marah kerana terpaksa mengalih jemurannya itu.
Kami yang sudah lanjut usia ini mungkin mudah terasa. Tapi apalah ruginya kita bertegur sapa. Lagipun kita akan sentiasa bersua muka. Duduk sebelah menyebelah.
Hairan. Sebab sekarang ini hal-hal berkaitan dengan pendidikan moral dan agama begitu ditekankan. Dalam tv ada banyak rancangan fasal agama, fasal hormat menghormati dan tolong menolong. Tapi saya tidak nampak kesan yang baik dalam kehidupan harian masyarakat kita Melayu.
Hairan. Ada beberapa orang bukan Melayu termasuk warga asing yang tinggal di kondo ini , mengamalkan budi bahasa yang baik. Bila dalam lif atau sewaktu menunggu lif kami saling sapa menyapa walaupun dengan perkataan "hai" atau beri salam.
Tapi dengan orang Melayu, boleh dikatakan hampir 90% , cuba mengelak diri dari sapa menyapa.
Kadang-kadang saya tak kisah. Tanya juga duduk tingkat berapa?
Busy body, si tua ni!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan