'Sudah lah. Cakap memang senang' atau 'Cakap tak serupa bikin'.
Saya percaya kita semua telah pernah dengar kata-kata seperti diatas. Saya juga percaya kita telah pernah atau biasa menuturkannya.
Saya panggil kata-kata atau ayat-ayat itu sebagai kata-kata atau ayat tempelak. Kita memberi respons yang bersifat negatif kepada nasihat, bicara, cadangan atau apa sahaja bentuk seruan dari seseorang yang kita percaya atau kita tahu tidak mampu melakukan atau tidak pernah melakukan atau yang melakukan sebalik dari apa yang diperkatakan. Maka apabila saja kita mendengar kata-kata dari orang tesebut dengan pantas kita menolaknya walaupun apa yang diperkatakan itu, apa yang diseru itu adalah sesuatu yang baik yang bersifat positif yang boleh memberi menfaat.
Kita menolaknya bukan kerana hal yang diserunya tetapi kita menolak kerana penuturnya itu tidak menunjukkan contoh atau teladan.
Soalnya mengapa kita bersikap seperti itu? Mengapa semudah itu kita menempelak seseorang yang mengajak kita kearah melakukan yang baik? Bukankah orang itu telah menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki iaitu menyeru kepada kebaikan dan menjauhkan yang mungkar?
Kita wajar menolak untuk mencontohi perangai orang itu jika sebenarnya kita tahu dengan sahih ianya seorang yang tidak melakukan kebaikan seperti yang diserukan kepada orang lain. Namun wajarkah kita menolak seruan-seruan kebaikan yang dibuat. Contoh, seorang pemimpin yang berkuasa dan kaya yang suka melakukan pembaziran menasihatkan kita supaya tidak melakukan pembaziran dalam mengadakan majlis kenduri kahwin sedangkan kita tahu pemimpin itu mengadakan majlis yang sama secara yang membazir. Reaksi spontan kita sudah tentu 'sudahlah, cakap tak serupa bikin', kerana kita tahu dia sendiri kaki membazir.
Saya berpendapat bahawa sikap yang sepatutnya yang lebih memberi menfaat kepada kita ialah menerima nasihatnya. Tapi jangan ikut perangainya yang suka membazir. Sebab jika kita menempelaknya atas alasan 'cakap tak serupa bikin', maka besar kemungkinan kita juga benci dengan perkara baik yang diseru itu. Sepatutnya kita boleh mengasingkan diantara sifat peribadi orang itu dengan nasihat yang baik yang telah diserukan kepada kita.
Saya pergi sedikit lebih jauh. Contoh diatas ialah dalam hubungan kita sesama kita atau diantara sesama Islam/Melayu. Bagaimana nasihat atau seruan dari yang bukan Islam.
Secara amnya orang-orang bukan Islam lebih banyak terlibat dalam minuman arak. Dan kita pun tahu akan kedudukan seperti itu. Orang bukan Islam itu pun tahu bahawa minuman arak itu adalah tidak baik dari segi kesihatan. Namun mereka juga mengeluarkan nasihat supaya arak dijauhi. Apa respons kita?
Saya percaya kita akan bersetuju dengan nasihatnya itu walaupun kita tahu mereka sendiri kaki botol. Jadi mengapa kita bersikap begitu? Mengapa kita tidak mengatakan 'sudahlah, cakap tak serupa bikin'? Adakah kerana yang beri nasihat itu bukan orang Islam atau orang Melayu?
Begitu juga dengan ceramah agama. Semua ceramah agama bertujuan untuk menyeru kepada kebaikan. Tapi disebabkan kita tahu bahawa yang menyampaikan ceramah itu pernah terlibat misalnya dalam perbuatan pecah amanah maka apabila penceramah itu menyeru supaya kita menjadi seorang yang amanah , dengan segera kita menempelak penceramah itu. Setakat itu rasanya tidak mengapa. Cuma oleh kerana perasaan benci kepada penceramah itu semakin meningkat lalu kita meninggalkan majlis ceramah itu.
Adakah cara begitu menguntungkan kepada kita? Rasanya ianya merugikan.
Dengan demikian apabila ada sesuatu yang baik yang diserukan kepada kita walaupun dari orang yang kita tahu tidak mempunyai sifat yang sepatutnya , kita janganlah dengan segera menempelak seruan orang itu. Apa yang baik yang diserukan itu kita terima. Dan kita perlu bersyukur kerana telah diperingatkan melakukan yang baik. Disamping itu wajar juga kita mendoakan supaya Allah SWT memperbaikki sifat dan perangai orang itu supaya tidak meneruskan kelakuan 'cakap tidak serupa bikin' itu.
Allah saja yang maha mengetahui. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan