Di Rumah Seorang Tua , bukan Rumah Orang Tua atau Rumah Untuk Orang Tua-tua. Ianya berbeza kerana membawa makna yang berbeza walaupun subjeknya sama iaitu orang tua. Rumah Orang Tua atau Rumah Untuk Orang Tua-tua biasanya difahamkan sebagai satu tempat perlindungan bagi warga tua dalam meneruskan kehidupan sebelum di panggil Ilahi. Rumah Seorang Tua tidak membawa maksud demikian walaupun orang tua itu juga meneruskan kehidupan sebelum dipanggil Ilahi.
Orang Tua yang pertama adalah orang tua yang masih mahu hidup sendiri, bersendirian menguruskan diri walaupun hujan, ribut, petir dan halilintar sabung menyabung dia tetap dirumahnya. Waktu mendung dan waktu panas terik dan perit, orang tua itu dirumahnya juga. Malam bulan purnama yang dipagari kerdipan bintang, malam yang gerhana, gelap gelita adalah tidak memberikan satu perubahan rasa dan selera, semuanya sama saja. Orang Tua itu tetap dirumahnya.
Itulah kesan yang saya boleh rasa untuk diceritakan setelah menghadapi dua situasi rumah yang berbeza.
Subjeknya Orang Tua. Sama ada dirumahnya atau dirumah orang tua atau rumah untuk orang tua-tua, mereka ini asalnya sama saja. Memulakan kehidupan didunia sebagai bayi atau anak kecil yang tidak tahu satu apa, membesar menjadi kanak-kanak menuju ke alam baligh, kemudian memasuki usia belia remaja dengan berbagai impian, angan-angan, cita-cita dan idealisma, yang kadang-kadang tidak berpijak dibumi nyata, melangkah menjadi dewasa untuk berhadapan dengan berbagai pilihan jalan yang bersimpang siur, ada onak duri, ada lembah yang perlu dituruni dan ada bukit yang perlu didaki, sebelum memasuki alam tua . Sudah menjadi tua, usia biasa apabila mencecah lima puluhan, orang tua menjadi cerita utama apabila orang muda mula pusing dan pening kepala.
Pening kepala bukan kerana selera situa itu. Tidak juga kerana pakai memakai. Dua keperluan asas ini mudah diberesi. Hanya satu lagi keperluan asas yang memeningkan kepala iaitu tempat berlindung dari hujan dan panas.
Tinggal bersama? Banyak benda yang tidak sama. Jurang generasi. Banyak yang tidak sesuai. Merepek dengan soalan-soalan yang sama berulang kali.
Tinggal dirumah orang tua? Itu saja pilihan yang ada. Lebih terurus dan selamat.
Tapi orang tua yang seorang ini, lebih selesa bersendirian dirumah binaan sendiri.
Saya terserempak dengan situa seorang ini ketika singgah sebentar di sebuah warung di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, waktu itu sudah masuk waktu zohor, perut sudah terasa lapar maka warung pertama yang di jumpai , sudah cukup kuat bagi menggerakkan tapak kaki kanan memijak brek untuk memperlahan kereta dan terus ketepi memberhentikan kereta dibawah lindungan sebatang pokok yang sudah tua usia, tapi ada juga dahan dan daunnya yang masih lagi boleh menjadi pelindung dari panahan cahaya matahari yang panas terik ketika itu.
Semua meja makan nampaknya telah bertuan. Tapi mata masih lagi bercarian disetiap ruang dan sudut warung dengan harapan ada meja yang masih lagi kosong. Dalam masa bercarian itu mata saya telah menangkap satu wajah yang sudah kereput, terbongkok-bongkok melangkah perlahan. Nampak gaya dia juga seperti saya. Mencari meja makan yang kosong.
Saya masih muda dan masih bertenaga. Orang itu sudah tua. Tua kereput kata orang. Saya dan dia menaruh harapan bagi satu perkara yang sama walaupun berbeza usia dan tenaga. Kami perlu makan, mengisi perut yang lapar. Cuma yang mungkin berbeza adalah tahap nafsu selera.
Saya melangkah mendekati situa itu.
.
Bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan