Theflowersellingboy

Khamis, 28 Jun 2012

SWALK

Pada suatu hari dalam tahun 1972 , disebuah panggung wayang, di Petaling Street, Kuala Lumpur, di panggung Rex, satu tayangan filem dengan tajuk SWALK  mendapat sambutan dari anak-anak muda . Saya juga tidak terkecuali kerana ceritanya adalah cerita khayalan anak muda remaja. 

Swalk adalah akronim/sengkatan dari kata-kata Sealed With A Loving Kiss. Filem ini dibintangi oleh anak muda remaja. Maka tidak hairanlah ianya mendapat sambutan yang hangat dari muda remaja.

Akronim seperti Swalk ini memang sudah menjadi satu kecenderungan bagi para remaja ketika itu dalam meyatakan perasaan mereka terutamanya dalam perutusan surat diantara muda mudi. Teknologi perhubungan dikala itu tidak secanggih pada masa ini. Tiada internet. 

Perhubungan  dengan yang jauh biasanya dilakukan dengan mengirim surat saja . Justeru mesej atau perasaan yang diluahkan dalam surat itu memakan masa sehari  dua untuk diketahui oleh penerima surat, bergantung kepada jarak jauh tempat yang hendak dituju dan juga kecekapan perkhidmatan Jabatan Pos. Kadang-kadang seminggu dua baru surat itu diterima. Tidak juga terkecuali surat itu tidak akan diterima. Atau surat itu dibaca oleh orang lain terlebih dahulu. Maka pecahlah cerita yang tertulis dalam surat itu. 

Penggunaan talipon juga adalah termasuk dalam perbelanjaan yang dianggap mewah, hanya orang-orang yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik saja akan mampu mempunyai talipon di rumah. Jadi surat menyuratlah yang selalu digunakan untuk sampai menyampai mesej masing-masing.

Berbalik kepada penggunaan akronim tadi, maka berbagai akronim telah dicipta untuk menyatakan perasaan diantara muda mudi ketika itu. Diantara yang saya masih ingat ialah akronim HACKS dan HUDSON.

Hacks ini adalah sejenis gula-gula.  Pada ketika itu hacks berwarna kehitaman. Gula-gula itu dipercayai boleh menghilangkan batuk. Dan ianya menjadi kegemaran muda mudi ketika itu sewaktu menonton wayang. Saya juga amat menyukainya.

Mungkin disebabkan gula-gula itu amat digemari pada masa itu dan popular pula maka telah terhasillah satu akronim dari nama gula-gula itu yang membawa maksud 'Hanya Adinda Cinta Ku Sayang' (Hacks). Maka surat menyurat diantara muda mudi tidak akan gagal untuk menulis di penghujung suratnya perkataan Hacks. 

Tidak diketahui siapa yang mencipta akronim itu . Tapi tahniah kepada orang yang mencipta akronim itu kerana ianya telah di gunakan begitu meluas sekali. Ciptaannya tidak di lindungan dibawah undang-undang hak cipta. Ertinya hak ciptanya tidak terpelihara. Satu warisan tradisi lisan.

Satu lagi ialah perkataan HUDSON. Hudson ini juga sejenis gula-gula yang sama popular dengan gula-gula hacks tadi. Saya menganggap ianya pesaing kepada gula-gula hacks.
Dalam akronim  ianya juga sebagai pesaing kepada akronim hacks kerana ia membawa maksud pernyataan rasa hati yang sama. Apa itu HUDSON? Hudson membawa maksud 'Hanya Untuk Dinda Seorang, Oh Nyawaku'. 

Jadi ketika itu penggunaan akronim sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu dalam hal menyatakan perasaan diantara muda mudi adalah merupakan satu fesyen atau trend. Maka terciptalah berbagai akronim yang membawa maksud yang sama. 

Namun SWALK satu akronim yang telah dilayarperakkan. Sudah tercipta satu kesah percintaan anak-anak muda.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan