Theflowersellingboy

Isnin, 10 Disember 2012

Kawan Lama dan Bahasa Inggeris

Hello how are you. Long time no see.

Bertemu dengan seorang kawan lama. Kawan yang sama-sama jadi penggembala lembu semasa umur remaja dulu. Kawan yang sama-sama berbincang fasal pelajaran.

Pada waktu itu kami baru berusia 15 tahun. Masih berada di tingkatan tiga. Tapi dia bersekolah Inggeris, saya aliran kebangsaan disekolah yang berbeza. Orang sekampong panggilnya Ah Seng.

Selepas peperiksaan LCE atau SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya bersekolah disebuah sekolah asrama penuh di Kuala Lumpur. Saya tidak tahu sama ada Ah Seng lulus LCE dan dapat meneruskan pelajaran ke tingkatan empat. Semenjak itu saya tidak pernah berjumpa.

Semasa ditingkatan tiga, walaupun kami dari berbeza aliran bahasa pengantar, tapi kami selalu berbincang, terutamanya dalam mata pelajaran sejarah. Kami berkomunikasi dalam bahasa campuran, Melayu dan Inggeris, tapi lebih banyak Inggeris dari Melayu kerana kawan saya itu suka cakap dalam bahasa Inggeris. Saya pun tumpang semangkok. 

Tapi dia tidak pernah menegur dan mentertawakan saya. Mungkin apa yang saya cakap itu beliau boleh faham. Nahunya mungkin tak betul.

Pada waktu itu saya tak ambil kisah salah atau betul. Saya cakap tanpa ada apa-apa halangan, mengikut sedap dimulut. Lancar pula. Saya tidak kisah sama ada kena nahunya atau tidak. Sama ada present tense ke atau past tense atau apa saja tenses. Saya bantai semua.  Yang penting perbincangan kami berjalan lancar.

Sebab itu dalam kelas saya mendapat pujian dari guru bahasa Inggeris, Mr. Chan dan Mr Chandran. Banyak kawan-kawan yang cemburu akan kepetahan saya berbahasa Inggeris. Maksud saya kemampuan saya bertutur berbanding dengan kawan-kawan yang setengahnya tidak mampu menyebut perkataan Inggeris dengan betul. Apatah lagi hendak membuat ayat dalam bahasa Inggeris.

Pernah satu hari Mr. Chandran bertanya saya mengapa tidak memilih  aliran Inggeris. Saya kata bapa saya yang buat pilihan. Sebab aliran Inggeris katanya memerlukan wang belanja yang banyak. Bapa tidak mampu kerana dia seorang penoreh getah yang mendapat upah tujuh puluh ringgit sebulan. Itu pun tidak tentu. Jika musim tengkujuh, upah berkurang kerana dapat menoreh dalam beberapa hari saja sebulan. Adik beradik saya ketika itu ada enam orang. Emak hanya suri rumah saja.

Bahasa Inggeris saya mulai merosot apabila saya berada di sekolah asrama penuh. 

Hari-hari cakap Melayu kerana kawan-kawan saya kesemuanya Melayu. Guru bahasa Inggeris ialah Mr. Lingam. Beliau tidak berminat untuk mengajar tapi lebih berminat untuk belajar. Maksud saya   beliau berminat untuk belajar bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu. Sebab ketika itu usaha menggalak dan mempertingkatkan penggunaan bahasa kebangsaan hebat dijalankan. Ada minggu bahasa, ada bulan bahasa dan bermacam-macam program lagi ke arah memperluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Pada masa itu rakyat bukan Melayu memberikan perhatian yang cukup hebat akan penggunaan bahasa Melayu. Tidak ada banyak soal. Mereka dengan bangga dan relanya menjayakan usaha kerajaan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu.

Maka hal itu juga terjadi pada Mr.Lingam guru bahasa Inggeris saya itu.  

Tiap-tiap hari apabila ada kelas bahasa Inggeris, Mr. Lingam akan bertutur dalam bahasa Melayu dan meminta kami murid-muridnya menegur atau membuat pembetulan jika apa yang dituturkan salah.

Satu contoh. "Jangan pijak rumput itu, nanti matilah beliau".

Itu adalah satu dari ayat yang Mr. Lingam meminta kami memberi pandangan. 

Sebaik saja beliau menutur ayat itu semua murid ketawa berderai-derai kerana Mr. Lingam menggunakan perkataan 'beliau' sebagai menggantikan perkataan rumput.  Tapi beliau tidak marah malah meminta di perbetulkan. Begitulah gayanya setiap hari guru bahasa Inggeris itu menghabiskan masa belajar bahasa kebangsaan dari saya dan kawan-kawan.

Pada ketika itu kami semuanya seronok kerana tidak perlu belajar bahasa Inggeris yang kami anggap sangat membosankan. Mana kan tidak , otak kami selalu saja diganggu sama ada apa yang kami akan tuturkan itu betul dari segi nahu Inggerisnya. Kena atau tidak tenses nya. Sebab itulah yang diberi penekanan dan bukan idea yang hendak dikeluarkan.

Dari melakukan kesalahan yang memalukan, baik berdiam saja. Itulah sikap kami semua. Dibantu pula oleh Mr. Lingam yang tidak berminat mengajar bahasa Inggeris.

Hari ini saya jumpa kawan lama sekampong itu disebuah restoran di Kuala Lumpur. Dia sudah berubah. Sudah fasih berbahasa Melayu dan lebih suka berbicara dalam bahasa Melayu. Dan isterinya pun orang Melayu. Kata orang kampong saya 'dia dah masuk Melayu'. Ertinya dia telah memeluk agama Islam.

Hari ini saya juga tidak berpeluang untuk berbicara dalam bahasa Inggeris dengan kawan lama saya itu.      
 
 

 

 
 
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan