Theflowersellingboy

Ahad, 3 Jun 2012

Penyakit Tiga Serangkai

Tidak disangka pertemuan saya dengan kawan satu kelas yang telah lama berpisah. Waktu terakhir kami berjumpa ialah sewaktu majlis perpisahan setelah menghabiskan pengajian tingkatan enam atas pada tahun 1968. Selepas itu masing-masing hilang lesap tidak pernah mengadakan sebarang hubungan.

Semalam 2 Jun 2012 kami ditakdirkan berjumpa setelah sekian lama tidak bertemu muka. Kami berjumpa disatu majlis kahwin anak kawan kami yang satu kelas juga. Tuan rumah membawa kawan saya itu ke meja saya. Apabila melihat wajahnya, saya mohon maaf menyatakan tidak mengenali kawan itu. Kawan itu juga nampak gaya tidak dapat mengecam siapa saya. Maka tuan rumah memberitahu saya nama kawan itu. Mendengarkan nama itu saya memeluk kawan itu kerana terlalu gembira. Dia pun memberi respons yang sama.

Soalan pertama dari kawan tadi setelah duduk di meja yang sama : Sehat?

Alhamdulillah, sehat. Sehat orang tua. Dalam sehat ada yang sakit. Sakit dalam melangsungkan proses tua.

Ada penyakit tiga serangkai? Tanya kawan itu lagi.

Penyakit apa?

Takkan tak tau. Darah tinggi, jantung dan kencing manis. Penyakit-penyakit ini macam isi dengan kuku. Susah berpisah.

Dia ketawa dan saya ketawa sama.

Saya memaklumkan penyakit yang saya idapi adalah  gaut, lelah, darah tinggi, dan jantung. Lebih dari tiga penyakit. Tapi semuanya terkawal. 

Kencing manis belum lagi, tambah saya.

Kawan saya itu betulkan saya dalam cara memberi jawapan. Sepatutnya saya menyatakan sudah cukuplah dengan penyakit itu. Bukan 'kencing manis belum lagi', yang seolah-olah saya menunggu kedatangan penyakit itu. 

Betul juga kata kawan saya itu. 

Berbalik kepada penyakit tiga serangkai tadi nampaknya saya belum termasuk dalam kategori itu. Saya ada dua saja iaitu darah tinggi dan jantung. Cukuplah, saya tidak mahu kencing manis.

Darah tinggi terkawal melalui pengambilan ubat. Sakit jantung pun telah pulih setelah menjalani pembedahan terbuka.  Nampaknya sehingga ini, ok, tiada masalah. Boleh berjalan dan bergerak pantas tanpa merasakan kesakitan didada. Alhamdulillah.

Cuma sekarang ini bacaan gula telah meningkat menjadi 10.9. Tahap ini tidak sehat.
 
Saya tahu mengapa jadi begini. Sebab saya tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Makan, tidak berpantang. Paling teruk tidak melakukan senaman.

Sebab itu apabila diberitahu bacaan gula yang tinggi , saya mula menjaga makanan. Kurang mengambil makanan/minuman yang manis. Senaman pada setiap pagi. Saya percaya bacaan gula saya akan menurun.

Cukuplah, saya tak mahu kencing manis. Saya tidak mahu penyakit tiga serangkai. Terlalu bahaya kepada kesihatan dan nyawa. Benar ajal maut Allah yang tentukan. Tapi saya merasakan satu kewajipan untuk saya berusaha  mengelakkan dari kehadiran penyakit itu. Cukuplah dua rangkai yang telah sedia ada dan dalam keadaan terkawal. Kawalan melalui makan ubat, menjaga pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten.

Kepada yang masih sihat, yang belum mengidap sakit tiga searangkai yang amat berbahaya itu , jagalah pemakanan anda dan buatlah senaman setiap hari, paling minima 30 minit. Ini adalah berdasarkan pengalaman dan bukan satu nasihat pakar dari ahli perubatan yang bertauliah. 

Semoga penyakit tiga serangkai itu tidak berpeluang untuk mendekati anda semua. Anda jangan  cuba menjemput kehadirannya. Seksa sekali. Saya tahu, sebab saya dah kena dua darinya. Cukuplah dua saja. Amin.


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan