Theflowersellingboy

Khamis, 21 Jun 2012

Sikap dan Adab Menghadiri Majlis Kenduri Kahwin

Jangan ambil sikap sambil lewa saja apabila menerima jemputan bagi menghadiri majlis kenduri kahwin. Terimalah jemputan itu sebagai satu tanda penghormatan dan ingatan dari yang menjemput. Kalau tiada aral melintang, kita patut hadir, jangan mengecewakan hajat tuan rumah.

Tapi yang saya hendak bicara disini bukanlah sikap tidak mahu hadir majlis kenduri itu. Sebahagian besar dari kita, saya percaya, tidak pernah mengecewakan hajat tuan rumah. Walaupun ada aral melintang untuk menghadirkan diri, 'wakil diri' sentiasa disampaikan melalui kawan-kawan yang hadir. Maksudnya mengirim hadiah atau sumbangan melalui kawan yang hadir. Atau kadang-kadang dengan kiriman pos. Atau kadang-kadang membahagi-bahagi tugas jika terdapat lebih dari satu majlis dalam masa yang sama atau majlis ditempat yang berlainan. Si suami akan pergi ke majlis A dan si isteri ke majlis B. Maknanya sikap sambil lewa itu tidak timbul.

Jadi sikap sambil lewa yang macam mana yang saya maksudkan? Yang saya maksudkan ialah :

i) Tidak membawa bersama kad jemputan. Bukanlah itu yang disyaratkan dalam kad jemputan itu. Tapi jika kad jemputan dibawa bersama, ianya boleh membantu kita. Misalnya peta ke tempat majlis itu boleh kita rujuk jika kita tidak pasti arah dan kedudukannya. Kita juga boleh merujuk nama tuan rumah dan pengantin. 

Peta ke majlis adalah amat mustahak kerana ia boleh mempercepatkan dan memudahkan ketibaan kita ke majlis itu. Namun dalam satu kawasan/tempat misalnya taman perumahan , ada masanya lebih dari satu rumah mengadakan majlis perkahwinan. Maka jika kad tidak dibawa , tidaklah dapat kita merujuk alamat rumah , jalan dan lokasi sebenarnya yang sepatutnya kita tuju. 

Ada masanya kita tidak ingat nama pengantin. Jadi tanpa kad ianya menyusahkan kita. Kita jangan bersandarkan kepada kepercayaan bahawa kita akan dapat berjumpa dengan tuan rumah kerana kadang-kadang tuan rumah yang kita kenali itu  susah untuk  dapat berjumpa . Maklumlah terlalu sibuk. Atau jangan terlalu yakin para jemputan yang lain akan dapat mengesahkan rumah yang kita singgah itu adalah rumah yang sebenarnya yang hendak kita tuju kerana ada diantara mereka pun seperti kita juga yang meraba-raba. 

Jadi, kad jemputan itu terlalu berguna untuk dibawa bersama. Lagipun bukannya berat. Tanpa kad itu berkemungkinan kita pergi rumah yang salah.

ii) Duduk mengikut suka hati. Jangan buat begitu kerana secara amnya ada bahagian -bahagian tertentu dikhaskan kepada tetamu tertentu. Biasanya tempat yang dikhaskan ini kerusi mejanya adalah lebih sedikit kemasnya berbanding yang lain disamping makanannya tersedia dihidang. Dan ada tulisan seperti 'Jemputan Khas'.

Sekiranya kita pakai duduk saja, ianya boleh memalukan apabila kita diberitahu walaupun secara berbisik bahawa tempat itu bukan untuk kita. Jadi jangan pakai hentam saja. Jangan sambil lewa. Kena beri perhatian dan sentiasa ingat bahawa majlis ini bukan majlis kita, maka kita tertakluk kepada adab dan aturan yang dibuat oleh tuan rumah.

iii) Salam kosong. Apabila kita menyampaikan ucapan tahniah kepada tuan rumah dengan secara bersalaman tangan, mestilah sentiasa ingat salam kita bukan salam yang kosong. Ini bukan perkara gurauan tetapi serious. Jangan ambil sikap sambil lewa saja. Kalau tidak percaya, anda adakan majlis sendiri.

Dengan demikian apabila saja kita terima kad jemputan untuk menghadiri majlis kahwin kita mestilah mengambil sikap yang betul iaitu;

i) Jemputan itu sebagai tanda penghormatan. Berhasrat untuk hadir jika tiada halangan. Jika tidak dapat hadir maklumkan kepada tuan rumah.

ii) Simpan kad itu pada satu tempat yang khas dan mudah untuk dirujuk. Cara ini juga akan memudahkan kita berhubung dengan tuan rumah untuk memaklumkan sesuatu atau untuk kita gunakan pada masa hadapan apabila giliran kita mengadakan majlis yang sama. Jangan gunakan kad jemputan itu untuk digantung sebagai hiasan seperti kad hari raya.

iii) Kalau banyak kad diterima , susunkan menurut tarikh jemputan. Yang awal terletak diatas sekali.

iv) Sediakan belanjawan tertentu selaras dengan kemampuan kita sebagai kos membeli hadiah/sumbangan.  

v) Jangan mengumpat makanan yang dihidang. Cacat cela buakan yang dihajtakan oleh tuan rumah. Tuan rumah hendakkan yang terbaik. Ingat kita juga akan mengadakan majlis yang sama.

vi) Jangan ambil makanan melebihi dari sepatutnya sehingga makanan yang diambil itu tidak semuanya dimakan. Membazir. Ingat, bukan kita saja yang dijemput.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan