Theflowersellingboy

Ahad, 23 Disember 2012

Buat Yang Biasa-biasa Saja Kalau Mahu Sambung Kontrak.

Dia mengambil sebuah album lama yang memuatkan bermacam-macam gambar yang ada kaitan dengannya. 
 
Dia tersenyum melihat wajah ketika muda, ketika baru mula bekerja, waktu berusia lebih 23 tahun memasuki tahun 24. Segak bergaya, bertali leher, berambut lebat, berkumis dan bermisai hitam yang lebat. Gagah.
 
Sehelai demi sehelai album bergambar itu ditelek. Dia sentiasa senyum. Tidak ada gambar-gambar yang  mengeruhkan air mukanya. 
 
Dia membetulkan duduknya. Bersandar di kusyen untuk satu duduk yang selesa. Ada banyak lagi helaian album yang masih belum dilihatnya.  
 
Dia menutup album dan meletakkan album itu diatas meja kecil disebelahnya. 
 
Dia menggeliat untuk menghilangkan sedikit kepenatan.
   
Umurnya sudah melebihi 55 tahun. Sudah masuk umur pencen. Tapi dia mempunyai nafsu untuk bekerja lagi. Dia mahu terus memberi khidmat kepada negara. Dia terlalu sayang untuk melepaskan jawatan yang telah lama disandang.
 
Jadi disaat-saat genting ini, disaat-saat terpaksa mengundur diri ini, dia mesti melakukan sesuatu yang luar biasa, agar kelihatan dianya masih lagi diperlukan oleh negara kerana desakan nafsu begitu kuat menggoda.
 
Dia mahu menunjukkan bahawa dia seorang yang 'indispensable', seorang yang pemergiannya nanti tiada siapa yang layak untuk  mengganti, satu kehilangan yang besar kepada perkhidmatan dan kepada negara.
 
Tapi bagaimana caranya untuk memperlihatkan keluarbiasaannya?
 
Tenaganya nyata telah menurun dari hari ke sehari. Dia cepat dan mudah letih dan penat. Kerja-kerja luar sudah banyak dilepaskan kepada orang bawahan. Malah dia banyak berihat dari bertugas kerana dia mempunyai timbunan cuti rehat yang tidak digunakan semasa muda dulu. Dia juga mempunyai bilangan sijil cuti sakit yang mengizinkannya  untuk tidak bertugas.
 
Daya berfikirpun tidak sepantas dulu, dia lebih banyak lupa dari ingat. Dia lebih banyak mengingati cerita-cerita lepas dari mencetuskan idea yang baru. Dia lebih suka bernostalgia.
 
Tapi dia sayang kerjanya itu. Dia tidak mahu berhenti. Dia tidak mahu pencen.
 
Sesuatu yang luar biasa? Tidak ada sesiapapun sehebat dia? Macam mana cara?
 
Dia mula bernostalgia.
 
Sejarah kemajuan kerjayanya amat membanggakan. Kenaikan pangkat menjadi cemburuan banyak kawan. Yang dulunya kanan telah menjadi orang bawahan. Dia memanjat tangga sungguh cepat macam kilat.
 
Formulanya mudah saja. 'Never say no to your superior'.  Dia mempertahankan prinsip itu jika ada yang cuba mengejek atau memperlinya atau memperlekehkannya sebagai pak turut, pak anggok atau 'yes man'. Dia berpegang kepada prinsip bahawa semua orang ada pandangan dan cara serta pendekatan masing-masing dalam mengurus atau menyelesaikan sesuatu hal. Dan bahawa jika pandangannya berbeza atau dia mempunyai cara berbeza dalam menguruskan sesuatu hal berbanding dengan bos, maka ikutlah bos. Lagipun yang akhirnya bertanggungjawab ialah bos.
 
Sebab itu dia tidak pernah berlaga angin dengan bos. Dia tidak pernah menentang arus. Dia juga tidak pernah sekalipun mengatakan 'no' apabila menerima sebarang arahan atau tugas dari bos. 
 
Dia mendapat kepercayaan penuh dari bos. Dan dalam banyak hal dia sentiasa boleh melepaskan diri dari dimarah atau diambil tindakan disiplin jika didapati melakukan sebarang kesalahan.
 
Tiba-tiba dia tersenyum sendirian. Dia teringat bosnya meminta dia datang ke rumah pada cuti hari Ahad untuk membincangkan perolehan peralatan keselamatan yang bernilai melebihi 50 juta ringgit. 
 
"Tomorrow morning you come to my house. I have something to discuss."
 
Di rumah  bos, dia mendengar dan mencatat perkara-perkara yang perlu dilakukan. Dia diminta untuk menyediakan satu kertas perakuan bagi tujuan dibentangkan dalam mesyuarat bagi memutuskan tentang pembelian peralatan itu.
 
Dua minggu kemudian bos mempengerusikan mesyuarat bagi memutuskan pembelian alat itu. Kertas perakuan dibentangkan dalam mesyuarat untuk pertimbangan.  Bos menanyakan soalan yang bertubi-tubi akan asas-asas dan sebab mengapa dia membuat perakuan seperti itu. Sesekali suara bos meninggi semacam tidak berpuas hati.
 
Dia tidak menjawab atau mahu memberi penjelasan kerana dia sudah maklum akan duduk perkara.
 
Dia melihat air muka kawan-kawan yang lain yang menjadi sebahagian dari ahli mesyuarat begitu senang sekali, tersenyum suka, sebab seolah-olah dia dimarahi bos.
 
"Kita kesuntukan masa. Keputusan kena buat segera. Kalau tidak ianya akan mengganggu jadual perlaksanaan sistem keselamatan kita. Oleh itu perakuan ini kita boleh terima walaupun terdapat beberapa butiran kecil yang tidak kritikal tidak dinyatakan dalam kertas tadi", bos meminta mesyuarat bersetuju dengan perakuan dalam kertas yang dibentang itu.
 
Dia buat muka bersahaja dan selamba. Kawan-kawan yang lain ternganga mulut.
 
Dia ketawa besar bila teringat peristiwa itu.
 
Tapi bagaimana dia dapat terus berkhidmat lagi sedangkan umur bersara telah tiba?
 
Dia terus buat perkara yang sama? Jadi pak turut, pak angguk atau 'yes man' seperti yang diejek oleh kawan-kawannya dulu. Tapi sekarang dia sudah jadi bos sama taraf dengan bosnya dulu.
 
Nafsu untuk meneruskan perkhidmatan masih lagi menggoda. Dia mesti melakukannya seperti yang telah dilakukannya dahulu. Dia mesti angguk pada bos lebih besar, bos no.1. Dia percaya, itu pun yang dilakukan oleh bosnya dulu. Lagipun dia telah menguasai kemahiran itu.
 
Tapi apa yang luar biasanya?
 
Tidak ada yang luar biasa. Tapi angguk mengannguk ini sudah menjadi biasa, tiada apa yang kurang dan hina. Paling teruk kalau dia terus menjadi pak anggok, orang akan beri komen, "Biasalah". Itu saja. Tidak ada kudis pun.
 
Dia ketawa berdekah-dekah sambil mencapai album disebelahnya dan terus menyelak helaian album itu. Ada satu helaian yang masih lagi kosong. Dia akan masukkan gambar terkini nanti apabila kontraknya disambung.       
  
 
   
 
 
 
 
 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan