Semasa saya memandu, dalam perjalanan ke majlis kenduri kahwin saya terdengar sebuah lagu lama. Antara lirik yang saya boleh ingat adalah,
Kalau ada kuasa kita dipandang mulia
Jangan mabuk kuasa, kita jadi gila
Saya tidak pasti nama lagu itu yang saya dengar dari sebuah stesyen radio yang menyiarkan lagu-lagu kenangan lama (nostalgia). Saya juga kurang pasti ketepatan lirik itu. Tapi lebih kurang begitulah bunyinya.
Kuasa memberi kita kedudukan dan taraf. Kita diletakkan pada kedudukan yang baik dikalangan masyarakat, dihormati dan dimuliakan. Kitalah yang menjadi pilihan untuk dikedepankan. Kita didahulukan.
Oleh itu ramai orang yang berebut-rebut untuk memperolehi kuasa. Dengan ada kuasa ianya memudahkan kita untuk melakukan sesuatu sama ada yang baik untuk diri dan masyarakat atau untuk kepentingan sendiri saja dengan mengorbankan kepentingan masyarakat.
Yang penting kita boleh melakukan sesuatu kerana kita ada kuasa. Ahli masyarakat sebahagian besarnya boleh menjadi takluk kita kerana kuasa yang kita ada. Keluarkan saja arahan dan tunjukkan saja jari, ahli masyarakat akan melakukan kehendak kita. Ada juga yang melakukan lebih dari yang kita kehendaki semata-mata untuk mendapat pujian, habuan dan kepercayaan dari kita sebagai orang yang ada kuasa. Kerana mereka juga mahu menumpang semangkuk akan keberuntungan kita yang ada kuasa.
Jadi orang yang ada kuasa akan sentiasa dimuliakan. Namanya yang pertama disebut dalam sebarang acara dengan penuh pujian. Tempat duduknya dibezakan dari yang lain dari segi susunan barisan, saiznya dan warnanya. Laluan ke tempat duduk juga beralaskan permaidani agar kasut yang dipakai tidak tercemar. Dipilih pula permaidani berwarna merah.
Begitulah cara pemulian yang sentiasa diterima oleh orang yang berkuasa. Dan mereka yang memuliakan , merasakan perbuatan memuliakan orang yang berkuasa itu adalah satu yang amat wajar malah wajib dilakukan. Orang yang tidak melakukan pemulian kepada orang yang berkuasa dianggap sebagai tidak betul, yang terkeluar dari kebiasaan yang sepatutnya. Mereka tiada adat dan adab.
Maka dari perasaan sayang dan hormat itu ianya akan melahirkan rasa takut terhadap yang ada kuasa. Maka jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya kepada yang ada kuasa. Apa saja terserahlah apa yang ditentukan oleh orang yang ada kuasa. Baik pada yang ada kuasa baiklah kepada ahli masyarakat.
Yang terlalu taksub pula mudah saja menurut kata. Kalau kain yang berwarna hitam itu dikatakan putih oleh yang ada kuasa, maka putihlah kata mereka.
Ini tidak bermakna mata mereka buta warna. Hanya mereka itu buta hati.
Dek kerana buta hati mereka telah memberi ruang seluas-luasnya kepada yang ada kuasa untuk lebih menunjukkan kuasa. Atau untuk menjadi maha kuasa iaitu satu dari sifat Allah.
Orang yang ada kuasa itu tidak sedar siapa diri mereka. Mereka sudah mabuk kuasa. Akhirnya mereka yang ada kuasa itu jadi gila.
Cuba kita fikir-fikirkan baik-baik akan lirik lagu lama itu. Adakah ianya relevan dengan situasi ketika ini? Kalau tak silap saya lagu itu ciptaan tahun empat puluhan. Atau pada awal lima puluhan?
'Wahai sang kodok
jika kena gelek
kau jadi kemek'
Hilang kuasalah kamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan