Bulan lepas saya menerima jemputan dari seorang kawan satu kelas bagi meraikan majlis perkahwinan anak lelakinya. Bagi saya jemputan itu telah menyambung semula jalinan persahabatan yang rasanya telah putus. Jemputan ini juga memang tidak dijangkakan atas dua sebab.
Pertama macam mana dia mendapat alamat saya setelah bertahun-tahun membawa diri masing-masing tanpa melakukan sebarang hubungan. Namun akhirnya saya mendapat tahu bahawa dia mendapat alamat dan number handphone saya dari seorang kawan sekelas dengan kami. Dia menunjukkan sikap kesungguhan untuk menjemput saya.
Kedua, dia adalah kawan satu kelas yang 'bermusuh' dengan saya dan beliau pernah mencabar untuk berlengan dengan saya. Cabaran itu dengan segera disahut tanpa rasa takut. Maklumlah darah muda, pantang dicabar, cabaran segera disambut tanpa memikirkan risiko mengalami kecederaan.
Asal mula kami bermusuh ialah di dewan makan. Kawan saya itu berasal dari sebuah negeri yang begitu teguh dari segi ikatan kenegeriannya. Mereka terlalu rapat dan tidak begitu merasa selesa untuk bergaul dengan pelajar-pelajar dari negeri lain. Semangat kenegerian begitu menebal sekali. Di mana saja sama ada di dewan makan atau di kelas mereka suka duduk berkelompok dan menganggap pelajar dari negeri lain adalah 'orang luar' walaupun tempat mereka belajar itu bukan dinegeri mereka. Maknanya jika sekolah itu berada di Selangor, pelajar negeri Selangor juga dianggap sebagai 'orang luar' bagi mereka. Itulah semangat mereka.
Didewan makan, waktu makan sebelum menghadiri kelas persediaan (prep class) sebelah malam, saya menuju ke sebuah meja makan yang kelihatan masih terdapat satu kerusi yang kosong. Ketika itu semua pelajar berdiri menunggu bacaan doa sebelum makan. Tiba-tiba kawan saya ini datang dan meminta saya meninggalkan tempat itu kerana tempat itu dia yang punya. Saya tidak mahu meninggalkan tempat itu kerana tidak ada peraturan sekolah mengatakan kerusi atau meja di dewan makan telah ditentukan bagi setiap pelajar . Maka dia naik berang sampai mengatakan 'orang luar' ini terlalu degil dan beberapa perkataan lain yang saya tidak ingat. Tapi maksudnya akan 'mengajar' saya satu hari nanti. Maka dia beredar ke tempat lain.
Bermula dari hari itu sehinggalah empat tahun lamanya kami 'bermusuh'. Asalnya kami berlainan kelas. Tapi kemudiannya kami ditakdirkan berada dalam satu kelas. Maka waktu ini adalah kemuncak permusuhan.
Pada suatu hari , waktu kelas persediaan petang (maksudnya tiada guru dalam kelas), suasana kelas adalah bising yang boleh mengganggu pelajar lain. Saya mungkin disyakki oleh kawan saya itu diantara yang menyebabkan suasana bising yang mengganggu itu. Saya tidak berani menafi dan mengiyakan kerana ramai lagi pelajar yang mungkin menyebabkan suasana bising itu termasuklah kawan saya itu. Maklumlah 'kucing' (cikgu) tak ada 'tikus' (pelajar) jadi macam raja.
Tiba-tiba saya dimarahi oleh kawan saya itu lalu dengan pantas melepaskan tumbukan. Nasib baik saya dapat mengelak, membuatkan beliau naik berang kerana tumbukan tidak berjaya kena sasaran. Lalu dengan segera mencabar saya untuk bertumbuk selepas habis kelas iaitu sebaik saja selepas minum petang. Tempatnya ialah di tingkat sebelah bawah dari kelas kami. Saya bersetuju.
Tepat waktunya saya tiba di tempat yang telah ditentukan. Saya dapati kawan saya itu telah sedia ada dengan ditemani seorang lagi kawannya. Nampaknya mereka sudah bersedia. Kali ini saya merasakan saya dalam keadaan bahaya kerana satu lawan dua. Sudah tentu saya akan cedera teruk. Tambah-tambah lagi saya melihat tangan kawannya itu berada dalam poket semacam memegang sesuatu. Saya memikirkan dia memegang kapak kecil seperti yang selalu diwar-warkan oleh pihak mereka. 'Matilah saya', antara bisikan dalam hati. Saya mesti cari helah untuk tidak meneruskan pergaduhan ini.
Kawan saya itu dengan segera menerkam dan menghayunkan penumbuk. Saya mengelak tapi tidak melepaskan tumbukan. Saya tidak mahu meneruskan pergaduhan kerana ianya amat bahaya. Sambil mengelak saya menyatakan saya tidak mahu bergaduh. Ini membuatkan kawan saya itu bertambah marah dan terus menerkam dan melepaskan tumbukan. Saya hanya mengelak saja, tidak membalas. Entah macam mana, tiba-tiba datang seorang kawan baik saya (mungkin beliau terdengar cabaran semasa di kelas tadi dan tidak mahu saya tercedera, lantas datang ketempat pergaduhan) , dan kawan baik dia juga, meminta pergaduhan di berhentikan. Tapi dia terus menumbuk, dan saya mengelak. Dan kawannya yang menyelok poket tadi bersetuju supaya pergaduhan diberhentikan. Maka dia pun akur. Saya dan kawan baik saya itu beredar balik ke asrama. Mereka pun beredar sama. Kami tidak bersalaman untuk bermaaf-maafan. Maknanya kami masih bermusuh.
Setelah tamat persekolahan kami berpisah dengan membawa kenangan sebagai 'musuh' bukan sebagai kawan. Di universiti juga kami masih berseteruan. Maksud saya kalau ditakdirkan bersua muka kami tidak bertegur sapa. Dahsyatnya 'permusuhan' kami itu. Dan setelah tamat pengajian universiti, masing-masing mempunyai kerjaya yang berbeza. Saya memasuki perkhidmatan awam dan kawan itu memasuki sektor swasta bekerja sebagai pegawai bank.
Maknanya kami tidak ambil kisah diantara satu sama lain. Namun sedikit sebanyak perkembangan kawan itu ada juga di maklumkan kepada saya oleh kawan yang lain.
Saya terkejut sekali menerima jemputan majlis kahwin anaknya itu. Satu perkara yang saya tidak sangka boleh berlaku. Namanya bukanlah menjadi sebutan lagi.
Jemputan ini adalah satu penghormatan dari seorang kawan yang pernah bermusuh yang belum lagi bermaaf-maafan. Saya menyanjung tinggi sifat dan budi pekerti kawan saya itu. Kisah lama yang hitam dulu, semasa menjadi seorang pelajar tidak membawa kesan permusuhan yang kekal. Silaturrahim masih mahu disambung dan dikekalkan. Dan saya wajib hadir. Itulah janji dihati.
Begitu lah perubahan rasa dan hati apabila kita bertambah dewasa dan tua. Kita menjadi matang dan lebih insaf bahawa perkara yang kurang elok dulu berlaku hanya kerana kita masih muda, darah muda, panas baran dan pantang dicabar. Mengapa pula kesah buruk yang lama mesti kita teruskan. 'Bertumbuk dan bergaduh semasa menjadi pelajar' adalah perkara biasa. Lupakan saja.
Waktu menyambut kehadiran saya, kawan saya itu memeluk saya penuh mesra sebagai seorang sahabat seolah-olah kami tidak pernah bergaduh. Saya pun melakukan perkara yang sama. Kata-kata yang keluar dari mulut kawan saya itu adalah kata-kata yang membawa kepada kerinduan kerana telah lama tidak berjumpa. Sesunggunhnya saya amat bersyukur sekali dengan pertemuan ini.
Tiada kata yang dapat saya tulis disini yang dapat menggambarkan betapa gembira dan besar hatinya saya dijemput hadir dalam majlis perkahwinan anaknya itu.
Hati saya sempat juga berbisik bahawa, 'Sesungguhnya kawan saya ini adalah orang yang baik hati tanpa menyimpan perasaan dendam. Seorang yang ikhlas dalam memanjangkan persahabatan. Yang sudah , sudahlah. Itu mainan budak-budak kecil yang pendek akal'.
Saya juga mengharapkan rasa saling hormat menghormati perlu ada diantara kita yang datang dan berasal dari lain tempat/negeri. Apalah perlu kita hanya selesa untuk berkawan dan bergaul dalam kelompok orang yang datang dan berasal dari satu tempat/negeri yang sama saja. Sebenarnya cara kita itu boleh mengecilkan peluang untuk membuat jaringan persahabatan. Bukankah networking yang meluas itu terlalu penting dan mendatang menfaat ditinjau dari sudut apa sekali pun? Mengapa disia-siakan.
Kawan saya itu nampaknya tidak mensia-siakan keperluan untuk mengadakan networking itu. Saya menyambutnya dengan sepenuh hati.
Cuma saya merasa sedih juga mengapa dikalangan pimpinan negara kita, permusuhan masih lagi berterusan dan nampaknya berkekalan sedangkan mereka telah lanjut usia, lebih tua dari kami berdua yang dulunya pernah bergaduh . Maknanya mereka lebih matang dan banyak pengalaman dari kami. Masih lagi kata mengata dan saman menyaman.
Kami sudah jadi kawan semula. Tiada permusuhan. Contohilah sikap, sifat dan budi pekerti kawan saya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan