Theflowersellingboy

Jumaat, 8 Jun 2012

PTPTN dan Institusi Pendidikan Kerajaan Negeri

1. Isu PTPTN dan PENDIDIKAN PERCUMA masih bersambung. PTPTN adalah Barisan Nasional (BN). Pendidikan PERCUMA adalah Pakataan Rakyat (PR). 

2. Dua entiti ini mempunyai falsafah pembiayaan pendidikan yang berbeza. BN disamping menyediakan berbagai kemudahan dalam bentuk infrastruktur, pengurusan dan membantu dalam pembiayaan pendidikan, juga mengadakan sebuah  Dana pembiayaan dalam bentuk pinjaman kepada pelajar-pelajar . Manakala PR  pula memperjuangkan pendidikan percuma sehingga ketahap pengajian tinggi.

3. BN mempertahankan dana pinjaman pendidikan itu kerana percaya dana itu memberi peluang yang lebih banyak kepada pelajar untuk mendapat pendidikan tinggi. BN juga berpendapat bahawa pendidikan percuma boleh membawa negara menjadi bengkrap. Sebaliknya PR percaya bahawa negara mampu memberi pendidikan percuma jika sumber negara dapat diurus tadbir dengan baik.

4. Maka berbagai pihak memberikan pandangan. Ada yang menyokong BN dan ada yang menyokong PR. Perdebatan juga telah diadakan diantara Ketua Pemuda UMNO yang memertahankan perlunya dana pinjaman itu dan Pengarah Strategi PKR yang percaya negara mampu memberi pendidikan percuma.

5. Yang terbaru adalah tindakan PTPTN tidak memberikan pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel (milik kerajaan negeri Selangor dibawah pentadbiran PR). TPM dan PTPTN mengatakan tindakan ini adalah adil bagi memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Selangor dibawah PR melaksanakan Dasar Pendidikan Percuma. Sebaliknya tindakan ini mendapat bantahan dari PR termasuk Menteri Besar Selangor. Ada juga pimpinan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC tidak bersetuju dengan tindakan PTPTN ini kerana pelajar tidak wajar menjadi mangsa kepada perbezaan kepercayaan politik.

6. BN dan PR boleh berhujah mempertahankan pendirian masing-masing, sampai kiamatpun tidak akan habis, tidak akan selesai  dan tidak akan bertemu jalan persetujuan. Sebabnya ego politik, demi politik berdendam. Yang menjadi mangsa adalah pelajar-pelajar, aset negara yang terlalu berharga. Dimana kah dasar yang mengutamakan modal insan yang sentiasa diwarwarkan? 

7. Saya percaya majoriti rakyat bersetuju agar pelajar tidak menjadi mangsa kepada perbalahan politik BN dan PR dari segi falsafah pembiayaan pendidikan. Saya tidak terkecuali dengan pendirian majoriti itu seperti yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, dan beberapa pimpinan dari komponen BN diatas.

8. Tanpa ego dan kedegilan serta kesombongan politik, BN dan PR mesti mengambil perhatian kepada dua perkara yang penting. Pertama, pihak manakah yang bertanggungjawab terhadap pendidikan seperti yang diperuntukkan dibawah undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan. Kedua, apakah kesan kepada pelajar jika PTPTN diteruskan atau dihapuskan.

9. Perlembagaan dengan jelas meletakkan tanggungjawab pendidikan di bawah Senarai 1. Bermaksud pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Tanggungjawab itu diiring sama dengan hak menguruskan aset/sumber  negara bagi bidang-bidang yang jatuh dibawah Senarai 1 tadi. Maka pihak yang menguasai kerajaan Persekutuan mempunyai hak mengurus sumber negara yang terlalu luas dan banyak. Jadi parti yang membentuk kerajaan Persekutuan bertanggungjawab antaranya bidang  pendidikan. Dan Parti itu ketika ini ialah BN. Cuma kaedah BN tidak bersetuju dasar pendidikan percuma kerana sumber yang ada mengikut perkiraan BN tidak mampu. Jika dilaksanakan negara akan menjadi bengkerap.

10. Walaupun pendidikan adalah hal persekutuan, semua negeri mempunyai institusi pendidikan sendiri seperti sekolah-sekolah agama rakyat dan kolej serta universiti. sebahagian besar perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan negeri. Ada juga pembiayaan yang disumbangkan dari kerajaan persekutuan. Kerjasama seperti ini adalah baik demi pelajaran anak-anak. 

11. Tapi mengapa pula PTPTN sekarang ini mengambil tindakan tidak membiayai pelajar-pelajar yang belajar di institusi pendidikan kerajaan negeri? Belajar di institusi  pendidikan yang disediakan kerajaan negeri  tidak melepaskan PTPTN atau kerajaan persekutuan dari tanggungjawab membiayai pelajar tersebut melalui pemberian pinjaman dari dana PTPTN. Sebab, pertama, tanggungjawab pendidikan  telah dinyatakan dengan jelas dan terang dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan (BN, ketika ini). Dan kedua, oleh kerana BN mengambil kaedah pembiayaan secara pinjaman melalui PTPTN adalah merupakan satu cara bagi membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi maka ianya tidak wajar menyekat pinjaman itu kepada pelajar-pelajar yang memasuki institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri dibawah pentadbiran PR. 

Soalan saya:

Adakah konsep negara persekutuan terhenti apabila terdapat perbezaan parti politik di peringkat persekutuan dan negeri? Kalau begitu terbatallah apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Baik dibuangkan saja Perlembagaan itu.

Adakah pelajar-pelajar di institusi negeri itu bukan warga negara?

Adakah pelajar dan ibubapa mereka tidak perlu membayar cukai pendapatan, cukai yang lain dan kenaan-kenaan wajib yang lain ?

Adakah pelajar yang belajar di institusi swasta yang diluluskan kerajaan persekutuan mempunyai merit yang lebih untuk menerima pembiayaan PTPTN berbanding dengan pelajar di institusi negeri PR?

Katakan Perak masih dibawah PR. Adakah pelajar yang memasuki UTP diTronoh , Perak akan dinafikan pembiayaan PTPTN? 

12. Sebenarnya kerajaan-kerajaan negeri sama ada BN atau PR telah menyumbang kearah pembangunan dan kemajuan pendidikan negara dengan membina institusi-institusi pendidikan sendiri. Ianya telah merengankan beban kewangan persekutuan. Ini adalah satu fenomina yang terbaik. Tetapi tindakan memberhentikan PTPTN kepada pelajar yang memasuki institusi negeri telah merosakkan kerjasama itu semata-mata bersandarkan kesombongan berpolitik, kalau pun tidak berbentuk kecelaruan politik.

13. Jadi selagi BN percaya bahawa tanggungjawab pendidikan itu adalah tanggungjawab Persekutuan dan mempertahankan PTPTN sebagai satu dari kaedah pembiayaan pelajar untuk mendapat pendidikan tinggi maka adalah amat memalukan malah  paling hina sekali  jika tindakan menafikan pinjaman itu dikenakan kepada pelajar institusi pendidikan negeri seperti di Unisel. Ini namanya mungkir janji dan pecah amanah. MELAINKAN BN mahu menyerahkan tangungjawab itu kepada PR. Jika demikian soal PTPTN tidak timbul lagi kerana PR akan melaksanakan pendidikan percuma.

14. PR akan melaksanakan pendidikan percuma jika menang dalam PRU ke 13 nanti. Itu janji mereka. Sama ada mereka mampu atau tidak bukan boleh diuji sebagai bukti ketika ini seperti kata-kata dari pimpinan BN dan PTPTN bahawa mereka mahu memberi peluang kepada PR membuktikan kemampuan melaksanakan pendidikan percuma. Sebab pendidikan belum lagi menjadi tanggungjawab mereka. Tapi jika rasional itu masih mahu diterus dan dipertegaskan oleh BN, saya hanya dapat berkata bahawa fikiran yang tidak rasional menguasai otak kepala kerajaan BN. Saya tidak pula mengatakan GILA. Hanya mengatakan bahawa menjadi tidak rasional itu adalah atas penguasaan nafsu dendam kesumat yang mendalam. Terlalu sombong kerana sudah lama berkuasa.

15. Saya percaya isu ini akan menjadi bualan dan bahan kempen pilihanraya BN dan PR. Cuma saya mengharapkan jangan kelirukan orang ramai atau rakyat terutama orang yang tidak atau kurang berpendidikan yang tidak tahu pihak mana sebenarnya bertanggungjawab terhadap pelajaran. Apa bentuk, cara dan kaedah untuk melaksanakan tangungjawab itu sama ada secara pembiayaan pinjaman atau percuma yang menjadi pilihan BN dan PR adalah hak parti tersebut. Dan rakyat yang akan membuat pilihan melalui pilihanraya. Tetapi apabila sesuatu kaedah itu telah dipersetujui maka kaedah itu mesti meliputi semua warga negara tanpa pengecualian atas dasar parti yang memrintah sesebuah negeri. Kalau BN jadi kerajaan persekutuan selepas pilihanraya ke 13 maka teruskan PTPTN. Sebaliknya PR mesti melaksanakan pendidikan percuma atas asas yang sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan