Malaysia adalah sebuah negara yang kaya. Kaya sumber alam dan persekitaran, kaya dengan sumber manusia dan kaya dengan sejarah.
Sepatutnya tiada rakyat Malaysia yang miskin. Apatah lagi papa kedana (miskin tegar). Tapi mengapa ada lebih 40% rakyat Malaysia yang dimasukkan sebagai kategori miskin?
Jangan pula kita berhujah bahawa kemiskinan ini tidak boleh dihapuskan kerana ianya sesuatu yang relatif. Orang yang berpendapatan satu ratus sebulan adalah lebih miskin berbanding dengan orang yang berpendapatan bulanan satu ribu. Dan perbandingan seterusnya bagi tahap-tahap pendapatan yang berbeza.
Itu satu hujah akademik mencari jalan keluar dan alasan bagi mempertahankan kegagalan dalam menangani isu kemiskinan. Bukan mencari jalan yang praktikal bagi mengatasi kehidupan rakyat yang susah.
Jalan yang praktikal bagi mengatasi orang yang susah dan miskin ini adalah dengan hidup bersama mereka merasai apa yang mereka rasa.
Makan, apa yang mereka makan; pakai apa yang mereka pakai; tidur bersama di ruang tidur mereka; mandi manda dan cuci anggota diri, cara mereka; duduk bersila atau berlunjur kaki diatas lantai, cara mereka; bersuka dan berhibur ikut rentak dan tari mereka; dan berubat ikut jampi mentera mereka.
Dan jangan lupa mereka juga ada cara runding dan muafakat. Ikut resam dan petua mereka.
Cukup lakukan sebulan saja.
Kalau itu yang sanggup dilakukan, dan dilakukan dengan penuh keinsafan, dan bukan semata-mata untuk merasa pengalaman yang berbeza, kemudian dilupakan, maka saya percaya secara praktikalnya kita mampu membantu orang yang susah dan miskin.
Maknanya falsafahnya sama dengan perintah Allah menyuruh kita berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Tujuannya antara lain untuk satu keinsafan diatas kesedaran hasil dari perlakuan dan amalan kita sendiri. Apa yang kita sendiri rasa seperti orang lain yang telah begitu lama merasa.
Tapi lihat apa yang sebenarnya terhasil dari amalan berpuasa itu. Banyak orang yang gagal insaf berbanding yang berjaya.
Jadi jangan pula setelah bersama sebulan tinggal dengan orang miskin, kita masih lagi tidak insaf untuk membantu orang yang susah dan miskin.
Bagaimana? Mampu kita lakukan?
Saya percaya jawapan sebahagian besar dari kita yang hidup agak senang ini mengatakan kurang mampu. Dan sudah tentu kita akan memberi berbagai alasan untuk mempertahankan kewajaran ketidakmampuan kita itu. Biasalah. Sebab kita mempunyai seribu dalih jika tidak mahu melakukan.
Tapi saya lebih suka arahkan soalan diatas kepada kerajaan yang memerintah.
Bagaimana? Mampukah kerajaan melakukan?
Sebenarnya kerajaan hanya ada satu saja pilihan.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyenangkan orang miskin dan susah ini. Kerajaan mesti ada seribu daya untuk mengatasi kesusahan orang miskin ini. Tidak ada sebab yang munasabah tanggungjawab ini tidak dapat dilakukan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dari segi sumber alam dan persekitaran, sumber manusia dan sejarah.
Maka daya mengurus sumber itu yang perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya atas asas keinsafan tadi. Memang ianya mudah ditutur. Tetapi kalau tidak ada kesanggupan maka berilah kepada mereka yang mempunyai daya dan usaha untuk melakukan. Dan lakukan dengan penuh keinsafan.
Tapi ingat , disamping Malaysia sebuah negara yang kaya, kita ada banyak halangan.
Halangan yang paling besar sekali ialah keberanian untuk melakukan perubahan. Kerana ianya boleh merubah status quo yang telah lama diwarisi turun temurun, baik dalam bentuk organisasi dan struktur mahu pun dalam bentuk tatacara perhubungan yang bersifat atas ke bawah. Risikonya amat tinggi. Maksud saya risiko politiknya terlalu tinggi sehingga boleh kecundang dalam gelanggang.
Apatah lagi sebahagian besar masih lagi belum bersedia untuk menerima dan melakukan perubahan termasuk orang yang susah dan miskin itu.
Apakah benar begitu?
Tunggu saja keputusan pilihanraya ke 13 nanti. Disana ada jawapannya. Buat ketika ini saya masih cenderung untuk mengatakan rakyat Malaysia masih belum bersedia lagi. Ya, jumlahnya sudah meningkat tetapi masih lagi belum mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan