Pada suatu hari yang telah berlalu:
"Tokpa", kedengaran suara aqib dari ruang tengok tv. Kemudian diikuti ketawa berderai-derai dari yang lain-isteri, anak dan menantu. Saya sedang membaca cerita dan berita melalui internet sebagai sumber maklumat yang saya boleh percaya. Dah bertahun-tahun saya tidak tengok berita dari saluran tv dibawah penguasaan pemerintah. Cuma yang saya tengok rancangan sukan.
Apabila saya mendengar suara aqib itu , seperti biasa saya akan menjawab 'ayang' , agar aqib tahu bahawa dia diberi perhatian oleh saya. Tapi sahutan ayang saya itu menambahkan deraian ketawa dari mereka yang berada dihadapan tv.
Apa pasal dia orang ketawa?
Saya bingkas bangun dan menuju keruang tv. Deraian ketawa mereka itu masih berterusan. Mereka sedang menonton satu rancangan tv. Rancangan masak memasak.
Sekali lagi aqib menyebut 'tokpa' dengan menunjukkan jari ke skrin tv. Mereka yang lain ketawa lagi. Mata saya melihat skrin tv.
'Oooooh , salah seorang chef, yang kepalanya hampir tiada rambut, agak gemuk berbanding dengan chef yang lain, pipi di kiri kanan ditumbuhi rambut-rambut putih, dan usianya, rasanya lebih tua dari chef yang lain, sedang memberi ulasan tentang makanan.
Wajahnya (chef) itu, mengikut pandangan mata aqib, cucu saya itu menyamai wajah saya.
Saya pun turut sama ketawa. Saya memeluk dan mencium aqib yang berterusan menyebut 'tokpa' sambil jarinya menunjuk kearah skrin tv.
Sesungguhnya anak kecil , anak kecil juga. Tidak dapat membezakan atuk yang sedang memeluk dan menciumnya dengan orang lain yang berbicara dalam tv.
Pada hari ini Khamis, 6 Desember 2012:
Saya, isteri dan mama aqib (anak kami) dan aqib sedang memerhati 3 pekerja sedang mengaturkan perabut di rumah baru, yang baru dibeli oleh anak suami isteri, di kondominium tempat kami menyewa. Kami menyewa tingkat 12. Rumah baru tingkat 3.
Seorang dari pekerja itu menegur saya dengan menyatakan pernah melihat wajah saya, tapi entah di mana.
Isteri bertanya, "Suka tengok master chef ke?"
"Ya, isteri dan anak-anak saya cukup suka. Tak dapat nak tengok rancangan lain", kata pekerja itu.
Kemudian dia dengan tiba-tiba berkata,"Encik ni master chef ke?"
Dia terus menghampiri saya dan menghulurkan tangan. Tangan disambut sambil saya mengatakan 'benarlah saya master chef'.
Pekerja itu sungguh berbesar hati dapat berjumpa dan bersalam dengan 'master chef'. Katanya dia akan beritahu isteri dan anak-anaknya bahawa dia menghantar perabut ke rumah master chef dan telah dapat bersalam.
Isteri dan anak saya itu ketawa berterusan. Tetapi pekerja tadi tidak mengesyakki ada yang tidak kena. Dia sungguh yakin saya adalah master shef , orang dalam tv dalam rancangan master chef itu. Tambah-tambah lagi ia menerima pengakuan dari saya.
Isteri rasa serba salah dan tidak sampai hati membiarkan pekerja itu percaya pada perkara yang tidak betul. Beliau menyatakan saya bukanlah master chef .
"Cucu saya pun kata atuknya master shef bila tengok rancangan master chef tu", tambah isteri saya.
Saya mengangguk membenarkan apa yang isteri saya kata. Pekerja itu ketawa besar. Tapi dia masih mahu beri tahu isterinya nanti bahawa dia baru saja jumpa master shef.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama berlaku peristiwa pelanduk dua serupa terhadap diri saya.
Semasa bekerja dulu seorang yang telah membeli rumah saya datang ke pejabat untuk membayar baki wang sebagai bayaran terakhir berjumlah lima pulauh ribu.
Apa yang terjadi?
Pembeli rumah itu membayar wang tersebut kepada seorang kawan dengan menyatakan wang tersebut sebagai bayaran terakhir harga rumah. Oleh kerana kawan saya itu tidak menjual rumah, dia terus membawa pembeli rumah itu berjumpa saya.
Maka terpinga-pingalah si pembeli rumah itu sambil berkali-kali melihat wajah kami berdua. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Dan kami berdua ketawa.
Nasib baik kawan saya itu bukan kaki kelentong.
Saya juga hampir kena pukul disebuah gedung perniagaan apabila seseorang itu mengatakan saya adalah orangnya yang beliau jumpa beberapa minggu yang lepas disebuah jabatan kerajaan bagi mendapat sesuatu kelulusan. Tapi malang, katanya, kelulusan tak kunjung tiba.
Orang itu marah-marah apabila saya mengatakan bahawa saya bukanlah orangnya kerana telah lama bersara.
Orang itu mahu membuktikan yang dianya tidak salah orang, dengan mengambil surat dari dalam keretanya. Surat itu adalah surat dari jabatan berkenaan yang mempunyai nama dan tandatangan pegawai yang ditemui.
"Ini bukan nama saya".
Dia pun minta maaf. Nasib baik tak kenal pukul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan