Theflowersellingboy

Sabtu, 8 Disember 2012

HARGA SEBUAH PERMOHONAN MAAF

Adakah permohonan maaf itu mempunyai nilai? Ada harga ? Atau ianya satu jalan keluar yang paling mudah bagi menyelesaikan sesuatu perselisihan/kesilapan/kesalahan?
 
Saya tidak bercakap tentang permohonan maaf atau pohon ampun dari seorang insan terhadap Allah SWT maha Pencipta. 
 
Saya hendak bicara permohonan maaf antara kita sesama manusia. Hubungan sesama manusia.
 
Kita memang biasa mendengar permohonan maaf yang bersifat basahan. Ertinya permohonan maaf yang selalu kita tuturkan apabila kita mohon izin atau mohon diri atau minta laluan atau mohon bertanya. Atau kadang-kadang setelah kita melakukan kesilapan-kesilapan kecil seperti tergesel bahu atau badan atau kesilapan-kesilapan yang sama taraf dengannya.
 
Permohonan maaf bersifat basahan ini saya anggap sebagai 'ambil bahasa' saja dan bukanlah sebenarnya permohonan maaf kerana kita melakukan kesalahan atau sengaja melakukan kesalahan. 
 
Sebab itu biasanya kita tidak perlu menunggu respons atau reaksi dari orang yang kita minta maaf. Pihak yang kita pohon maaf pun kelihatan seolah-olah tidak terkesan apa-apa. Kadang-kadang memberikan sedikit senyuman atau mengangkat tangan atau menggerak-gerakkan bahu sebagai isyarat tiada apa yang perlu dibimbangkan.
 
Maknanya permohonan maaf seperti ini mudah saja dituturkan.
 
Satu lagi permohonan maaf adalah permohonan maaf bagi kesalahan-kesalahan yang spesifik. Permohonan maaf ini tidak mudah dituturkan kerana ianya melibatkan ego seseorang atau kesalahan yang dilakukan terlalu besar sehingga jika dipohon berkemungkinan akan menimbulkan lagi kemarahan dipihak yang dipohon maaf
 
Ertinya seseorang itu akan memberitahu apakah kesalahan/kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan yang perlu dimaafkan. Kerana bersifat spesifiklah membuatkan mereka yang melakukan kesalahan itu tidak ada keberanian untuk menuturkannya. Atau jika dituturkan boleh menjatuhkan harga diri atau egonya terutama orang yang mohon maaf itu merasakan atau mempunyai kedudukan darjat yang tinggi dikalangan masyarakat.
 
Ada juga permohonan maaf yang bersifat amalan tradisi. Permohonan maaf seperti ini biasanya permohonan maaf secara am yang dituturkan sendiri atau disampaikan melalui penggunanan berbagai media sebagai satu tradisi tanpa merujuk kepada kesalahan yang dibuat. Dan tidak semestinya seseorang itu telah melakukan kesalahan kepada orang yang dipohon kemaafan.  
 
Permohonan maaf semasa menyambut hari raya dan permohonan maaf dari tuan rumah yang mengadakan sesuatu majlis  adalah contoh permohonan maaf bersifat tradisi. Mungkin ada kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan mungkin hanya sebagai merendah diri, berbudi bahasa saja, tanda hormat dan terima kasih kepada tetamu.
 
Dan akhir sekali permohonan maaf berkaitan dengan tugas, tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan. Permohonan maaf seperti ini adalah melibatkan janji atau ikrar atau pengakuan yang telah dibuat semasa menerima sesuatu tugas, tanggungjawab atau amanah.
 
Sebagai contoh, saya telah menghantar kereta ke sebuah bengkel untuk diperbaikki pada bulan Mei lepas dengan pengakuan akan membayar kerja pembaikkan itu. Tuan punya bengkel juga telah berjanji untuk melakukan kerja pembaikan itu dan menyerah siap kepada saya dalam tempoh dua minggu.
 
Tapi sehingga sekarang, bulan Disember, kerja pembaikan masih lagi belum siap. Tuan punya bengkel telah memohon maaf kerana gagal menyiapkan kereta dalam tempoh yang telah dijanjikan.
 
Setiap hari Sabtu, selepas minggu kedua yang dijanjikan itu, dari Putra Jaya , saya akan ke bengkel yang terletak di Melaka untukmengambil kereta saya itu. Saya datang ke bengkel adalah atas janji yang dibuat oleh tuan bengkel bahawa kereta saya telah siap. Tapi sesampai saja di bengkel, kereta masih lagi belum siap dibaikki. Ada saja alasan yang diberikan.
 
Ulangan saya ke bengkel berulang setiap hari Sabtu, sehinggalah ke hari ini. Kereta saya pun belum siap. Ada saja alasan yang diberi.

Tuan bengkel minta maaf. Pada permohonan maaf kali pertama, saya menerima permohonan  itu walaupun ada sedikit perasaan marah kerana mungkir janji. Tapi saya maaf  dengan penuh hati.  Saya percaya minggu hadapan, seperti yang dijanjikan kereta saya akan siap dibaikki.

Sehingga sekarang saya tidak tahu berapa kali tuan punya bengkel minta maaf  diatas kegagalannya menunai janji. Saya tidak kira apabila setiap kali beliau minta maaf. Sebab selepas permohonan maaf pada minggu yang ketiga, saya sudah anggap permohonan maaf selepas itu tiada apa-apa makna. Saya pun tidak marah-marah lagi.
 
Saya anggap permohonan maaf itu tiada nilai, tiada harga langsung. Hanya sedap mulut menyebutnya.
 
Minggu lepas PM kita mohon maaf atas kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan Kerajaan UMNO/BN kepada rakyat. Walaupun PM tidak mengatakan kesalahan itu dalam bentuk mungkir janji, bagi saya ada janji-janji yang telah gagal ditunaikan kerajaan sehingga boleh tercetus dari mulut PM untuk mohon maaf. Dan ini bukan kali pertama PM minta maaf.
 
Permohonan maaf tuan punya bengkel, bagi saya tidak ada nilai dan tidak perlu saya ambil peduli. Malah saya pun tidak marah dan berasa hati lagi. Kerana saya sudah anggap permohonan maaf itu hanya sebutan kata-kata dari mulut saja bukan datang dari hati yang penuh keinsafan.
 
Bagaimana pula dengan permohonan maaf PM ini?
 
Macam-macam tafsiran kita boleh buat. 
 
Cuma bagi saya kalau mudah saja membuat permohonan maaf , permohonan maaf itu hanya sebagai mainan dan sebutan mulut yang akan diulang tanpa ada rasa insaf. Apatah lagi jika permohonan maaf itu datangnya dari orang politik yang mahu mengekalkan kuasa.
 
Apalah malu dan ruginya memohon maaf kalau balasannya adalah kuasa memerintah sebuah negara.
 
Jadi permohonan maaf ini ada yang berharga dan ada yang tiada harga bergantung dimana duduknya kita.   
    
 
  
    
 
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan