Boleh dikatakan setiap malam saya bermimpi. Tapi sayangnya saya tidak pula dapat mengingati sepenuhnya mimpi yang telah saya alami. Cuma ingat sedikit saja. Banyak yang hilang begitu saja.
Tapi malam tadi saya bermimpi . Mimpi berdailog tentang AES sehingga saya terjatuh dari atas katil. Sakit juga tapi tidak cedera..
Mungkin saya terlalu banyak membaca dan mendengar cerita AES ini sehingga ketakutan saya akan AES ini membawa ke dalam mimpi pula.
Saya bersama dengan seorang kawan dalam perjalanan untuk mengambil bahagian dalam satu dailog dengan pihak JPJ dan Syarika-syarikat operator kamera AES di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Saya yang memandu kereta kerana saya tidak yakin untuk membenarkan kawan saya itu memandu. Bukan kerana dia tidak cekap memandu tapi dia ini kaki lumba. Dia pantang dipotong, darahnya cepat naik. Maka berlakulah kejar mengejar. Barometer boleh menjejak 200 kmh.
Perjalanan kami terselamat dari tangkapan kamera AES. Saya memandu pada kelajuan 20kmh. Memandu dilorong tepi sebelah kiri. Maka kerapkali saya dihon oleh kenderaan dibelakang khususnya kenderaan berat seperti lori dan bas, minta jalan atau minta saya pandu lebih laju. Tapi saya tak ambil kisah. Nak marah, marahlah. Lagipun saya memandu dilorong yang betul, dilorong untuk panduan perlahan.
Yang pentingnya saya tidak kena saman AES. Saya lebih takut saman AES dari kena marah dek pemandu-pemandu kenderaan berat itu. Otak saya membayangkan kamera AES itu sebagai kamera hantu. Dan saya memang takut dengan hantu kerana tiada mana-mana manusia yang boleh menang melawan hantu.
Saman AES kena bayar tiga ratus. Saman yang 'fixed', tidak boleh tawar menawar. Tiada maaf bagi mu. Saman AES bukan saman kompaun.
Jadi apabila saja saya memulakan pemanduan, kamera AES ini menghantui saya. Saya kena pandu perlahan untuk mengelakkan kemarahan hantu AES ini yang perangainya menyambar seperti kilat jika memandu dengan kelajuan yang menyakitkan hatinya. Hantu pun ada juga perasaan dan perlukan ketenteraman.
Akhirnya sampai juga saya ke tempat dailog itu. Tapi dailog telah berjalan begitu lama. Tempat saya telah diambil oleh seseorang kerana saya begitu lewat sampai. Dailog mahu sampai ke peringkat penghujung.
Ada 5 orang ahli panel.
Kami duduk dikerusi belakang, tapi kami dapat mengikuti perbicaraan dengan jelas.
Saya mendapati pegawai JPJ dan dua wakil syarikat operator kamera AES mempunyai pandangan yang sama. Mereka seiya sekata bahawa AES bertujuan untuk keselamatan pengguna jalan raya. Kata mereka boleh mengurangkan kecederaan dan kematian. Pandangan mereka disanggah oleh dua orang ahli panel yang lain.
Seorang darinya menyatakan bahawa ada banyak faktor yang menyumbang kepada soal keselamatan jalan raya. Dia beri contoh tentang kenderaan lori yang membawa barang melebihi had muatan yang dibenarkan tetapi pada kelajuan dibawah atau pada had yang dibenarkan.
Soalnya: Adakah kamera AES menangkap gambar lori berkenaan?
Kelihatan pegawai JPJ itu memandang kepada kedua-dua operator kamera AES. Kemudian kedua-dua operator yang duduk dikiri dan kanan pegawai JPJ itu membisikkan sesuatu ke telinga pegawai JPJ.
"Kita akan saman jika kita dapati lori itu membawa barang melebihi muatan yang dibenarkan", jawab pegawai JPJ itu.
"Saya tanya tentang kamera AES itu, bukannya tindakan saman", sampuk ahli panel itu.
Entah macam mana saya bingkas bangun untuk menanyakan sesuatu.
"Adakah AES ini satu dari jenis perniagaan?" Pendek saja soalan saya. Saya tak kisah siapa yang hendak jawab.
"AES ini adalah bertujuan untuk keselamatan pengguna jalan raya", jelas pegawai JPJ.
Sekali lagi saya bangun, "Tuan tidak menjawab soalan saya. Saya perlukan jawapan 'ya' atau 'tidak' . Adakah AES ini bermotif perniagaan?"
"Keutamaan kita ialah keselamatan pengguna jalan raya", sekali lagi pegawai JPJ memberi jawapan yang berdalih.
Saya bangun lagi, "Tuan-tuan operator, adakah syarikat tuan berniaga untuk mendapat rugi?"
Dengan tergagap-gagap seorang dari operator menyatakan, "Kita berniaga mesti mau dapat untung lah. Tapi ini AES kita dapat 16 ringgit satu saman. Untung tak banyak. Sikit saja. Kita mau tolong kerajaan , tolong selamat nyawa".
Bingkas lagi saya, "Pasal apa dua syarikat saja. Pasal apa tak beri banyak syarikat untuk sama-sama tolong selamat nyawa?"
Pegawai JPJ itu sudah merah muka dan marah. "Soalan awak itu tidak relevan dengan AES".
"Aduh, sakitnya".
Saya jatuh dari atas katil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan