Theflowersellingboy

Khamis, 14 Jun 2012

Cepatkan Pilihanraya Ke 13.

1. Berita yang saya dengar bahawa pilihanraya ke 13 yang akan datang ini adalah satu pilihanraya yang mewah, kata orang pilihanraya mesra rakyat. Maknanya sayang rakyatlah. Rakyat yang bakal mengundi akan meraih kemewahan itu. Pengundi akan berpeluang untuk mendapat bayaran tunai: paling rendah RM1,000.00 dan ada peluang juga untuk dapat  RM5,000.00. Harap-harap berita ini benar dan menjadi kenyataan.

2. Ketika ini saya sedang berangan-angan akan wang yang bakal diterima itu. Menurut kiraan dari angan-angan itu, saya bakal meraih paling kurang RM2,000.00. Satu ribu ringgit dari calun Parlimen dan satu ribu ringgit lagi dari calun Dewan Undangan Negeri (DUN). Tapi kalau saya pandai 'chong', jumlah itu mungkin boleh meningkat sepuluh ribu ringgit- RM5,000.00 dari calun Parlimen dan RM5,000.00 dari calun DUN. Kalau malu-malu kucing, mungkin boleh dapat kurang dari itu. Kurang-kurang pun saya rasa boleh dapat RM6,000.00. Itu kalau saya malu-malu kucing. Kalau saya buat senyum buaya, RM 10,000.00 dalam tangan.

3. Bayangkan dapat dua ribu, atau lima ribu atau enam ribu atau sepuluh ribu dalam tempoh tak sampai sehari. Kerjanya bukan berat pun. Cuma berbaris, ambil kertas undi, buat satu pangkahan keatas kertas undi dan masuk kertas undi dalam peti undi yang disediakan. Itu saja. Memang tidak boleh saya bayangkan bagaimana 'happy'nya saya. Maklumlah duit datang menggolek terus masuk saku.

4. Kalau ambil upah potong rumput pun, perit nak dapat seribu sebulan. Penat kerja potong rumput ini. Kulit kita akan jadi hitam legam. Sebab kerja dalam panas terik. Tapi bila dapat wang 'free' seribu ke, dua ribu ke atau yang seronoknya sepuluh ribu, saya akan berhenti kerja potong rumput ni. Tidaklah berhenti terus. Bergantung berapa banyak wang 'free' yang akan saya dapat nanti.

5. Maaf, saya dah meraban fasal potong rumput pulak. Itulah gayanya kalau orang suka berangan-angan nak dapat duit 'free'.

6. Tidak mengapa. Angan-angan bukannya kena bayar. Tak akan luak duit yang bakal masuk poket nanti. Agaknya bila wang itu akan diberi. Sebelum memangkah atau selepas memangkah. Minta-minta sebelum memangkah, dapatlah beli seluar dan baju cantik untuk ditayang pada hari mengundi nanti. Tapi selepas memangkah pun ok juga. Asalkan bagi. Jangan mungkir janji pula. Kalau mungkir, pada masa depan saya tak mengundi. Tapi kalau beri lebih besar dari PRU 13 ini, saya tetap mengundi. Syaratnya beri dulu sebelum saya mengundi. Tentang mungkir janji dulu, saya tak kisah. Janji dapat wang tunai.

7.  Betul ke berita yang saya dengar ni? Harap-harap betul, itulah doa saya. Saya juga kuat berdoa supaya pilihanraya diadakan sebelum puasa. Dapatlah belanja beli pakaian anak-anak. Dah lama anak-anak saya pakai baju yang dah lusuh. Anak saya kata "Balik-balik baju ni saja". Raya tahun ni saya nak dengar anak-anak kata " Terima kasih. Dapat baju baru". Sudah tentu senyum saya melebar terlalu gembira. Tentang sumber wang, tak kisahlah. Lagipun anak-anak itu bukannya tahu. Kalau tahupun , apa nak dimalukan, sedangkan orang merompakpun tak malu dan tak tahu malu. He..he...he...he..he

8. Saya pula nak beli kancil 'second hand'. Rasanya ada yang harga lima ribu kebawah. Jadi kalau dapat sepuluh ribu, ada baki lima ribu lagi. Tahun ni saya raya sakanlah. Boleh bawa keluarga jalan-jalan makan angin ke Genting. Kata orang Genting tu macam-macam mainan ada. Bolehlah kami enjoy sikit. Sesekali apa salahnya.

CEPATLAH PILIHANRAYA SEBAB  SAYA NAK ENJOY KE GENTING, PLEASE!
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan