Darah Tinggi? Atau Tekanan Darah Tinggi? Ada yang kata, termasuk doktor perubatan bahawa penyakit ini adalah penyakit warisan, turun menurun dari generasi ke generasi. Dalam kata lain penyakit keturunan lah. Maknanya tidak boleh dielakkan jika telah ditentukan melalui keturunan. Penyakit keturunan tiada ubat, setakat yang diketahui sekarang ini.
Kalau begitu, mereka yang tidak berketurunan darah tinggi boleh mengelak dari mendapat penyakit ini. Caranya : Jangan cari pasangan rumah tangga orang yang disahkan mempunyai penyakit darah tinggi atau dari keturunan yang mempunyai penyakit tersebut. Yang buat pengesahan itu mestilah dari pakar perubatan yang bertauliah.
Tapi untuk melakukannya itu bukanlah mudah. Misalnya pasangan yang anda berkenan itu adalah dari keturunan darah tinggi. Anda kena buat pilihan iaitu mementingkan kesihatan atau perasaan. Jika anda memilih kesihatan maka ucapkan selamat tinggal kepada orang yang anda berkenan, sudah tentu yang anda sayang. Ini memerlukan kekuatan menahan perasaan. Hati mesti keras, dan yakin bahawa pilihan anda itu betul demi keturunan anda yang akan datang. Biarlah pasangan anda itu kecewa. Bye.
Tidak semudah itu jalan penyelesaiannya.
Ya, benar, anda boleh berusaha mencari yang lain. Mungkin akan bertemu dengan orang yang tidak mempunyai keturunan darah tinggi. Tetapi penyakit lain bagaimana? Misalnya kencing manis, kanser, aids, lelah, resdung, exzima, penyakit saraf dan berbagai lagi penyakit, walaupun ada yang bukan dari penyakit yang dikatakan keturunan. Tolak juga?
Penyakit lain juga anda menolak. Anda hendakkan yang tidak berpenyakit, orang yang sihat supaya keturunan anda nanti semuanya sihat-sihat belaka. Ini satu pilihan yang terbaik. Cuma ianya tidak wujud didunia ini, tidak ada manusia yang tidak berpenyakit. Ada juga manusia yang anggota badannya sihat tapi hatinya entah macam mana sentiasa sakit. Sakit hati tengok orang senang, orang jadi kaya, berjaya. Orang riang dan ketawa pun dia sakit hati.
Orang yang sakit hati ini juga tidak sihat. Semua penyakit adalah tidak sihat. Sebab itu dipanggil penyakit dan perlukan rawatan.
Maknanya semasa mula berkenalan, antara soalan-soalan yang perlu ditanya atau maklumat-maklumat yang perlu diketahui ialah tentang penyakit masing-masing termasuk keluarga. Dapatkan juga maklumat penyakit-penyakit yang dikatakan sebagai penyakit keturunan misalnya darah tinggi tadi.
Persoalannya, adakah anda mempunyai kekuatan perasaan untuk mengeluarkan pertanyaan tentang penyakit orang yang anda cuba ikat hatinya pada permulaan perkenalan? Hanya orang berhati keras saja yang mampu berbuat demikian. Orang seperti ini susah nak cari. Sebab pada permulaan berkenalan, sikap yang diambil ialah menjaga hati pasangan. Untuk bertanya fasal penyakit adalah sesuatu yang mengaibkan.
Tapi jika anda mengambil sikap mengambil masa untuk mendapat maklumat tentang penyakit pasangan itu, dan terus menjalinkan perkenalan sehingga hati sudah mula berkenan bahawa orang itu pilihan untuk pasangan berumah tangga, maka lupakan lah persoalan tentang penyakit itu. Terimalah orang itu seadanya. Dialah pasangan hidup yang telah ditakdirkan. Terimalah penyakit warisan itu yang bakal menghinggapi anak-anak anda nanti. Jangan menyesal dan jangan diungkit-ungkit dikemudian hari.
Dalam minat dan kesibukan kita mencari maklumat penyakit orang lain, kita juga perlu sihat. Bukan saja sihat dari penyakit keturunan dan penyakit-penyakit yang lain bahkan mempunyai hati dan perasaan yang sihat. Kerana adalah adil jika kita juga menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan oleh orang yang kita hendak berkenalan untuk dijadikan pasangan hidup. Sudah tentu kita ada juga penyakit. Paling kurang penyakit malas bangun pagi. Malas bangun pagi ini nampaknya tidak serious. Tapi itulah juga satu dari penyakit yang boleh merebak kepenyakit-penyakit yang lain, misalnya malas mengemas dan membersih rumah.
Jadi janganlah takut sangat kepada penyakit keturunan seperti penyakit darah tinggi untuk memilih pasangan. Yang penting adalah mengambil langkah untuk bersama menjalani kehidupan saling bantu membantu, jika kita telah ditakdirkan mempunyai pasangan yang menghidapi sesuatu penyakit sama ada yang dikatakan jenis keturunan atau sebaliknya. Jangan menyesal dalam perkongsian hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan