Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Disember 2012

Renugan Hari Jumaat: Adakah Orang Melayu Terlalu Emosional?

Persoalannya : Adakah Orang Melayu Terlalu Emosional?
 
Semua orang , Melayu dan bukan Melayu mempunyai emosi. Cuma orang Melayu, emosinya melampau sangat. Mudah saja perasaan dan jiwa raganya dipengaruhi dan dipermainkan. Mudah saja untuk memikat dan memenangi hati orang Melayu.
 
EMOSI ORANG MELAYU MENGATASI DAYA FIKIR YANG RASIONAL.
 
Kalau hatinya telah terpikat dengan sesuatu atau terlalu sayang akan sesuatu, atau telah mempunyai kepercayaan yang mendalam akan sesuatu, orang Melayu tidak akan memilih selain dari itu waemah pilihan yang bersifat strategi mahu pun pilihan yang boleh menyelamat dan menguntungkan orang Melayu dalam jangka panjang, akan ditolak mentah-mentah.
 
Rasanya tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa untuk menakluk negara atau negeri Melayu, si penakluk itu tidak perlu memasuki medan perang berlengan dengan orang Melayu. Hanya  cukup dengan memenangi hati orang Melayu, berpindah tanganlah negara atau negeri Melayu itu. Tergadailah tanah milik orang Melayu.

Inilah yang telah berlaku dan sedang berlaku dikalangan sebahagian besar orang Melayu terutama orang Melayu diluar bandar yang tidak banyak mempunyai sumber maklumat.  Emosi mereka mengatasi daya fikir rasional.
 
Maka sifat yang terlalu emosional inilah yang telah diambil kesempatan oleh berbagai pihak, Melayu dan bukan Melayu khususnya mereka yang bernafsu untuk menjadi pemimpin orang Melayu. 
 
Orang Melayu terlalu sayang akan bangsanya. Orang Melayu terlalu sayang akan rajanya. Orang Melayu terlalu sayang akan agamanya. Orang Melayu terlalu sayang akan negaranya.
 
Kesayangan yang penuh emosi.
 
Maka mereka yang berkepentingan, sama ada dari kalangan Melayu jati , Melayu kacukan, Melayu perlembagaan dan orang bukan Melayu, yang bernafsu tinggi untuk mengekalkan kedudukan istimewa yang diwarisi, mengekalkan kuasa dan mendapatkan kuasa akan menggunakan segala kaedah dan cara untuk mempengaruhi, memenangi hati orang Melayu dengan mempamirkan diri sebagai orang yang terlalu sayang akan apa yang disayangi oleh orang Melayu.
 
Cukup itu saja, jiwa raga orang Melayu akan tersembam percaya.
  
Realitinya, perbuatan dan kelakuan mereka itu tidak semestinya begitu. Jauh dari memperjuangkan nasib orang Melayu dan pengamal taat agama orang Melayu.
 
Cuma kelihatan di mata orang Melayu ianya begitu kerana itulah yang mereka pamirkan semasa berdepan dengan orang Melayu. Dan itulah yang disebarluas untuk tontonan orang Melayu. Dan itulah metos yang didongengkan untuk tatapan bacaan orang Melayu.  
 
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanya semata-mata untuk menjadi makanan otak dan hati nurani orang Melayu, agar berakar umbi dalam otak kepala dan jiwa raga orang Melayu bahawa orang itu atau mereka itu mempunyai jiwa raga mengasihi orang Melayu.
 
Mereka ini amat faham serta mahir akan emosi orang Melayu. 
 
Mereka amat arif bahawa 'orang Melayu sifatnya lemah lembut, yang tidak banyak kerenah, yang sentiasa tidak lupa akan budi dan jasa orang, walau sebesar zarah sekali pun, yang mudah sedih gundah gulana, yang mudah mengeluarkan air mata , menangis teresak-esak mengenangkan nasib bangsa hidup merempat di tanah air sendiri, yang mudah merasa takut dan bimbang, yang terlalu taksub dan percaya metos dan dongengan dan yang berjiwa menyerah seperti hamba sahaya.
 
Hanya cukup dengan lagu yang mendayu dan merintih, mendendangkan  kata-kata penuh kekecewaan dan kebimbangan, orang Melayu akan menangis teresak-esak mengenang nasib diri terpinggir di negara sendiri.  
 
Dendangkan lagu 'Anak Kecil Bermain Api' .
 
Berjurai dan berderailah air mata umat Melayu mengenangkan nasib, hidup merempat, terpinggir di negara sendiri!

Maka hilang lesaplah kewarasan orang Melayu untuk membuat penilaian akan persoalan: 
 
i)  Mengapa orang Melayu jadi begini
 
ii) Siapakah yang bertanggungjawab membuatkan orang Melayu seperti ini?
  
Yang masih kekal ialah emosi yang menebal. 
 
Maka mainkanlah emosi seperti ini atas nama cinta dan sayang kepada bangsa Melayu, raja Melayu, agama orang Melayu dan tanah air, sudah tentu orang Melayu dapat ditawan jiwa dan raganya, sanggup berkorban apa saja.
 
Kesalahan mudah saja mendapat kemaafan jika maaf dipinta. Tangisan boleh menarik simpati, memujuk hati yang marah. Yang batil mudah saja diberi helah dengan kata-kata  'kubur, masing-masing yang punya'. 

Mainkan lah emosi orang Melayu itu.
 

 

 
 
  
 
   
 
 
 
 
 
 
 
 
   

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan