Theflowersellingboy

Ahad, 30 Disember 2012

Segerakanlah Pembahagian Harta Pesaka (Tanah)

1. Urusan harta pesaka khususnya yang berkaitan dengan tanah secara amnya tidak dianggap sebagai yang amat penting dikalangan masyarakat Melayu.  Misalnya harta seorang bapa yang telah meninggal dunia tidak dibahagi-bahagikan dikalangan anak-anak atau waris bapa yang berhak.

2.  Selagi urusan pembahagian harta pesaka itu tidak dibuat, pemilik berdaftar tanah itu masih lagi atas nama bapa itu.

3. Keadaan menjadi  rumit sekiranya ada dikalangan anak-anak atau waris itu  pula meninggal dunia sebelum sempat urusan pembahagian pesaka itu dibuat. Dan jika ianya berterusan sehingga beberapa lapisan generasi, semakin bertambah rumit urusan pembahagian itu nanti.

4. Biasanya diatas tanah pesaka itu terdapat sebuah atau beberapa buah rumah adik beradik atau saudara mara. Mereka ini seolah-olah mempercayai bahawa tapak tanah rumah itu adalah hak milik mereka sedangkan pemilik berdaftar masih lagi atas nama bapa yang telah meninggal dunia.

5. Namun begitu dari segi membayar cukai tanah, tidak ramai yang mahu mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membayar cukai tanah itu. Apatah lagi jika dia/mereka tinggal ditempat lain kerana dia/mereka merasakan tidak mendapat faedah dari tanah tersebut (tidak mendirikan rumah diatas tanah tersebut). 

6. Dalam keadaan seperti 5 diatas berlakulah tunggakan cukai bertahun-tahun yang menyebabkan pihak berkuasa boleh merampas tanah tersebut.

7. Ada juga dikalangan adik beradik itu yang mahu mengambil tanggungjawab untuk membayar cukai. Biasanya adik beradik yang menduduki tanah tersebut. Dan orang yang membayar cukai ini beranggapan bahawa tanah itu adalah hak miliknya sedangkan nama pemilik berdaftar masih lagi belum bertukar.

8. Selagi tidak berlaku keadaan yang mendesak, urusan untuk pembahagian tanah pesaka ini tidak menjadi suatu hal yang penting. Keadaan-keadaan yang mendesak adalah seperti berikut:

8.1 Apabila notis merampas tanah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerana kegagalan membayar cukai.  

8.1.1 Untuk mengelakkan tanah di rampas, waris-waris akan bersetuju berkongsi membuat bayaran. Dan seterusnya membuat urusan untuk mendapat bahagian-bahagian tertentu dari harta pesaka itu. 

8.1.2 Namun jika tidak ditangani dengan baik, jika tidak ada persemuafakatan dikalangan waris, tanah itu akan dirampas kerana gagal membuat bayaran seperti yang dituntut.

8.2 Ada dikalangan waris yang mahu memajukan tanah atau melakukan sesuatu keatas tanah tersebut. 

8.2.1 Keadaan seperti ini juga boleh mengundang pergaduahan antara waris.

8.3 Apabila tanah itu terlibat dalam pengambilanbalik tanah oleh pihak berkuasa.

8.3.1 Semua waris menunjukkan minat keatas tanah pesaka itu kerana ada pampasan yang akan diterima berbeza dengan tanggungjawab untuk membayar cukai tanah tahunan. Pampasan itu hanya boleh diterima sekiranya waris itu adalah pemilik yang berdaftar keatas bahagian tanah itu. Maka bersegeralah waris-waris membuat urusan di Pejabat Pesaka Kecil atau Jabatan Amanah Raya untuk mendapatkan bahagian masing-masing.
 
8.4 Apabila ada dikalangan waris yang menyedari bahawa tanah itu masih lagi belum dibahagi-bahagikan dikalangan waris yang layak, dan ini boleh menimbulkan berbagai kerumitan pada masa depan termasuk pergaduhan sesama waris.

9. Jadi urusan harta pesaka terutamanya tanah hendaklah segera dilakukan sebaik tuan yang punya meninggal dunia. Mungkin ada pihak menyatakan bahawa cara begini tidak sopan dan tidak menghormati simati. Sebenarnya cara mempercepatkan pembahagian pesaka boleh mengelakkan berbagai kerumitan termasuk perpecahan dan pergaduhan diantara waris sehingga 'berpatah arang berkerat rotan. Dan bunuh membunuh.

10. Yang terbaik sekali ialah supaya pemilik tanah itu sendiri membuat pembahagian sebelum dianya meninggal dunia. Pembahagian cara pesaka secara am nampaknya tidak mendapat perhatian dari waris-waris sehingga melibatkan beberapa generasi.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan