Pak Zed telah berada disatu ruang bersebelahan dengan sebuah bilik. Dia kelihatan menghamparkan sesuatu. Dia kemudian menuju ke meja makan.
"Dalam bilik tu ada bilik air. Bolehlah ambil wuduk", Pak Zed mempersilakan saya masuk kedalam bilik. Dia mendahului saya. Saya masuk ke dalam bilik air dan Pak Zed menuju ke sebuah almari.
Dalam bilik air yang harum dengan wangian itu otak saya mula ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengelak jadi imam. Bukan kerana saya tidak pernah menjadi imam. Di rumah , saya berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Lepas solat , berdoa juga. Tapi sekerat Arab dan sekerat Melayu. Kadang-kadang baca doa dari buku kecil. Doa dalam bahasa Arab walaupun saya tidak faham maknanya jika tidak membaca terjemahan Melayunya.
Tanpa buku kecil itu saya tidak yakin dapat membaca doa. Mungkin satu dua ayat yang awal yang memuji Allah dan berselawat keatas nabi , keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dapat saya baca dengan lancar. Selepas itu, saya tidak mampu melakukannya. Kalau dirumah saya akan menyambung dengan doa dalam bahasa Melayu, yang antara lain mohon keampunan dari Allah, diberikan kesihatan, ilmu yang berguna dan dikurniakan rezeki yang halal dan barakah.
Tapi saya akan menjadi imam kepada seorang tua. Orang tua yang baru saya kenal. Sudah tentu telah lancar dengan doa-doa dalam bahasa Arab. Orang tua yang telah terbiasa dengan doa dalam bahasa Arab. Jadi saya mesti baca doa dalam bahasa Arab seperti yang terbiasa dalam masyarakat. Doa dalam bahasa Melayu adalah sesuatu yang luar biasa. Mungkin dianggap sebagai orang yang tidak tahu adab solat. Atau tiada ilmu agama yang baik. Atau tidak ada kelas.
'Tidak ada kelas'?
Saya mendengar ketukan pintu bilik air dan diikuti suara Pak Zed yang memberitahu bahawa sehelai kain pelikat telah diletakkan diatas katil. Saya faham akan maksud Pak Zed itu. Kain itu untuk saya pakai bagi menyempurnakan solat nanti.
Selesai mengambil wuduk yang berbaur dengan fikiran yang merisaukan itu, saya menyarung kain pelikat menggantikan seluar. Pak Zed sudah tiada didalam bilik.
Saya melangkah keluar dari bilik dan ternampak Pak Zed sedang duduk diatas kerusi. Dia memakai ketayap putih. Nampak gaya dia telah berwuduk. Mungkin dibilik air yang lain.
Pak Zed mempersilakan saya mengambil tempat untuk menjadi imam. Saya cuba berbudi bahasa, cara beradab, menghormati yang lebih tua dengan mempersilakan Pak Zed mengambil tempat sebagai imam. Yang penting jika dia bersetuju, solat saya mungkin tidak akan terganggu memikirkan doa selepas solat.
Pak Zed masih lagi mengunjukkan tangannya sebagai tanda mempersilakan saya memulakan solat sebagai imam. Katanya dia terpaksa solat secara duduk diatas kerusi kerana tidak mampu untuk sujud seperti orang sihat.
Nampaknya saya tiada pilihan. Saya mesti menjadi imam kepada orang tua ini.
"Allah hu Akbar".
Selesai berdoa, saya menghulurkan tangan bersalaman sambil mencium tangan Pak Zed. Dia memeluk saya.
Saya mohon izin untuk meneruskan perjalanan pulang. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pak Zed kerana sudi menjemput saya makan dirumahnya. Bersolat pula. Tapi Pak Zed mengatakan bahawa dia yang sepatutnya berterima kasih kepada saya kerana sudi makan bersama dirumahnya dan menjadi imam solat Zohor sebentar tadi.
Saya menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum melangkah melepasi pintu rumahnya. Tangan saya segera disambut.
"Cantik sungguh doa tadi. Minta ampun diri sendiri dan kedua ibubapa. Terima kasih kerana mohon keampunan dan kesihatan untuk saya". Tangan saya menerima tarikan dari Pak Zed. Dia sekali lagi memeluk saya sambil berpesan jika ada masa sudilah datang ke rumahnya lagi. Saya mengangguk kepala. Saya merasa ada cecair yang mengalir dipipi saya.
Saya melangkah meninggalkan Pak Zed seorang tua. Seorang tua yang pada mulanya saya panggil orang tua kerepot yang telah bongkok. Orang tua yang baru mengenali saya tapi sudi pula menjemput makan dirumah walaupun makanan dibeli dari warung. Menjadikan saya imam. Orang tua yang dua kali memeluk saya. Mengeluarkan air mata pula.
Pak Zed merindukan seseorang. Mungkin aruah isterinya. Mungkin anak-anaknya. Tapi dia tidak pula bercerita fasal isteri , anak-anak atau keluarganya. Saya pula tidak pula mahu bertanya. Dia cuma bercerita fasal makanan dan menjaga kesihatan tubuh badan. Katanya kesihatan tidak boleh dinilaikan dengan apa saja. Ada wang, ada harta yang bertimbun tidak akan memberi apa-apa makna jika tidak sihat. Jika tidak sihat hendak beribadatpun tidak sempurna.
Tapi kenapa Pak Zed menangis. Kenapa berpesan untuk saya sudi datang lagi. Sudah tentu beliau merindukan seseorang. Beliau perlukan seseorang untuk berbalas bicara atau mendengar ceritanya. Kalau begitu bukankah lebih baik tinggal dirumah orang tua atau rumah untuk warga tua. Disana ramai kawan-kawan seusia yang boleh diajak dan dikongsi bicara.
Tidak. Pak Zed lebih betah untuk tinggal dirumahnya.
Sebelum masuk kedalam kereta, saya memandang kearah rumah Pak Zed, orang tua yang seorang itu. Pada mula melihat orang tua itu di warung makan , saya telah membuat dosa kering. Hati saya berbisik mengatakan orang tua kerepot. Saya rasa bisikan seperti itu adalah satu penghinaan. Semua orang termasuk saya jika dipanjangkan usia akan menjadi kerepot juga. Entah-entah kerepot saya lebih teruk lagi. Saya sepatutnya mohon maaf kepada Pak Zed, orang tua yang baik hati itu.
Tapi cukupkah dengan mendoa untuk kesihatan dan keampunan baginya yang telah saya lafazkan selepas solat tadi membayar hutang dosa saya terhadapnya?
Kereta saya meluncur laju. Fikiran dan perasaan saya masih tersangkut dengan seorang tua yang bernama Ahmad Zahari atau Pak Zed seolah-olah saya masih di Rumah Seorang Tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan