Theflowersellingboy

Jumaat, 14 Disember 2012

Anggota Badan Sakit-sakit, Tapi Kerana Malaysia Tonton Juga Piala Suzuki.

Pinggang terasa sakit. Kaki kebas-kebas. Kedua-dua tapak kaki rasa sakit memijak. Betis dan lutuh lenguh-lenguh. Pendek kata seluruh anggota badan berasa sakit akibat dari mengangkut dan mengangkat barang berpindah dari tingkat 12 ke tingkat 3.

Bermula pada dua hari yang lepas, sehingga petang ini , hari Jumaat, masih lagi belum selesai. Esok akan sambung lagi. Tapi hanya tinggal sedikit lagi yang mahu dibereskan termasuklah mengemas dan membersihkan rumah sewa yang dikosongkan itu.

Tapi besok saya ada dua jemputan kahwin . Satu di Kajang dan satu di Melaka. Jadi esok tak dapat bersama mengangkat barang.

Menghadiri jemputan lebih afdal lagi, jika tiada halangan.

Malam semalam dalam keadaan anggota badan yang sakit-sakit, mampu dan sanggup juga menonton siaran langsung perlawanan separuh akhir kedua piala suzuki diantara Malaysia melawan Thailand di Bangkok.     

Seperti sebahagian orang yang lain, saya telah meramalkan Malaysia akan tewas dalam perlawanan ini. Malah dengan formula PSL saya, saya berpendapat Malaysia  tidak mempunyai 'material' yang dikehendaki sebagai pra syarat untuk menang bersaing dalam  permainan bola sepak. 

Malaysia menang adalah kerana keajaiban semangat juang. Jika kejaiban semangat juang  Malaysia tidak luntur, Malaysia boleh menang. Jika sebaliknya, amat susah untuk kita menang.

Satu dari ciri yang perlu ada untuk mewujudkan keajaiban semangat juang ialah dapat mengawal kemarahan apabila di 'provoke'. Provokasi adalah satu tektik dalam permainan bola sepak. Satu fenomina yang selalu di amalkan oleh sebahagian besar pemain dunia. 

Mana-mana pemain yang gagal mengurus provokasi dari pemain lawan, akibatnya ialah pemain itu akan memberi respon dengan bertindak menyerang atau melakukan sesuatu keatas anggota badan pemain lawan. Jika tindakbalas pemain itu dapat dilihat oleh pengadil permainan, kesannya boleh membawa padah kepada diri dan pasukan.

Itulah yang berlaku kepada seorang pemain pertahanan kita yang menghantuk kepalanya ke kepala pemain Thailand, apabila pemain Thailand itu secara agressif menuju kearah pemain pertahanan kita itu setelah berlaku kekasaran pada awalnya.

Akibatnya dapat kad merah dan secara otomatik kena keluar padang. Sebelum itu pemain kita itu telah menerima kad kuning. Jadi kad kuning kedua melahirkan kad merah.

Saya dapati pemain ini kurang bijak dalam menguruskan provokasi.  
Beliau telah diberikan kad kuning. Sama ada dia bersetuju atau sebaliknya kad kuning pertama yang telah diberikan oleh pengadil, pemain kita itu mesti lebih berhati-hati dalam meneruskan permainannya terutama dalam hal tindakbalas jika ada provokasi. Risikonya terlalu tinggi jika provokasi tidak dapat diuruskan dengan baik. Atau jika beliau bermain kasar yang boleh dikesan oleh pengadil.

Beliau telah gagal dalam  melakukan keajaiban iaitu kemarahan telah menguasai diri. 

Perkara ini saya pernah nyatakan dalam paparan yang lepas bahawa kita mesti berawas dalam soal nafsu marah ini. Saya menyatakan, 

'hubaya hubaya jangan marah menguasai diri
itu bukan identiti kita'

Itupun juga salah satu doa saya mengharapkan Malaysia menang.

Satu lagi semangat keajaiban yang tidak ada pada pemain Malaysia pada perlawanan itu ialah tahap kecergasan pemain kita. Pemain Malaysia tidak 'fit' untuk disaingkan dengan pemain Thailand. Pemain kita sepatutnya mempunyai kekentalan fizikal yang apabila 'diterjah tidak rebah'. Tapi nampaknya kita terlalu jauh dari keajaiban untuk tidak rebah.

Maka kita kalah 2-0 dengan Thailand dengan agregat 3-1 dan tidak dapat masuk ke pertandingan akhir.    

Dari segi kemahiran bermain, pemain kita boleh bersaing dengan mana-mana pasukan ASEAN malah ada masanya kemahiran bermain pemain kita lebih dari pemain negara lain di ASEAN.

Jadi kita kalah kerana kita tidak melakukan keajaiban.  Keajaiban menguruskan provokasi dan keajaiban kekentalan fizikal yang tidak rebah apabila diterjah.

Jangan pula ada orang yang mengatakan kita kalah kerana pihak Thailand memberi layanan yang kurang baik dari segi padang tempat latihan. Ada yang anggap sebagai bendang (sawah padi) dan bukan bertaraf padang bola sepak. 

Sebenarnya saya juga adalah termasuk dalam kategori yang tidak ada semangat keajaiban yang kental apabila anggota badan mudah saja  rasa sakit-sakit hanya disebabkan mengangkat dan mengangkut barang dalam urusan berpindah rumah.

Apatah lagi kalau diajak bermain bola sepak. Matilah saya.

Oleh itu saya ucapkan syabas kepada pemain-pemain kita yang telah menunjukkan kesungguhan bermain. Cuma kita tidak melakukan sesuatu yang ajaib.  
  


     

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan