Hampir 7 minit lagi pukul lapan setengah pagi. Hari ini dapat kerehatan sedikit dari menjaga cucu kerana hari ini hari cuti mingguan. Cucu dijaga oleh mamanya.
Maka selepas selesai menjalani senaman pagi dengan melakukan langkahan cepat sebanyak 4893 mengelilingi kolam renang sebanyak 21 pusingan yang mengambil masa kira-kira 40 minit, dan selepas anggota badan menjadi kering dari basahan peluh, saya mengambil sarapan pagi dengan menyantap dua keping roti yang disapu dengan marjerin. Secawan milo kosong menemani roti-roti itu untuk sama-sama masuk ke usus melalui mulut dan tekak. Alhamdulillah , saya masih lagi diberi selera oleh Allah SWT untuk menikmati kurniaannya.
Itulah harga kesihatan yang tidak ada nilai bandingannya. Apakah maknanya kekayaan harta benda dan wang ringgit yang timbun menimbun jika sekiranya saya tidak mampu untuk mengunyah keping-keping roti dan menghirup secawan milo kosong yang telah tersedia dihadapan mata semata-mata kerana tidak punya selera untuk melakukannya. Tidak ada selera ertinya ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang telah mengganggu sistem ransangan yang boleh mengeliurkan rasa. Ertinya waktu itu kita sudah tidak jadi normal seperti biasa yang mana pantang mata melihat makanan, selera rasa telah menguja untuk kita menyantap makanan itu. Erti yang paling mudah ialah selera kita tidak sihat. Ertinya juga, bahawa kita tidak sihat.
Bersyukur kepada Allah. saya masih sihat. Hari Rabu lepas, dalam pertemuan dengan doktor di IJN, doktor memberi tahu bahawa keputusan makmal keatas darah saya, adalah baik sekali. Bacaan gula dan kolesterol masing-masingnya pada 5.6 dan 4. Kata doktor tahap yang ditunjukkan itu adalah baik, tidak ada masalah.
Doktor sempat bertanya: Jaga pemakanan ke? Saya cuma mengangguk saja, tanda bersetuju. Tapi saya tidak pula menyatakan saya melakukan senaman pagi secara konsisten.
Saya percaya menjaga makanan dan melakukan senaman selain dari makan ubat seperti yang dinasihatkan doktor adalah faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesihatan saya itu seperti yang ditunjukkan oleh bacaan gula dan kolesterol.
Menjaga makanan bukanlah bermakna tidak mengambil langsung makanan yang berminyak dan berlemak. Ianya tidak mungkin mampu dilakukan kerana bahan-bahan masakan orang Melayu amat susah sekali untuk mengecualikan bahan-bahan itu. Jika dilakukan juga, makanan itu tidak akan menyelerakan. Kalau tidak merangsangkan selera sudah tentu kita tidak mahu memakannya. Ertinya sama seperti orang yang tidak sihat.
Jadi menjaga makanan itu bermaksud menjaga selera yang teransang itu. Kita tetap makan tetapi dengan secara yang terkawal. Maknanya kita masih lagi dapat menikmati makanan itu tetapi sekadar tidak melebihi dari tahap kenyang yang melampau. Ertinya makan secara sederhana, kata orang bijak pandai 'berhenti makan sebelum kenyang', . Biar banyak kali makan tetapi sederhana saja. Jangan sekali makan dalam kauntiti yang banyak sehingga termengah-mengah dek kekenyangan.
Ingat, tidak berapa lama lagi kita akan berpuasa. Amalkan makan secara sederhana. InshaAllah kita akan sihat dan tidak akan melakukan pembaziran.
Adakah makan banyak itu satu pembaziran? Ya, ianya satu pembaziran kerana melebihi dari kadar yang diperlukan oleh sistem pemerosesan dalam anggota badan kita. Maka makanan yang berlebihan itu tidak menjadi menfaat sebaliknya menjadi bahan lebihan yang boleh mengganggu kelancaran perjalanan sistem itu. Maka ada yang tidak mampu diproses dan berkumpul menjadi bahan lebihan seperti gula dan kolesterol. Itulah yang dikatakan membazir kerana dia tidak memberi menfaat. Sesuatu yang membazir adalah hasil dari perlakuan atau tabiat yang disukai oleh syaitan. Syaitan bersama dengan orang yang suka membazir.
Maka makanlah secara sederhana.
Dalam bulan puasa nanti, selera kita akan menghadapi ujian yang amat hebat. Ada banyak pasar Ramadhan. Ada berbagai makanan yang disediakan di pasar itu. Semua makanan pada pandangan mata dan nafsu tekak amat menyelerakan. Pandang saja, selera menjadi teransang.Tambah-tambah lagi berbagai jenis makanan boleh membeliakkan mata kita, terbuka besar, sambil mempengaruhi selera untuk segera jadi teransang untuk dijadikan makanan semasa berbuka.
Masa berbuka apa yang telah terjadi pada puasa yang lepas? Makan sebutir kuih saja, yang lain bergelempangan tidak diusik. Yang banyak masuk dalam perut ialah air dari berbagai jenis kerana kehausan. Tahun-tahun yang sebelumnya sama juga. Setiap tahun kita ulangi tabiat yang sama. Membazir saja.
Tahun ini sama saja? Kita mahu ulangi cara yang sama? Jangan lakukan lagi. Ianya tidak baik dari segi kesihatan. Tidak juga menguntungkan dari segi amalan kerana ia menambahkan dosa. Sebab kita melakukan pembaziran.
Lagipun berpuasa bukanlah bertujuan untuk menjamu dan memuaskan selera waktu kita berbuka dek sebabkan kelaparan. Kita berlapar itu ialah untuk mendidik akal dan budi supaya mengasihi orang yang tidak berkecukupan, orang susah dan miskin. Bagaimana kita merasa lapar dalam waktu berpuasa samalah dengan mereka yang tidak berkecukupan yang miskin itu dalam menghadapi kehidupan harian yang tidak mampu menyediakan makanan seperti kita. Mereka, tiap-tiap hari menghadapi kelaparan. Kita hanya dalam beberapa jam saja sehari. Jadi malulah kita sekiranya tidak dapat mengawal nafsu selera kita dalam waktu berpuasa ini.
Jadi bena dan suburkanlah perasaan belas dan kasihan kepada mereka. Banyakkan bersedekah dan menderma. Zakat jangan lupa. Semoga apa yang kita rasa mereka juga akan dapat rasa. Sama-sama berkongsi. Bukankah hidup ini satu perkongsian? Mana kita boleh hidup bersendirian? Boleh? Jangan angkuh kita kata boleh.
Apa yang saya bicarakan diatas adalah tentang kesihatan. Kesihatan tiada nilai bandingan. Kita sihat dengan melakukan amalan kesederhanaan . Kalau melakukan senaman, lakukan setakat kemampuan kita sesuai misalnya dengan usia kita. Selera makan perlu dikawal. Bersederhana dalam menikmati makanan. Jangan layan sangat nafsu nanti kita akan binasa, Binasa dari segi mudah mendapat penyakit dan binasa dari segi menyuburkan perasaan tamak haloba dan mementingkan diri saja. Tidak pandai berkongsi kesenangan dan kemewahan. Bersifat angkuh. Dan akhirnya tidak ada perasaan belas dan kasihan terhadap orang miskin yang sentiasa tidak berkecukupan. Maka derma, sedekah dan membayar zakat dianggap sesuatu yang membebankan.
Derma, sedekah dan zakat sesuatu yang membebankan? Bagaimana untuk menyahjauhkan perasaan dan tabiat ini?
Kita cuba lakukan dalam bulan puasa ini. Kawal nafsu selera kita dan nikmati makanan secara sederhana. Jangan membazir. Bayakkan amalan baik yang diperintah Allah dan banyakkan doa agar amalan-amalan yang baik itu berterusan sehingga ke akhir hayat.
Laluilah bulan Syaaban dengan amalan-amalan yang diperintah Allah sebaik mungkin dan bersedia untuk menghadapi Ramadhan tidak berapa lama lagi. Ingat, jika kita sihat, maksud saya sihat tubuh badan iaitu jasmani dan akal fikiran dan perasaan iaitu rohani maka ianya memudahkan kita menjalani ibadah berpuasa. Puasa kita penuh dengan barakah. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan