Theflowersellingboy

Ahad, 16 Disember 2012

Bersua Kembali: Mesra Tapi Kisah Lama Menjelma Semula.

Semalam, dalam sebuah majlis kahwin, bersua semula dengan seorang kawan, lebih tepat seorang bos, yang telah berpisah lebih 15 tahun lamanya.

Kami berpisah dengan cara yang kurang mesra. Ad pertelingkahan diantara kami berdua yang membabitkan tanggungjawab masing-masing. Dia ke Kuala Lumpur dan saya di tempat kerja lama sehinggalah bersara.

Semenjak berpisah kami tidak mengambil tahu kisah masing-masing. Tetapi sesekali  bersua muka  juga apabila kami menghadiri persidangan yang sama. Kami hanya bertegur sapa saja tanpa berbual panjang. Nampaknya kesan pertelingkahan lepas masih lagi ada sedikit baranya.

Tapi semalam suasananya agak berbeza. Masing-masing , dia dan saya bertegur sapa begitu mesra sekali seolah-olah peristiwa-peristiwa lepas yang menusuk hati masing-masing sudah tiada terlintas dihati. Kami duduk semeja.

Dia lebih banyak bercerita dan saya lebih banyak mendengar. Dia menceritakan aktiviti hariannya. Belajar hal-hal agama , fardhu ain dan fardhu kifayah dengan memanggil seorang ustaz ke rumah untuk ahli keluarga. Dia juga belajar agama selama 3 hari seminggu di Seksyen 15 Shah Alam. Katanya belajar dari A sampai Z bagi sesuatu modul. Misalnya dalam bab solat. Diajar secara lengkap.

Saya amat tertarik sekali dengan aktiviti selepas bersara kawan saya itu. Lebih terarah kepada mengingati Allah dan kehidupan selepas mati. 

Terasa malu juga dihati jika dibandingkan dengan saya. Saya lebih banyak duduk di rumah, bersama isteri dan cucu serta membuat kerja membersih dan mengemas kawasan dalaman dan luar rumah. Ada juga pergi berjemaah di masjid. 

Anak-anak kawan saya itu juga berjaya dalam pelajaran. Dua dari tiga orang anaknya adalah doktor pakar. Seorang pakar bedah dan seorang pakar bius. Anak yang ketiga mungkin masih belajar.

Ada lagi beberapa perkara yang diceritakan. Saya mendengar saja dan sesekali mencelah sepatah dua kata dengan soalan-soalan pendek untuk mengetahui lebih lagi hal yang diceritakan, sambil ketawa kecil tanda gembira dan seronok mendengar cerita-cerita dari bos itu.

Cerita bos sambung menyambung. Bos bercerita lagi. Dan saya terus mendengar.

Entah macam mana saya mula terasa suasana semasa bekerja wujud semula, menyelinap dalam otak saya.  

Sekarang saya seolah-olah berada dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh bos saya itu. Beliau bercakap memberikan arahan apa yang perlu dibuat, garis panduan yang perlu diikut dan nasihat yang perlu ditaati. Ahli mesyuarat yang lain begitu tekun mendengar. Ada juga yang memberi pandangan yang menyokong akan idea dan saranan yang diketengahkan oleh bos.

Suasana aman dan tenteram.

Bos berbicara fasal penswastaan sebuah syarikat utiliti. Bos memberitahu bahawa pada dasarnya pihak berkuasa telah bersetuju dan meminta semua jabatan melihat perincian yang bersangkutan dengan jabatan masing-masing dengan tujuan untuk melaksanakan keputusan itu sebaik dan secepat mungkin.

Dalam banyak hal, perkara yang melibatkan perundangan dan kewangan adalah kunci utama kepada kejayaan penswastaan ini.

'Saya ingat kurang teratur jika kita menjadi penjamin kepada pinjaman yang akan dibuat oleh syarikat dalam hal pembiayaan pemgambilanalih tangungjawab menguruskan syarikat utiliti itu'.


Itulah pandangan saya sebagai reaksi kepada kenyataan bos bahawa pihak berkuasa telah bersetuju untuk menjadi penjamin kepada pinjaman yang akan dibuat oleh syarikat yang telah ditentukan bagi membiayai kos penswastaan.

Bos berang sekali. Beliau meminta agar apa cara sekalipun, 'by hook or by crook' , ianya mesti diusahakan.

Setelah lama berhujah antara kami berdua, saya ambil jalan untuk berdiam. Saya berdiam bukan kerana, 'boss is always right'. Saya berdiam untuk menenangkan suasana yang tegang. Tapi saya tetap dengan pendirian saya itu.

Maka tiba saja di pejabat, saya menyediakan sebuah surat dan menandatangani surat yang menyatakan pendirian jabatan. Surat itu untuk bos (jabatan bos).

Maka dalam beberapa minggu selepas itu, bos memarahi saya dan kawan dari jabatan perundangan kerana dikatakan menjadi penghalang kepada penswastaan pengurusan  utiliti itu. Pihak atasan katanya amat marah.

Seterusnya, kami berbeza pandangan dari segi pembelian saham yang katanya telah dipersetujui secara dasar oleh pihak berkuasa. 

Secara bersurat saya menyatakan bahawa risiko adalah terlalu tinggi jika jabatan (organisai) membeli saham awam dengan menggunakan pinjaman bank. Jabatan itu boleh mengalami risiko kewangan yang besar kerana pasaran saham adalah tertakluk kepada suasana dunia yang tidak menentu. Apa akan terjadi jika harga jatuh merudum? Dan banyak lagi persoalan-persoalan lain yang saya timbulkan sebagai hujah menyokong pendirian saya itu.

Maka bertambah beranglah bos itu. Apatah lagi pembelian saham itu tidak menjadi kenyataan.

Tapi perjumpaan semalam, duduk dimeja yang sama kami sungguh mesra. Bos banyak bercerita dan saya banyak mendengar.

Tidak ada perbezaan pandangan. Kami telah berubah. Tidak ada hujah dari saya yang boleh mengusik hati kawan saya itu lagi. Kami amat mesra sekali.

Cuma ada yang masih belum berubah. Saya masih lagi banyak mendengar dan kawan saya itu  banyak bercerita seolah-olah kami dalam sebuah mesyuarat yang dipengerusikan oleh bos. Seolah-olah kawan saya itu dan saya masih lagi  belum bersara. Seolah-olah suasana hubungan adalah dalam bentuk hubungan diantara bos dengan 'subordinate'.


Akhirnya saya mula naik jemu dengan cerita kawan saya itu  yang tidak henti-henti. Tapi saya tidak mahu memulakan cerita saya. Atau mengeluarkan kata-kata yang boleh mengacau dan mengganggu kerancakan kawan itu bercerita. Saya mencuit badan isteri sebagai isyarat untuk meminta diri.

Kami berpisah setelah bersalam sambil menyatakan harapan untuk berjumpa lagi. Mesra sekali.

Dalam kereta isteri menyatakan "bosanlah dengar cerita orang tadi".

Saya jawab, "Itu baru sekali. Abang acapkali. Sampai kami merajuk". 
 




   
 

 
 

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan