Theflowersellingboy

Khamis, 21 Jun 2012

JANJI DITEPATI?

Program Janji DiTepati Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjelajah beberapa buah negeri. Yang baru lepas diadakan di Negeri Kedah. Selepas ini di Negeri Melaka pula.

Janji Di Tepati sudah tentu merupakan satu usaha Kerajaan BN untuk memberitahu kepada rakyat bahawa apa yang telah dijanjikan oleh parti itu semasa pilihanraya yang lepas iaitu pada tahun 2008 dan juga janji-janji selepas itu telah ditunaikan. Bermakna, kerajaan BN tidak mungkir janji. Apa yang dikata telah dikotakan. Apa yang dijanji tertunai sudah. Itulah maksud janji ditepati.

Adakah sebenarnya begitu? 

Untuk menjawab persoalan itu kita perlu ada senarai semak apa yang telah dijanjikan parti BN semasa menghadapi pilihanraya tahun 2008 sehingga rakyat memberikan kepercayaan kepada parti BN untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri. Dan juga janji-janji selepas bertukar Perdana Menteri dari Tun Abdullah kepada DS Najib pada tahun 2010.

Manifesto Pilihanraya BN 2008 adalah bertujuan untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih SELAMAT, AMAN dan MAKMUR untuk generasi yang akan datang. BN berikrar kepada pengundi untuk meningkatkan pencapaian setiap sektor sedia ada dan menawarkan visi dan misi bagi mengemudi negara ke tahap yang lebih baik.


Sektor-sektor yang dimaksudkan ialah ekonomi, pendidikan, pembangunan seimbang, undang-undang keselamatan awam, membanteras rasuah, meningkatkan urus tadbir, agama, perpaduan dan dasar luar.


Manakala selepas beralih pucuk pimpinan kepada DS Najib maka telah diperkenalkan satu wadah baru iaitu Transformasi. Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (PTK) dengan masing-masing program itu mempunyai pengukur-pengukur tentang kejayaan pelaksanaannya.


Baik. Jelajahan Janji Yang Di Tepati ini adalah usaha untuk memberitahu rakyat bahawa apa yang telah dijanjikan itu telah ditunaikan.


Maknanya segala yang telah dilakukan telah menghasilkan sebuah negara Malaysia yang SELAMAT, AMAN dan MAKMUR dalam erti kata yang sebenaranya. 

Sekali lagi kita bertanya benarkah demikian? Kali ini kita mudah mencari jawapan kerana kita boleh semak apa yang dijanjikan dengan apa yang telah berlaku sebenarnya. Kita juga dengan mudah mendapat jawapan dengan melihat sendiri apa yang di paparkan dalam program jelajah Janji Yang Di Tepati itu.

Kita semak janji-janji itu yang merangkumi tahun-tahun terajuan oleh kedua-dua pimpinan PM. Tidak wajar diasing-asingkan kerana ianya janji BN . Lagi pun Manifesto BN 2008 seperti yang dijanjikan tidak pernah dimansuhkan. Cuma PM yang terbaru menambah beberapa kaedah pendekatan bagi melangsungkan pengurusan negara.

Apa yang telah berlaku atau dilakukan atau dilaksanakan . Sudah kah janji itu tertunai?

Adakah kita SELAMAT? AMAN? MAKMUR?

Perbicaraan menjadi terlalu panjang jika kita ambil kesemua sektor seperti yang dinyatakan diatas tadi yang telah diikrarkan oleh BN. Kita ambil saja janji tentang undang-undang  keselamatan awam, pencapaian ekonomi, tadbir urus, dan membanteras rasuah. Tapi ini tidak bermakna sektor-sektor yang lain telah berjaya dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

Ya, nampaknya begitulah. Rakyat Malaysia tinggal dalam sebuah negara yang selamat dan aman. Sehingga sekarang kita adalah SELAMAT dan AMAN. Namun nampak semacam selamat dan aman itu tidak bermakna keberadaan SELAMAT dan AMAN itu tanpa gangguan kerisauan   dikalangan rakyat akan keselamatan mereka dari segi keharmurnian hidup sebagai satu bangsa yang bersatu dan berpadu. 

Sebenarnya rasa curiga mencurigai diantara kaum, agama dan kelas semakin menonjol ketika ini. Malah penonjolan itu tidak pula mendapat perhatian yang berat oleh kerajaan. Bibit-bibit kebencian sesama warga sudah menjadi satu laungan yang jelas yang banyak berselindung diatas perjuangan mempertahankan kelangsungan sesuatu puak/kepercayaan. Maka berlaku cabar mencabar dan tuding menuding jari dikalangan rakyat . Benih-benih kebencian dan permusuhan ini semakin bercambah. Ianya amat merisau dan menakutkan sekali.

Jadi tenangkah kita untuk hidup dalam sebuah negara yang rakyatnya saling curiga mencurigai? Perasaan kita berasa aman kah?

Ya, undang-undang lapok ISA warisan penjajah telah diketepikan. Tapi undang-undang itu hanya hilang pada namanya saja kerana ianya diganti dengan undang-undang baru yang membawa semangat yang sama walaupun namanya agak menyegarkan, Undang-undang Perhimpunan Aman. Cuba ingat semula peristiwa dalam Perhimpunan Bersih 3.0 dengan tenang tanpa prasangka. Berapa ramai yang telah menjadi mangsa dalam satu perhimpunan yang aman bertujuan menuntut pilihanraya yang adil. Ertinya adakah kita merasa selamat untuk menyatakan perasaan secara aman? Bersih 3.0 membuktikan bahawa risiko kena dakwa dan belasah amat tinggi sekali. Jadi adakah itu dinamakan SELAMAT dan AMAN?


Kita juga tidak bebas untuk menyuarakan sesuatu dalam bentuk ingatan, teguran dan pandangan kepada golongan tertentu.  Kita akan segera disiasat kerana melakukan hasutan. Dalam keadaan semacam ini, sudah tentu kita tidak akan ada perasaan yang tenang dan merasa selamat walaupun yang kita perkatakan itu sesuatu yang benar.

Dalam hal kebebasan ini, kita tidak percaya kepada kebebasan mutlak seperti selalu dijadikan alasan dalam menangkis pandangan tentang kebebasan pengucapan dan bersuara. Orang gila saja perlukan kebebasan mutlak. Maksudnya rakyat yang mahu kebebasan bersuara itu adalah rakyat yang berfikiran rasional yang tahu mengasingkan diantara yang baik dengan yang jahat. Sudah tentu rakyat seperti itu tidak mahu rumahnya dikacau ganggu/diceroboh oleh orang-orang jahat atas alasan menggunakan hak kebebasan. Atau tidak mahu perhimpunan atau majlis penerangan atau kempennya dikacau ganggu dengan perbuatan tidak senonoh seperti melempar batu atau telur busuk atau objek yang boleh mencederakan para hadirin.


Perbuatan-perbuatan tidak senonoh itu telah berlaku. Dan nampak gayanya tiada titik berhenti. Malang sekali perbuatan seperti itu tidak mendapat celaan dan perhatian berat dari pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan menghalang dari berulang walaupun pihak yang menjadi mangsa telah membuat laporan.


Adakah perasaan kita boleh menjadi tenang? Adakah anggota tubuh badan kita dijamin selamat dari perbuatan-perbuatan yang dinyatakan itu semasa menghadiri sesuatu perhimpunan? Bukti yang ada menunjukkan bahawa perasaan kita sentiasa dalam keadaan risau dan cemas kalau-kalau diperhimpunan yang kita hadir itu sebiji/sesuatu objek akan dilempar dan mengenai anggota badan kita.


Jadi, kita sebenarnya tidak selamat dan aman dalam sebuah negara yang nampaknya selamat dan aman. 

Kita hidup MAKMUR? 

Ya, kehidupan kita tidaklah seteruk seperti di beberapa negara jiran atau negara dunia ketiga. Tapi adakah itu ukuran kemakmuran bagi kita? 

Ukuran kemakmuran sepatutnya mesti merujuk kepada penggembelingan berbagai sumber negara kearah memberikan menfaat kepada kehidupan rakyat. 

Dan adakah ini berlaku seperti yang dijanjikan?

Untuk melihat menfaat kepada rakyat hasil dari penggunaan sumber negara oleh kerajaan tidak perlulah kita bersusah payah  memeriksa kadar pertumbuhan negara, kadar inflasi, belanjawan surplus atau defisit, kadar pengangguran, pendapatan isi rumah, pendapatan per kapita, nilai pelaburan asing (FDI)  atau ukuran-ukuran seperti NKRA dan yang lain yang memerlukan pengetahuan dalam bidang ekonomi dan kewangan. 

Memadai dengan melihat saja kepada kedudukan rakyat dalam keperluan asas misalnya tempat tinggal atau kediaman rakyat. Kerana ini mudah difahami. Apakah mutu kehidupan rakyat itu sendiri, dan yang akan diwariskan ke generasi berikutnya.

Kita tanya soalan-soalan antara lain: Adakah rakyat mampu memiliki rumah pada kos yang menasabah menurut kemampuan gaji/pendapatan. Berapa kah bilangan rakyat yang mampu memiliki rumah yang sepatutnya (decent). Adakah kita telah berada pada kedudukan kosong setinggan. Adakah golongan  gelandangan/berpeleseran, yang tiada tempat tinggal dan tidur bergelempangan misalnya di kaki-kaki lima atau lorong-lorong sempit lagi kotor telah hilang dari pandangan mata. Atau telah terhapuskah peminta-peminta sedekah tidur di atas jejantas, misalnya. 

Dan banyak lagi pegukur-pengukur yang boleh mewakili tahap dan kedudukan mutu kehidupan rakyat. 

Secara  amnya rakyat masih lagi perit untuk mendapat kediaman yang sesuai terutama dibandar-bandar. Mutu kehidupan  yang berkaitan dengan pemilikan rumah/kediaman yang 'decent' tidak meningkat seperti yang di janjikan.  

Kita tinjau pula kos belanja hidup. Ada kebenaran bahawa upah dan gaji telah meningkat berbanding dengan yang lepas. Cuma persoalannya adakah jumlah pendapatan itu mempunyai kuasa beli yang lebih baik berbanding dengan yang lepas. Dengan kata mudah adakah wang RM100 untuk belanja pasar itu akan membawa jumlah barang yang sama dari segi kuantiti dan kualiti berbanding masa lepas?

Jawapannya pasti sekali, amat mengecewakan. Hanya kita dapat mengeluh saja bagi menampung jumlah wang yang tidak cukup itu. Apa yang kita dapat dari mengeluh itu? Macam-macam, bergantung kepada ketahanan seseorang dalam menghadapi hempitan hidup. Benci dan marah adalah diantara yang menyelinap dalam perasaan.
   
Semakin bertambah marah apabila ternyata jurang kehidupan diantara golongan elite yang berkuasa dengan rakyat biasa semakin membesar. Jurang yang melebar ini adalah kerana peluang hanya terbuka dan dibuka luas kepada golongan elite yang berkuasa dan mereka yang dalam lingkaran mereka. Banyak contoh tetapi lihatlah satu contoh saja rasanya sudah cukup kita boleh faham mengapa jurang pendapatan semakin melebar. Projek NFC. Sebenarnya projek ini untuk menfaat siapa? Kenapa pinjaman mudah sebesar NFC itu tidak dibuka kepada orang atau pihak yang betul-betul memerlukannya bagi meningkatkan kualiti hidup? Apakah cara yang dilakukan itu termasuk dalam konsep agihan kekayaan yang adil (distribution with equity)?

Jawapannya sudah tentu tidak. Jadi apa makna negara MAKMUR. Sebenarkah MAKMUR yang dikatakan itu memberi menfaat kepada rakyat?

Kita belum lagi menyentuh berbagai kebocoran, ketirisan dan rasuah dalam berbagai bentuk yang dilaporkan berbillion ringgit yang sepatutnya boleh digunakan bagi meningkatkan mutu hidup rakyat. Cerita dalam hal ini sungguh panjang dan amat mengerikan jika kita sebenarnya insaf bahawa sumber itu telah disalahgunakan. Memang ada yang mendapat untung. Tetapi untung yang diperolehi dengan cara yang salah dan haram.

Cukuplah dengan cerita MAKMUR itu. Cukup juga dengan cerita SELAMAT dan AMAN itu. Ianya hanya sebuah cerita penglipur lara, menghiburkan rakyat untuk memenangi hati dan fikiran mereka diwaktu musim pilihanraya. Sama juga kaedah yang sedang berlaku sekarang dengan berbagai pemberian dan kaedah yang dikatakan sebagai cara bagi merengan beban kos sara hidup dan meraih keuntungan dalam bentuk durian yang akan runtuh.

Sudah tentu semua orang telah terbiasa dengan BR1M. Dengar khabar akan dimesrakan lagi dengan BR1M peringkat kedua pula. Semua orang sudah tahu tentang perencanaan bagi penyenaraian FGVH yang ada sangkut paut secara langsong dengan kepentingan warga Felda . Ianya juga membabitkan kepentingan rakyat Malaysia secara amnya. 


Jika tiada apa-apa halangan penyenaraian itu nanti akan memberi durian runtuh kepada warga Felda. Ramai pihak yang tidak bersetuju faedah yang bakal diperolehi oleh warga Felda itu diumpamakan sebagai durian runtuh. Alasan mereka bahawa menfaat yang diterima tidak berpanjangan. Saya pula bersetuju dengan ungkapan itu kerana sebenarnya menafaat dan faedah kepada warga Felda tidak akan berpanjangan. Ini adalah pasaran modal. Hanya mereka yang mempunyai kekuatan modal saja yang boleh bertahan dalam pasaran. Warga Felda boleh tahan nafsu ke apabila melihat harga dihari pertama IPO itu naik? Boleh bayar pinjaman bank ke jika harganya turun macam nak gila?


Maka durian yang runtuh itu sebenar-benarnya runtuh. Tiada dahan lain yang tinggal untuk menghasilkan buah pada masa depan.


Apakah yang dapat diperkatakan atau ditunjukkan dalam jelajah Janji di tepati itu? Negara yang SELAMAT , AMAN dan MAKMUR? Yang sudah dipertontonkan sebagai bukti hanyalah sama seperti yang dipertontonkan dalam Program Jom Hebuh. Apa yang ada dalam program Jom Hebuh boleh dicari dalam Program Janji ditepati. Mungkin ini yang dikatakan Program Tranformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Atau Model Baru Ekonomi. Atau NKRA.

Mungkin juga saya kurang/tidak faham akan jargon-jargon itu. Terlalu rumit. Saya juga tidak menafikan ada kejayaan yang telah dicapai. Cuma saya masih mengatakan bahawa kualiti kehidupan sebahagian rakyat semakin merosot bukan kerana kemiskinan sumber tetapi miskin dari segi keinsafan dalam diri pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menguruskan sumber itu secara yang terbaik. 

Kesimpulannya, program jelajah Janji Di Tepati itu tidak perlu diadakan kerana banyak membazir dari menfaat yang akan diperolehi oleh rakyat.  Keuntungan politik? Saya kurang pasti. Hanya senya perlu dingat bahawa rakyat sudah lebih celik. Mereka sudah tahu bahawa mereka ada pilihan. Ditangan mereka ada kuasa untuk membuat pilihan bagi satu masa depan yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan