Saya pernah menyatakan dalam satu dari paparan yang lepas bahawa tidak perlu difikirkan sangat tentang bila tarikh pilihanraya negara yang ke 13 kerana ianya menjadi sebagai satu teka teki saja. Apabila ianya menjadi teka teki ia membawa sama unsur yang bersifat tidak ada satu ketentuan jawapan . Jawapannya hanya menjurus kearah 'boleh jadi' atau 'mungkin' . Jawapannya adalah berbagai-bagai bergantung kepada kepercayaan seseorang peneka akan faktor atau faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pilihanraya itu diadakan.
Maka ada yang meneka pada bulan Disember tahun lepas, kemudian beralih kepada Januari, Mac, April , Jun, September dan penghujung tahun ini. Dan akhirnya mereka merujuk kepada peruntukan undang-undang tentang bila sepatutnya pilihanraya diadakan.
Semua orang sedar bahawa penentuan tarikh pilihanraya negara adalah prerogatif PM, dan ketika ini ialah DS Najib. Selain dari yang ditentukan oleh undang-undang, PM boleh saja pada bila-bila masa mengikut kehendaknya membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihanraya diadakan. Ertinya tarikh pilihanraya adalah rahsia dalam hati sanubari PM yang tidak ada siapa yang boleh mengetahuinya melainkan rahsia itu dirahsiakan pula kepada orang lain, misalnya dengan pesanan bahawa ' hanya kau seorang saja yang aku beritahu, pegang rahsia ini. Jangan beritahu orang lain'.
Kalau begitu tidaklah perlu kita ambil pusing sangat untuk mencari jawapan tentang bila tarikh pilihanraya ini. Yang perlu kita beratkan dan ambil peduli ialah menentukan kita yang telah layak jadi pengundi/pemilih ini sudah mendaftar jadi pemilih . Minta juga kawan-kawan kita yang telah layak itu tapi masih belum menjadi pemilih yang berdaftar supaya berbuat demikian. Kita yang dulunya telah berdaftar juga perlu membuat semakan sama ada nama kita masih ada, kawasan pengundian dan butir-butir lain yang penting supaya dihari mengundi nanti kita dapat menjalankan tanggungjawab membuat pilihan calun yang kita yakin boleh diserahkan amanah untuk mengurustadbir negara.
Selain dari itu jika kita ada maklumat yang sahih bahawa ada pihak yang tidak layak menjadi pemilih misalnya warga asing telah berjaya mendaftar sebagai pemilih dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu sebagai menyokong pendaftarannya. Atau jika kita ada maklumat tentang seseorang yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih ada dalam daftar pemilih maklumkanlah kepada pihak yang berkuasa untuk tindakan mengeluarkan nama orang itu.
Apa yang kita hendak? Yang kita hendak ialah semua warga negara yang telah layak mengundi supaya mendaftar diri sebagai pemilih untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihanraya nanti. Yang kita hendak ialah hanya warga negara saja yang terlibat dalam menentukan nasib masa depan negara, bukan warga asing yang melakukan secara penipuan. Yang kita hendak ialah pilihanraya yang adil dan bersih. Jadi berikan tumpuan kearah matlamat itu. Jangan buang masa memikirkan bilakah tarikh pilihanraya kerana ianya bersifat teka teki yang jawapannya hanya boleh berubah-ubah mengikut kehendak PM.
Baru-baru ini menurut berita yang dilaporkan bahawa PM menyatakan tidak ada salah pilihanraya diadakan pada musim haji kerana telah ada contoh (precedent) yang lepas iaitu pada tahun 1986. Katanya lagi 'tidak silap semasa Tun Hussien Onn sebagai PM'.
Mendengarkan kata-kata PM itu ada pihak yang menyatakan tidak bersetuju jika pilihanraya diadakan pada musim haji kerana ianya akan menafikan hak mereka yang menunaikan fardhu haji itu (kira-kira 30,000 orang ) untuk mengundi.
Pandangan dan keperhatinan serta ambil peduli pihak diatas itu ada asas yang kukuh, dan tidak wajar diambil sikap sambil lewa saja oleh PM. Asasnya ialah tarikh pilihanraya adalah prerogatif PM. Dan seorang PM sudah sewajarnya mahukan semua pengundi turun mengundi. Maka jika PM dengan secara sahih dan jelas mengetahui bahawa bilangan pengundi akan berkurangan pada musim haji, tarikh pilihanraya tidak wajar diadakan pada musim haji.
Gunakan prerogatif yang ada pada beliau untuk tidak memilih tarikh berkenaan. Kita percaya, PM sudah tentu mahukan semua yang layak mengundi memberikan undi mereka. Itulah maknanya pilihanraya yang adil dan bersih. Tidak mungkin PM sukakan yang sebaliknya kerana jika menang, kemenagan itu sebenarnya kemenangan yang tempang . Tempang dek kegagalan beliau memberi peluang kepada sebahagian rakyat untuk terlibat sama dalam proses menentukan pembentukan sebuah kerajaan, sedangkan beliau boleh mengelakkan ketempangan itu. Prerogatif ada pada beliau.
Terlanjur berbicara tentang pilihanraya dalam musim haji ini, suka juga saya menyentuh kata-kata PM 'kalau tidak silap semasa Tun Husien Onn jadi PM' pada 1986. Ramai pihak mengatakan PM Najib tidak tahu sejarah atau terlupa siapa sebenarnya PM ketika itu.
Saya mempunyai tafsiran yang berbeza. Tidak mungkin PM kita terlupa. Tidak mungkin PM lupa sejarah.
Bagi saya belum sampai masanya PM masuk zon orang yang mudah lupa atau pelupa atau lemah ingatan. Beliau masih muda lagi. Dan beliau orang yang bijak dan boleh berfikir. Beliau masih lagi ingat tahun pilihanraya diadakan yang jatuh pada musim haji iaitu pada tahun 1986. Maka mana mungkin beliau lupa siapa PM ketika itu. Cuma saya meneka saja bahawa PM kita ni 'buat-buat lupa' atas sesuatu sebab yang saya cuba juga teka. Harap-harap jawapan yang saya cuba teka ini menepati apa yang ada dalam hati sanubari PM.
PM menggunakan perkataan 'kalau tidak silap'. Alasan yang berlapik. Beliau pula ingat peristiwa itu berlaku pada tahun 1986. Baik.
Sememangnya sengaja beliau silapkan untuk sesuatu kepentingan/tujuan. Beliau tidak mahu mengusik hati seseorang. Seseorang yang terlalu berpengaruh dalam banyak hal sehingga dalam banyak keadaan menimbulkan rasa serba salah. Kata orang 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Beliau lebih memilih untuk tidak banyak berbeza dengan seseorang itu. Tetapi dalam hal ini, beliau sendiri yakin bahawa adalah tidak wajar menafikan hak bilangan pengundi yang ramai . Maknanya PM yang terdahulu yang telah menafikan hak pengundi itu telah melakukan sesuatu yang tidak wajar. Tapi PM ketika ini tidak sampai hati untuk mengusik hati PM yang terdahulu itu.
Dalam masa yang sama PM Najib nampak bahawa peluang untuk menang ada lah lebih jika pilihanraya diadakan dalam musim haji atas keyakinan bahawa mereka yang menunaikan haji itu sebahagian besarnya adalah mereka yang menyokong parti lawan.
Jadi sikap PM adalah berhati-hati agar tidak mengusik hati PM yang berpengaruh itu dan dalam masa yang sama percaya bahawa musim haji adalah masa yang sesuai untuk meraih kemenangan jika pilihanraya diadakan, walaupun hati kecilnya berbisik mengatakan ianya tidak wajar.
Itu hanya tekaan saya saja. Teka teki memang tidak memberi jawapan yang betul kerana mungkin betul , mungkin salah, dan boleh jadi betul , boleh jadi salah.
Harap-harap teka teki tarikh pilihanraya ini tidak berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan