Theflowersellingboy

Ahad, 9 Disember 2012

Separuh Akhir Pertama Piala Suzuki

Sebaik sahaja tamat perlawanan diantara Filipina dan Singapura di Stadium Rizal di Manila, saya berjaya mengukir senyum. Saya senyum sebab apa yang saya ramalkan sudah mengena.

Dalam paparan saya pada 2 Disember 2012 saya meletakkan Filipina dan Singapura pada tahap yang sama mengikut ukuran Formula PSL (Physical, Skill, Luck) dengan wajaran markah 85% dengan Filipina mempunyai kelebihan dari segi 'physical' dan Singapura dari segi 'skill'. Dan nampaknya 'luck' atau nasib tidak menyebelahi  mana-mana pasukan. Masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol terutamanya pasukan Singapura.

Singapura mempunyai peluang menjaringkan gol yang lebih berbanding Filipina kerana pemain Singapura mempunyai kemahiran (skill) bermain bola mengatasi pemain Filipina. Misalnya penguasaan bola dalam bentuk kelecekan dan hantaran kepada kawan amat baik sekali. Tetapi barisan pertahanan Filipina yang dibarisi dengan pemain-pemain yang mempunyai ketinggian 6 kaki dan lebih serta binaan badan yang tegap dan mampat telah dapat mematahkan serangan penyerang pasukan Singapura.

Keputusan itu melegakan pasukan Singapura walaupun ada sedikit kekecewaan kerana jangkaan awal mereka ialah menang dalam perlawanan ini. Bagi Filipina pula sudah tentu agak kecewa kerana seri di gelanggang sendiri. Dan Filipina mempunyai tugasan yang berat di Singapura nanti pada pusingan kedua separuh akhir.

Bagi Singapura, bermain ditempat sendiri mempunyai banyak kelebihan. Dengan skill mengatasi Filipina dan bermain pula diatas padang yang serba moden, saya percaya Singapura lebih berpeluang untuk mengatasi Filipina. Pemain Filipina akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri bermain di atas padang yang serba moden itu misalnya rumputnya berbeza dengan rumput yang digunakan di Filipina.

Sama ada Singapura atau Filipina yang menang nanti, saya tidak merasa apa-apa. Tidak langsung ada kebimbangan kerana saya tidak menaruh harapan keatas mana-mana pasukan.

Tapi malam ini saya menaruh harapan. Malam ini Malaysia akan bertemu Thailand dalam pusingan pertama. Harapan saya sungguh tinggi setinggi langit yang biru kerana disini, di Kuala Lumpur, di Stadium Bukit Jalil, dihadapan penyokong sendiri Malaysia mesti menang. Harapan saya mengatakan Malaysia boleh menang.
     
Sesungguhnya di Kuala Lumpur saya menaruh harapan untuk menang.

Jika Malaysia menang di Kuala Lumpur pada malam ini maka bertunaslah harapan saya untuk menang di Bangkok.

Tapi harapan saya masih lagi dibayangi dengan jutaan kebimbangan. Formula PSL saya tidak memihak kepada Malaysia walaupun sekiranya faktor nasib yang berwajaran 5% itu memihak kepada Malaysia. Ianya tidak mencukupi untuk menewaskan Thailand. 

Jadi bagaimana saya masih menaruh harapan? 

Hanya sesuatu yang ajaib saja yang boleh membuatkan Malaysia menang. Ajaib itu tidak bermaksud kita atau permain kita hanya menunggu saja sesuatu yang luar biasa berlaku tanpa apa-apa ikhtiar dan usaha. Kalau begitu caranya, sahlah Malaysia akan kalah.

Pemain-pemain kita mesti bersemangat kental, bermati-matian memberikan sepenuh jiwa raga demi negara yang tercinta.  Saya mengharapkan pemain-pemain Malaysia melakukan seperti dalam seloka dibawah ini. Dan ianya juga merupakan doa saya untuk pasukan negara.

Kita bermula berdiri tegap
Menguasai padang tempat bermain
Pantang rebah bila diterjah
Segera bangun bila jatuh
 
Bila mengejar biar dapat
Bila menampan  biar kena
Bila menangkap lekat di dada 
Bila menyerang ke jaring masuknya

Hubaya-hubaya jangan marah menguasai diri
Itu bukan identiti kita

Kita menang kita suka
Kita menang lawan terima 
    
Marilah kita rakyat Malaysia semua mendoakan kejayaan pasukan kita pada malam ini dan pada perlawanan berikutnya nanti.

Penyerahan sepenuh jiwa raga pemain semasa bermain  dan doa kita semua boleh menghasilkan keajaiban mengatasi formula PSL saya itu. 

Malaysia boleh menang. Lupakan formula PSL saya itu.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan