Theflowersellingboy

Ahad, 17 Jun 2012

"Wah Wah Wan Dapat Nombol Satu"

Apakah diantara perkara yang boleh memberikan keriangan kepada diri kita. Sudah tentu banyak kan. Misalnya mendapat berita kita lulus peperiksaan dengan cemerlang, dapat  A+ dalam semua mata pelajaran. 

Kemudian ibubapa kita beri hadiah sebagai menghargai dan mensyukuri kejayaan kita dengan membawa kita bersama menunaikan umrah. Kawan-kawan kita memberikan ucapan tahniah diatas kejayaan kita itu. Sekolah kita mengadakan hari menyambut kecemerlangan pelajar, dan nama kita adalah diantara nama yang berkumandang didalam dewan dijemput naik keatas pentas untuk menerima hadiah dan ucapan tahniah dari guru besar, guru-guru  disertai pula dengan tepukan gemuruh dari hadirin dan yang paling istimewa apabila kedua ibubapa kita memeluk kita sebaik saja kita turun dari pentas. 

Seronok bukan? Rasa riang dan gembira itu sudah tentu tidak dapat dicoretkan dengan kata-kata. Tidak juga dengan lakaran lukisan diatas kertas.

Itu baru satu sahaja. Banyak lagi hal-hal atau peristiwa-peristiwa yang boleh menggembirakan kita. Itu hanya gembira disebabkan usaha kita.

Ada juga perasaan menjadi terlalu gembira atas usaha orang lain terutama orang yang kita sayang. Misalnya kejayaan anak atau cucu kita. 

Seorang bapa atau datuk sentiasa mengharapkan kejayaan anak/cucunya misalnya dalam pelajaran. Yang sentiasa menjadi impian dan harapan bapa/datuk itu ialah anak/cucu itu berjaya mengatasi anak/cucu orang lain dalam setiap kali peperiksaan sekolah diadakan. 

Seorang datuk yang saya kenali menyatakan bahawa dia mempunyai cara dalam menyambut dan menyatakan kegembiraan apabila menerima berita cucu kesayangannya dapat kedudukan terbaik dalam peperiksaan disekolahnya. Dia tidak mahu menyampaikan ucapan tahniah yang streotype misalnya dengan kata-kata 'tahniah diatas kejayaan Wan'. 

Dia hendak menyampaikan rasa kegembiraan dan tahniah itu dengan cara pilihannya, yang setahunya belum pernah dilakukan oleh orang lain. Dia mesti mendahului orang lain dengan cara yang unik itu kerana dia suka menjadi pemimpin. Mesti mendahului menonjolkan perbezaan dari yang biasa dibuat oleh orang.

Cucunya itu dapat nombor wahid, nombor satulah, mengatasi ratusan kawan-kawan disekolah. Maka dia pergi ke sebuah kedai yang menjalankan perniagaan dalam bidang tulisan 'khat' . Datuk itu meminta supaya dituliskan kata-kata ucapan tahniah untuk cucunya diatas kain putih yang akan dipakai sebagai selepang semasa menghadiri hari kecemerlangan di sekolah cucunya nanti. Dia tempah 3 helai kesemuanya.

Dia sendiri akan memakai kain selepang itu. Sehelai lagi untuk dipakai oleh cucunya yang bernama Ridhuan yang dia panggil Wan saja. Dan sehelai lagi akan disarungkan melintangi bahu kanan ke rusuk kiri guru besar sebagai tanda terima kasih dan penghargaan diatas khidmat bimbingan yang telah dicurahkan. Dia hendak menjadikan guru besar itu sebagai wira pada hari itu.

Maka penulis khat itu bertanya apakah kata-kata yang perlu ditulis diatas kain selepang  itu. Kawan saya itu yang terlalu seronok menyambut kejayaan cucunya itu pun memberitahu kata-kata yang perlu di khatkan wajiblah ditulis dan dibaca :

                   WAH WAH WAN DAPAT NOMBOL SATU
 
Penulis khat itu tercengang sejenak. Dia tidak menyangka ucapan tahniah seperti itu. Dia sangkakan ucapan seperti : Tahniah diatas kejayaan cucu tersayang atau Tahniah kerana dapat nombor satu. Lain pula ucapan tahniahnya.   Tapi sebagai ahli perniagaan dia kena terima apa kehendak pelanggan. Maka akan disediakan ucapan tahniah itu. 

Namun untuk lebih pasti lagi, agar dapat membuat kerja menurut spesifikasi yang betul penulis khat itu meminta datuk tadi menunjuk contoh tulisan. Datuk itu mohon maaf kerana beliau tidak pandai tulis jawi apatah lagi dalam bentuk khat. Dia cuma boleh tulis secara rumi saja. Lalu ditulisnya perkataan-perkataan  yang dikehendaki dalam satu baris. Datuk itu beritahu kepada penulis khat itu bahawa mesti tulis dalam satu baris saja dan boleh jelas kelihatan dan boleh dibaca dari hadapan.

"Tapi mengapa ditulis nombol bukan nombor atau nomor atau number?" Tanya si penulis khat itu.

"Aku punya sukalah. Aku kan pelanggan. Ikutlah kehendak pelanggan", kata datuk itu dengan suara sedikit tinggi.

"Ya ,ya, maafkan saya". Akur penulis itu.

"Berapa harganya", datuk itu mahu kepastian.

"Lima ratus lebih saja". Penulis khat beritahu.

"Lima ratus lebih? Saya ingat satu ribu. Berapa yang lebih itu?"

"Bila siap nanti saya beritahu", kata penulis khat itu lagi. 

Penulis khat itu terasa sedikit pening bila membayangkan kata-kata ucapan tahniah itu.

               WAH WAH WAN DAPAT NOMBOL SATU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan