Theflowersellingboy

Ahad, 10 Jun 2012

Penyubur Jiwa: Zakat

Tajuk paparan, Penyubur Jiwa : Zakat, adalah inti pati yang dapat saya simpulkan semasa mendengar khutbah Jumaat disebuah masjid ( surau dinaikkan taraf sebagai masjid) di Precint 11, Putra Jaya pada 080612 yang baru berlalu. Saya percaya khutbah itu telah disediakan oleh pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan. Imam hanya sekadar menyampai dan membaca teks yang disediakan itu.

Seperti biasa ada jemaah yang memberi fokus dan ada juga yang terlena dik buaian dan angan-angan mimpi masing-masing sewaktu imam menyampaikan khutbahnya. Saya pun kadang-kadang tidak terkecuali. Tetapi pada hari yang dimaksudkan, alhamdulillah saya dapat mengikuti khutbah yang disampaikan dari awal sehingga ke akhir. Dan faham apa yang disampaikan oleh imam itu. 

Ceritanya ialah mengenai tanggungjawab membayar zakat dan kebaikan zakat sebagai alat untuk membantu ummah meningkatkan tahap sosial dan kedudukan ekonomi. Wang zakat yang dikutip telah diagihkan bagi membantu ummah yang memerlukannya. Jutaan wang zakat telah dimenfaatkan.

Saya percaya angka-angka dan fakta-fakta yang disampaikan itu benar belaka. Tahniah.

Tetapi ada satu hal yang saya ingin bicarakan disini iaitu tentang kecenderungan orang Melayu Islam atau pihak berkuasa Islam di negara kita yang begitu enak menyatakan sesuatu kebaikan yang dibawa oleh Islam itu, misalnya dalam hal zakat dan kewajipan berzakat, tanpa lupa merendah dan memperlekehkan pihak bukan Islam. 

Jangan silap tafsir kenyataan saya ini. Saya tidak sesekali berbangga dengan cara dan kaedah orang bukan Islam dalam menyusun dan mengatur kehidupan mereka walaupun banyak yang baik dan boleh diteladani. Sebab asas kebaikan mereka itu berbeza dengan kita. Kita melakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Apa yang telah disampaikan dalam khutbah itu? Bahawa zakat dalam Islam telah dapat membantu dalam menangani kemiskinan dan keadilan sosial tidak seperti dibarat. Sebaliknya, kata khutbah itu , di barat, pembahagian kekayaan tidak dilakukan secara adil dan berlaku penindasan.

Ini bukan kali pertama perlekehan kepada orang barat, sudah tentu maksudnya orang bukan Islam. Perbuatan jenayah, perogolan , penipuan, perjudian, penindasan, perlakuan sumbang, rasuah dan segala jenis keburukan adalah monopoli orang barat. Mereka itu terlalu rendah moralnya. Mereka itu zalim.

Saya tidak menafikan perlakuan-perlakuan tidak senonoh itu berlaku disana, dikalangan orang barat yang bukan Islam. Saya juga malu untuk menidakkan perlakuan seperti itu dikalangan orang Islam secara amnya, dan orang Melayu Islam di Malaysia khususnya. Tidak keterlaluan jika saya katakan perangai buruk kita kadang-kadang lebih dahsyat dari apa yang dipertunjukkan oleh orang barat bukan Islam. 

Tidak percaya? Baik, kalau begitu saya cadangkan orang yang berfikiran demikian pergilah ke negara barat misalnya England, duduk disana sebulan. Lagi lama lebih baik. Duduk dikawasan dimana banyak orang Islam (bukanlah majoriti) misalnya beberapa tempat di Birmingham, di Sheffield, di Brighton dan beberapa bandar yang lain. Duduk juga di kawasan mat salleh.  Buat pemerhatian tanpa prasangka keatas dua golongan ini. Kemudian fikir-fikirkanlah demi kebaikan dan mertabat orang Islam.

Kemudian pergilah menunaikan fardhu haji atau buat umrah bersama jemaah-jemaah yang lain.  

Waktu dilapangan terbang di Jeddah buatlah pemerhatian tanpa prasangka. Beri perhatian kepada cara kerja dan layanan petugas imigresen Arab Saudi itu yang kesemuanya Islam. Catatkan. Waktu menaikki bas atau koc untuk ke Mekah atau Madinah buatlah pemerhatian terhadap lagak laku para jemaah dan juga petugas tabung haji yang menguruskan perjalanan. Waktu dalam bas catatkan juga perlakuan yang dizahirkan oleh pemandu koc. Apabila bas berhenti untuk memberi kerehatan dan peluang untuk jemaah buang air kecil, air besar atau menyegarkan mata, buat juga catatan khususnya keadaan tandas yang disediakan. 

Dan catatkan apa saja perlakuan dan perangai jemaah termasuk peniaga-peniaga tempatan, pemandu teksi. Jangan lupa buat pemerhatian keatas bilangan orang-orang hitam yang sebahagian besarnya terdiri dari anak-anak kecil yang menadah sebelah tangan minta ikhsan sewaktu anda dalam perjalanan pergi ke Masjidil Haram dan balik ketempat kediaman. Perhati betul-betul anak-anak itu dan gerakkan otak anda untuk bertanya mengapa tangan anak-anak itu sebelah saja. Mana lagi satu. Sudah kena potong ke kerana mencuri? Catatkan pemerhatian anda itu tanpa prasangka. Ingat, anda berada dalam sebuah negara Islam yang kaya.

Dihotel kediaman anda, khususnya pada waktu makan (tengah hari atau malam ) buatlah pemerhatian akan lagak laku dan perangai jemaah semasa hendak menaikki lif untuk menuju dewan makan. Catatkan tanpa prasangka apa yang anda lihat termasuk semasa jemaah mengambil makanan.

Akhirnya anda buatlah kesimpulan tanpa prasangka : Masyarakat mana iaitu diantara Islam dan barat yang bukan Islam yang mempamirkan perlakuan dan moral yang jelek. Adalah tidak adil jika saya menyata dan menyimpulkan  kesan yang diperolehi dari pemerhatian dan catatan keatas dua golongan itu, Islam dan orang barat bukan Islam, kerana bukan saya yang melakukannya. 
 
Orang barat yang bukan Islam jika melakukan perbuatan tidak senonoh seperti yang dinyatakan diatas tadi,  (tidak semua berperangai tidak senonoh) saya mudah untuk memahaminya kerana asas mereka mengatur hidup  lebih memberatkan kehidupan dunia dari kehidupan selepas mati. Tapi orang Islam yang mengambil berat tentang kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat nampaknya tidaklah boleh kita bangga telah berjaya menzahirkan perlakuan dan moral yang lebih baik dari orang barat bukan Islam.

Dengan demikian rasanya tidak perlu kita memperlekehkan orang atau ajaran agama lain, sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan kesungguhan dalam melakukan dan mengamalkan ajaran agama kita yang suci ini. Jangan menyalahkan orang lain iaitu orang bukan Islam diatas kegagalan kita orang Islam menghayati dan mengamalkan ajaran agama kita. Betulkan diri kita terlebih dahulu, dan jika ada perkara yang baik yang dipamir dan diamalkan oleh bukan Islam dimana saja, dan tidak pula bertentangan dengan ajaran Islam, kita patut contohi.

Berbalik kepada khutbah yang telah dibaca oleh khatib dan telah saya ikuti sepenuhnya pada hari Jumaat itu, jelas bahawa zakat telah banyak memberi menfaat kepada ummah. Menfaat itu telah dapat dinikmati oleh ummah  kerana pengurusan wang zakat itu telah dilakukan dengan baik, sama ada dari segi kutipan mahu pun agihan. Tidak perlu kita memperlekehkan pihak lain untuk menyatakan kita yang terbaik.

Hanya, sanya saya ada satu persoalan: Sebenarnyakah pengurusan zakat dinegara kita (semua negeri) telah dilakukan menurut yang dikehendaki oleh Islam? Tiada penyelewengan?

Saya mahu juga menjawab soalan saya itu dengan berkata: Saya dengar berita ada yang tidak sihat tapi perkara ini saya perlu buat pemerhatian dan catatan terlebih dahulu. Cuma saya tidak ada kepakaran dalam membuat siasatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan