Theflowersellingboy

Khamis, 27 Disember 2012

Al- Fatihah Untuk Sahabat.

Menerima sms dari seorang kawan menyampaikan berita pemergian seorang kawan satu kelas, Ghazali Mohsen mantan Setiauasaha Kerajaan Negeri Johor, menemui Allah SWT. Sesungguhnya darinya kau datang , kepadanya kau dikembalikan. Semoga roh kawan ini dicucuri rahmat. Amin.
 
Teringat semula akan hal-hal semasa bersekolah dulu. Arwah adalah seorang yang tidak banyak cakap dan suka memilih untuk duduk dibangku hadapan. Biasanya dekat dengan dinding. Memakai cermin mata yang agak tebal. Beliau lebih suka menyendiri. Tapi tidak bermakna beliau tidak sudi untuk  diajak berbual.
 
Satu hari kami pernah berdebat tentang satu isu berkaitan dengan kes yang dibicarakan di mahkamah. Masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza tentang siapakah yang akan menang. Kes ini melibatkan orang politik dan kerajaan. 
 
Waktu itu saya menyatakan pendirian bahawa orang politik itu akan menang. Kawan saya mempunyai pendapat sebaliknya. Kami berdebat berjam-jam lamanya iaitu dari pukul 2 petang sehingga 4 petang iaitu dari mula masuk kelas petang sehingga waktu tamat kelas (waktu kelas persediaan sendiri tanpa guru).
 
Berbagai hujah saya kedepankan. Dia pun sama juga. Tapi kami tidak bertaruh apa-apa. Tidak juga bergaduh, atau masam-masam muka.
 
Akhirnya apa yang dijangkakan oleh kawan saya itu menjadi kenyataan. Saya senyap tidak berkata apa-apa walaupun dalam hati ada rasa tidak puas hati.
 
Mengenang kembali cerita itu, saya merasakan jika perbicaraan kes dulu dibicarakan pada masa ini juga, ianya akan memberi keputusan yang sama bahkan mungkin lebih teruk lagi. Tidak mudah bagi orang politik yang menjadi pesaing yang kuat kepada pimpinan yang berkuasa boleh menang dalam perbicaraan.  Contohnya ada dihadapan mata.
 
Rasanya baru sahaja kami meninggalkan bangku sekolah. Baru saja meninggalkan nasi kawah. Baru saja menanggalkan baju kemeja putih dan seluar panjang putih. Baru saja mengemas katil. Baru saja berebut-rebut bilik air semasa mandi. Baru saja balik dari Jalan Forch Avenue (Sekarang jalan ?) 'bershopping' (dekat dengan Petaling Street) menaikki bas Tong Fong, dan menapak dari simpang Jalan Cheras ke sekolah. Baru saja menyusup keluar makan mee goring di kedai Pak Ali diluar pagar sekolah. Baru saja di panggil ke bilik prefect kerana membantah mutu makanan yang disediakan. Dan......
 
Begitulah sedikit kisah-kisah semasa bersekolah dulu yang menjadi nostalgia termasuk kisah 'berdebat' menentukan siapa yang bersalah dalam perbicaraan di mahkamah. Menjadi pendakwa dan peguambela yang tidak bertauliah. Akhirnya pendakwa yang menang. Padan muka saya pada waktu itu. 
 
Berdebat inilah   saja kenangan yang saya boleh ingat diantara saya dan arwah Ghazali Mohsen.
 
Alfatihah untuk sahabat saya itu.  


 
       
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan