Beberapa hari lagi akan masuk tahun baru 2013, meninggalkan 2012 dengan berbagai kenangan. Masa yang berlalu, tidak akan berundur lagi. Tempuhlah masa yang dimuka.
Ibubapa yang mempunyai anak usia persekolahan, sedang sibuk-sibuk buat persiapan persekolahan. Membeli pakaian dan peralatan sekolah.
Urusan persekolahan yang juga tidak kurang pentingnya ialah bagaimana anak hendak ke sekolah. Jika sekolah berdekatan dengan rumah, anak-anak bolehlah pergi sendiri berjalan kaki. Jika sekolah jauh dari rumah maka berbagai cara terpaksa difikirkan.
Anak-anak dikawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak terpaksa menaikki sampan atau bot menyeberang sungai untuk ke sekolah. Ada yang meniti jambatan kayu dan ada yang meniti jambatan gantung.
Semuanya itu melibatkan kos. Keselamatan anak juga mesti diambilkira.
Mereka yang berpendapatan kecil dan mempunyai bilangan ramai anak yang masih bersekolah sudah tentu pening kepala. Berkerut-kerut dahi mereka. Kepala sentiasa digaru.
Mereka yang berpendapatan besar, yang kaya-kaya, ianya tidak menjadi masalah. Tambahan pula biasanya golongan ini mempunyai bilangan anak yang tidak ramai.
Tapi apa pun tahap ekonomi mereka, tidak ada mana-mana ibubapa yang sanggup merelakan anak-anak tidak mendapat pendidikan. Macam mana susah atau mewah pun , anak tetap juga dihantar ke sekolah.
Begitulah kehebatan hati dan semangat ibubapa.
Bagi yang susah mereka tidak mudah mengalah. Mereka sanggup melakukan berbagai kerja. Mereka sanggup menjual air muka. Malah ada yang sanggup menjual maruah dan harga diri semata-mata untuk pelajaran anak-anak.
Mereka yang berkemampuan dan kaya pula melihat pelajaran itu lebih jauh lagi. Mereka sediakan segala kemudahan. Masuk tadika sebelum ke kelas tahun satu, agar mereka sudah biasa dengan persekitaran. Telah kenal angka dan huruf. Sudah pandai bergaul dan berkomunikasi dengan baik. Anak mereka juga diberi kelas tambahan sama ada tuisyen di rumah atau di kelas-kelas tuisyen yang begitu banyak bercambah dibandar-bandar.
Ada juga mereka yang kaya ini menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah terbaik di luar negara khususnya di United Kingdom, Australia dan Amerika. Mereka juga khuatir dan bimbang keselamatan anak-anak.
Begitulah betapa pentingnya pendidikan. Kaya dan miskin sama-sama pentingkan pendidikan. Ibubapa sanggup berkorban apa saja.
Cuma mereka mempunyai peluang yang berbeza. Peluang inilah yang banyak menentukan bentuk kehidupan anak-anak mereka pada masa depan. Secara amnya anak orang yang kaya lebih ke hadapan dan menonjol dan mengambil tempat dalam kepimpinan negara. Lihatlah dan perhatikan sendiri.
Oleh itu jadikan mereka yang kaya itu sebagai sumber inspirasi. Jangan cemburu dan marah kepada mereka.
Maka dengan demikian mereka yang miskin mesti bekerja lebih kuat lagi untuk menjadi orang kaya. Jangan jadikan kemiskinan kita itu sebagai penghalang untuk menjadi kaya. Lebihkan usaha sendiri daripada meminta-minta. InsyaAllah kita akan berjaya jadi orang kaya.
Tidak perlu kita mengerutkan dahi dan menggaru kepala bila tiba masa hendak menghantar anak ke sekolah. Tapi bukan sekarang kerana sekarang kita masih susah lagi. Perlu kerja lebih kuat. Teruskan garu kepala sebab PTPTN masih lagi ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan