Theflowersellingboy

Rabu, 13 Jun 2012

Mengawal Kolesterol, Gula dan Sakit Betis

130612, seperti biasa, selepas solat Subuh , pukul 6.20 pagi saya dan isteri bersiap sedia untuk melakukan senaman pagi dengan berjalan cepat mengelilingi kawasan kolam renang. 
 
Dari tingkat 12 kondo kediaman, kami turun kebawah menaikki lif menuju ke kawasan kolam renang. Isteri memulakan senaman dengan memanaskan badan dahulu sebelum membuat langkahan cepat mengelilingi kawasan kolam renang. Sebaliknya saya tidak berbuat demikian tapi terus membuat langkahan cepat mengelilingi kawasan kolam renang itu.

Berjalan secara cepat mengelilingi kawasan kolam renang,  saya perlu melakukan sebanyak 233 langkahan bagi setiap pusingan. Jarak setiap langkahan hampir 2 kaki. Bagi 7 pusingan pertama, langkahan saya diiringi dengan sebutan Subhanallah; 7 pusingan kedua dengan lafaz Alhamdulillah dan seterusnya 7 pusingan terakhir Allah Akbar. Jadi jumlah berjalan cepat saya itu adalah sebanyak 21 pusingan . Masa yang diambil bagi satu pusingan kurang lebih hampir 2 minit. Bagi 21 pusingan saya mengambil masa diantara 40 minit dan 41 minit bergantung kepada kelajuan . Biasanya saya mula berjalan perlahan pada awal pusingan khususnya pusingan pertama, dan ianya semakin cepat bagi pusingan-pusingan seterusnya.

Saya membuat pusingan bagi kawasan yang lebih besar dan isteri melakukan kawasan yang agak kecil sesuai dengan kemampuan tenaga masing-masing.

Walaupun senaman berjalan kaki ini adalah merupakan rutin harian pagi, tapi pada hari ini  betis kedua-dua kaki, kiri dan kanan terasa sakit setiap kali langkahan dibuat. Maka ada juga terdetik  dalam perasaan hati sanubari, saya perlu berhenti dan berehat pada hari ini. Tetapi otak saya berkata jika saya berhenti dan berehat maka proses pembakaran tenaga bagi mengeluarkan peluh tidak akan berlaku. Kata orang pembakaran tenaga yang menghasilkan peluh itu adalah baik untuk kesihatan. Peluh yang menjijir itu membawa sama toksid.

Itu kata orang. Saya tidak pasti dari segi kebenaran saintifik. Tetapi itulah yang selalu dipesan oleh doktor dan pengamal-pengamal kesihatan yang lain agar kita sentiasa melakukan senaman disamping mengamalkan makanan yang seimbang.

Maka atas keyakinan itu saya meneruskan langkahan. Otak saya telah berjaya mengalahkan perasaan yang mahu berhenti berjalan dan berehat pada hari ini.

Saya perlu sihat. Saya perlu mengawal tahap kolesterol dari meningkat. Bacaan tahap kolesterol saya menurut rekod catatan setahun yang lepas adalah terkawal pada bacaan 3.8. Terkawal kerana saya mengambil ubat sebiji satu hari disebelah malam. Pesan doktor bahawa disamping makan ubat, saya juga perlu melakukan senaman dan menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak. Dihadapan doktor saya mengangguk seperti orang taat akan pesanan itu. 
 
Tetapi sebenarnya saya agak lama juga tidak melakukan senaman pagi ini. Hanya baru memulakan pada bulan lepas saja. 
 
Saya juga melanggar pantang dengan makan apa saja yang saya mahu sama ada berminyak atau tidak. Makan banyak pula. Saya selalu menggunakan alasan, 'sesekali apa salahnya'. Malangnya 'sesekali itu', sentiasa disebut bila mana saya berhadapan dengan makanan yang dipantangkan terutamanya makanan yang dihidangkan dimajlis kenduri kahwin. Makan nasi minyak, bukan main menyelerakan sehingga lupa bahawa saya adalah pesakit jantung dan darah tinggi.

Bacaan tahap gula dalam darah pun telah meningkat. Bacaan terakhir pada 3 minggu yang lepas ialah 10.9. Tapi ketika darah diambil saya tidak berpuasa pada sebelah malamnya. Jadi jika berpuasa mungkin rendah sedikit dari 10.9. Setahun yang lepas bacaan gula saya ialah 6.5. Kata doktor ok.
 
Tekanan darah tinggi saya terkawal kerana saya mengambil ubat, dua biji satu hari pada sukatan18mg.  Dan saya juga memantau tekanan darah tinggi ini dengan sentiasa mengambil bacaan menggunakan mesin/alat mengukur tekanan darah yang saya beli. Bacaan terendah yang pernah dicatatkan ialah 130/70 dan yang tertinggi 150/80.  Maknanya tekanan darah terkawal.

Bacaan gula amat merisaukan, 10.9. Kolesterol belum tahu. Cuma rekod setahun lepas ianya ok. Darah tinggi adalah terkawal seperti yang diberitahu oleh alat pembaca tekanan. Dan saya yakin. Ia tidak merisaukan.
 
Gula nampaknya ada masalah. 
 
Isteri telah membeli alat untuk membaca tahap gula dalam darah. Tahap gulanya dikawal melalui pengambilan ubat. Tapi tiga minggu yang lepas bacaan gula semasa berpuasa telah meningkat kepada 9.9. Maka doktor menambah dos lagi bagi menurunkan tahap gula itu. Isteri mengambil dos tambahan itu. Kepalanya menjadi terlalu sakit. Tidak mampu bangun dengan cepat, pening kepala rasa nak rebah. Dia memutuskan untuk tidak mengambil dos tambahan itu. Dia percaya keputusannya itu lebih baik dari tambahan dos yang dibuat oleh doktor. 
 
Sebenarnya isteri tidak bersetuju dengan dos tambahan itu. Tapi doktor buat keputusan menambah dos, dia terima saja. Bila ambil dos tambahan, sakit kepala yang amat sangat. 
 
'Badan sendiri, sendiri tahulah. Kalau makan ubat, tambah lagi sakit apa gunanya. Doktor main tambah ubat saja. Bukan dia yang  sakit'. Itulah antara ayat-ayat yang dileterkannya bagi menolak mengambil dos tambahan.
 
Apa pilihan lain yang ada selain makan dos tambahan?
 
Maka kami telah sepakat untuk mencari jalan lain bagi mengatasi masalah kesihatan ini. Ya, kami perlu memulakan senaman yang telah kami tinggalkan hampir setahun, bersamaan usia cucu kami Ahmad Naqib. Kami berhenti melakukan senaman apabila anak perempuan kami telah memasuki hari-hari untuk melahirkan anaknya. Dan seterusnya sehinggalah bulan lepas barulah kami memulakan senaman pagi semula.
 
Dan kami juga perlu menjaga makanan.

Untuk tujuan memantau bacaan tahap gula, isteri telah membeli satu alat/mesin.

Isteri telah mula mengambil minuman air buah peria hijau tiga kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari dan malam. Air peria ini dibuat sendiri dengan mengisar dua tiga biji peria. Rasanya pahit. Tapi saya dan isteri sudah biasa dengan rasa pahit peria. Tidak ada masalah untuk meminum air peria itu.

Dengan melakukan senaman pagi, mengawal makanan dan meminum air peria, isteri mahu melihat kesannya terhadap bacaan gulanya. Dia meminta anak (seorang doktor perubatan) untuk mencucuk satu dari jarinya untuk mengambil sedikit darah untuk dibaca oleh mesin yang telah dibeli itu. Dia terlalu gembira bacaan gula telah turun kepada 7.8. Isteri bertambah yakin bahawa dengan senaman, dengan mengawal makanan, dan dengan meminum air peria, bacaan gulanya boleh turun. Maka katanya keputusan untuk tidak terus mengambil dos tambahan seperti yang ditentukan oleh doktor itu adalah tepat dan betul sekali.

Saya pula bagaimana? Saya tidak mahu jari dicucuk untuk mengambil darah bagi tujuan bacaan tahap gula. Sebab? Saya terlalu ngeri jika ia dilakukan oleh anak sendiri. Itulah imiginasi saya. Doktor lain, tidak mengapa kerana terpaksa. 

Pada 200612 saya ada temujanji dengan doktor di IJN. Genap setahun barulah pertemuan dengan doktor dibuat untuk memantau kesihatan saya, khususnya jantung saya. Ulangan temu janji tempoh setahun ini terpaksa dibuat kerana orang yang mengidap sakit jantung terlalu ramai. Doktor tidak cukup. Itulah yang dimaklumkan kepada saya. 
 
(Saya telah menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2006. Terdapat 4 saluran darah yang tersumbat. Semuanya telah diganti dengan yang baru).
 
Jadi pada hari ini saya terus menjalani senaman pagi walaupun betis terasa sakit. Saya mengharapkan senaman ini boleh membantu mengurangkan kolesterol dan gula saya. Ini amat penting kerana 200612 saya akan diberitahu oleh doktor akan tahap gula dan kolesterol saya. Saya mengharapkan yang terbaik. Saya tidak mahu doktor menambahkan dos atau mencadang sesuatu yang saya tidak sanggup hadapi, misalnya menjalani pembedahan sekali lagi. Tidak, saya tidak mahu melaluinya lagi, dengan izin Allah. Pembedahan tidaklah sakit sebab saya dikhayalkan dengan ubat. Nyenyak tidur selama 6 jam, bermimpi yang seronok-seronok pula. Ada rumah besar dan jadi orang kaya.

Tapi antara mimpi yang seronok dengan pembedahan lagi sekali, saya pilih supaya tidak dibedah dan rela melepaskan peluang untuk bermimpi yang seronok.
 
Sakit betis, sakitlah. Senaman mesti diteruskan. 
 
Saya telah berjaya mengalahkan perasaan lembik yang mengacum supaya berhenti melakukan senaman, untuk hari ini saja. Kepala otak saya yang berfikir mahukan badan sihat telah berjaya mengalahkan perasaan yang lembik longlai itu.

Tapi benarkah begitu? Bukankah kerana saya hendak jumpa doktor pada 200612 yang membuatkan saya ada kekuatan melakukan senaman? Kalau kerana itu, nampak gayanya saya jaga kesihatan  demi doktor . Bukan untuk diri sendiri.  Satu sikap yang tidak baik. 

'Kenapa untuk doktor sedangkan yang sakit diri sendiri, bukan doktor'. 

'Jadi kalau doktor tambah dos dan cadangkan pembedahan sekali lagi, salah sayalah'.

'Itupun sudah baik. Tapi kalau doktor buat tak tahu, macam mana? Cepatlah jalan. Tapi ajal ditentukan Allah'.

Semua bisikan-bisikan di hati kecil itu tidak penting. Yang penting kaki saya berjaya digerakkan melangkah sehingga 4,893  langkah. Setelah 'cooling down', kami naik keatas. Saya terus mendekati mesin urut untuk mengurut betis yang sakit itu.

Jadi betis diharapkan tidak sakit lagi. Kolestterol akan terkawal. Gula akan menurun ketahap yang sihat. Esok saya akan teruskan senaman pagi. Betis tak sakit lagi setelah diurut oleh mesin. Harap-harap begitulah.


  
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan