Theflowersellingboy

Isnin, 24 Disember 2012

Catatan Dairi 1990 : Perasaan Jemu dan Kecewa

"Entahlah. Tiba-tiba rasa jemu menguasai diri. Tak tahu apa yang menyebabkan jadi jemu. Tiada apa yang menarik minat untuk melakukan sesuatu.

Malam tadi tonton bola sepak. Seri. Satu keputusan yang menyakitkan hati. Tak berbaloi tidur larut malam. Harapkan menang.

Selepas Subuh, tidur semula. Bangun pukul 10 pagi. Sarapan pagi diwarung . Makan bubur nyonya".

Itulah catatan dalam diari tahun 1990 saya.

Saya cuba mengimbau semula apakah cerita disebalik catatan diari itu. Catatan yang sudah menghampiri 13 tahun. Tak dapat. Saya tidak dapat mengingati sebab mengapa saya mencatatkan seperti itu.

Saya percaya catatan itu dibuat pada sebelah pagi selepas minum di warung.

Saya terus memicit dahi memikirkan.

-'Catatan itu menceritakan tentang perasaan. Perasaan jemu yang datang secara tiba-tiba tanpa dijemput. Perasaan jemu itu memberi kesan kepada diri saya sehingga tidak berminat langsung untuk melakukan sesuatu.

Saya telah kecewa kerana pasukan bola sepak yang disokong hanya seri saja. Saya harapkan keputusan menang, bukan seri. Saya sanggup berjaga sehingga larut malam, mengurbankan waktu tidur. Tapi hasilnya amat mengecewakan, tidak setimpal pengorbanan yang diberikan.

Jadi untuk mengubati kekecewaan itu saya tidurlah sehingga pukul 10 pagi'-

Kenapalah saya sampai memicit-micit jari untuk mencari sebab cerita disebalik catatan dalam dairi itu. Catatan itu sudah terlalu jelas mengatakan bahawa saya kecewa kerana harapan yang tidak kesampaian. Pasukan hanya seri saja. Tidak menang seperti yang diharapkan. Maka dari kekecewaan itu lahirlah perasaan jemu. Itu saja.      

Begitulah yang berlaku kepada sebahagian dari kita.  Yang jelas kelihatan pun kita masih tidak nampak. Sama kisah saya dengan catatan dalam dairi tahun 1990.

Oleh itu saya ingin bertanya beberapa soalan yang mudah-mudah saja.

Apa harapan anda sebagai rakyat?

Adakah harapan anda telah disempurnakan?

Adakah anda kecewa?

Untuk menjawab soalan-soalan yang mudah itu saya cadangkan supaya anda semua buka mata dan pintu hati anda agar anda dapat melihat bukan saja yang terzahir bahkan yang 'tersembunyi'.

Dan selepas menjawab soalan-soalan itu saya ada lagi satu soalan yang sama tahap mudahnya iaitu,

Adakah perasan jemu menguasai diri anda?  

Saya telah sedia ada jawapan iaitu saya terlalu jemu. Saya perlukan sesuatu yang baru yang lebih murni sifat dan nilainya. Sebab apa yang mata saya lihat, apa yang telinga saya dengar (bukan gosip) dan apa yang saya sendiri tahu bahawa banyak yang sudah rosak dan tercemar. Tiada lagi yang murninya.

Harapan tidak kesampaian, sudah kecewa.

Mana hilang lesapnya wang dan kekayaan negara kita?

Anda masih lagi tidak nampak?    

Saya nampak begitu jelas. Oleh kerana saya telah jemu maka saya perlukan yang lain. Lain dari bubur nyonya, sarapan pagi saya, seperti tercatat dalam dairi tahun 1990 saya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan