Khutbah Jumaat hari ini bertajuk PINTU KETAATAN. Mengingat dan menasihatkan setiap para jemaah yang hadir agar sentiasa taat kepada perintah Allah SWT; taat kepada ajaran yang telah dibawa dan disampaikan oleh Pesuruh Allah , nabi besar kita Muhammad SAW; dan taat kepada kedua Ibu dan Bapa.
Taat kepada Allah bermakna menyerah diri hanya kepada Allah semata-mata , tidak lain selain Allah. Jika ada yang lain bermakna kita telah berlaku syirik, menyamakan kedudukan Allah dengan yang lain. Semoga perlakuan kita sama ada yang terzahir atau yang tersembunyi lepas bebas dari melakukan syirik dan sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT.
Kita juga wajib taat kepada ajaran yang dibawa dan disampaikan oleh Rasullullah SAW semoga kita sentiasa terpelihara dari melakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah dan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang disuruh. InsyaAllah kehidupan kita di dunia dan di akhirat akan mendapat keberkatan dan keredhaan.
Taat kepada kedua Ibu dan Bapa adalah wajib selagi ketaatan itu tidak menyalahi apa yang diperintah olwh Allah. Namun apa pun yang berlaku kita tidak boleh menunjukkan sikap dan perbuatan yang kasar kepada keduanya. Tidak boleh meninggikan suara walaupun terdapat perbezaan diantara anak dan kedua ibubapanya. Sentiasa memberikan perhatian utama dan mendahulukan ibubapa dari yang lain. Didunia ini ibubapa adalah segala-galanya. Kedua-duanya sanggup berkorban tanpa syarat demi kebahagiaan anak-anak . Maknanya betapa banyak sekali pun harta dan wang atau kekayaan yang mampu kita berikan kepada keduanya, ianya tidak mampu menyamai kasih sayang seorang Ibu dan Bapa. Mereka berikan segalanya dengan tulus dan ikhlas tanpa syarat misalnya tidak pernah mengharapkan balasan dari anak-anak.
Namun sebagai anak kita wajib menjaga hati mereka, menjaga mereka dengan baik sepanjang masa termasuklah dihari tua dimana mereka telah tidak lagi mempunyai tenaga sekuat semasa muda dulu. Berlembutlah semasa berbicara walaupun ilmu pengetahuan atau kepakaran kita melebihi dari mereka. Jangan bertegang urat dengan mereka walaupun kita dipihak yang benar kerana mereka adalah Ibu dan Bapa kita. Tanpa mereka adakah kita boleh melihat dunia. Tanpa mereka berkorban, berpenat lelah mencari rezeki untuk memberi pendidikan mampukah kita menjadi orang yang berilmu serta berkepakaran. Maknanya jangan bersikap sombong terhadap mereka.
Sentiasa mendoakan keampunan untuk mereka semasa mereka ada dan semasa mereka telah meninggalkan kita. Itupun belum cukup berbanding dengan pengorbanan mereka.
Itulah sedikit sebanyak intipati khutbah hari ini. Petikan dari Surah Lukman telah juga dibacakan berkaitan dengan ketaatan kepada kedua Ibu dabn Bapa ini.
Walaupun perkara-perkara yang diperkatakan itu telah selalu kita dengar namun khutbah pada hari ini bagi saya amat terkesan sekali dihati. Sudah hampir sebulan saya tidak menjenguk emak di kampong. Cuma dapat berita melalui panggilan talipon saja. Maka terasa juga bersalah dihati. Mungkin emak terasa anak-anaknya telah melupakannya terutama yang tidak tinggal dikampong dan telah berkeluarga dan menetap diluar kawasan kampong. Oleh itu saya mesti balik kampong untuk menjenguk dan bertanya khabar. Bulan lepas semasa menjenguk emak dan kami berpelukan, emak mengeluarkan air mata. Air mata gembira kerana anak sudi menjenguk sebentar. Dia tidak minta wang. Dia minta pelukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan